Seminar Tingkatan Enam dilancar di IAB Caw Utara
Oleh Samsudin Oli Mohamed
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk
Alimuddin Mohd Dom, baru-baru ini merasmikan Seminar Tingkatan Enam
Peringkat Kebangsaan 2008 yang berlangsung di Institut Aminudin Baki
Cawangan Utara di Jitra, Kedah, baru-baru ini.
Seminar selama
tiga hari bermula 2 November lalu disertai 250 pegawai jabatan pelajaran
negeri dan pengetua dari seluruh negara bertujuan membentangkan pelan
strategik bagi meningkatkan mutu pelajar tingkatan enam.
Pada
sesi taklimatnya, Alimuddin menjelaskan mengenai hala tuju dan visi
kementerian dalam mencorakkan masa depan pelajar yang menuntut di
tingkatan enam.
Alimuddin berkata, pihaknya turut membincangkan
polisi yang diguna pakai untuk menarik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia
memasuki ke tingkatan enam, sekali gus layak menduduki peperiksaan Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia.
“Kementerian Pelajaran sudah
melakukan penjenamaan semula dan menerusinya guru yang mengajar di
tingkatan enam tidak akan dibenarkan mengajar kelas lain, selain gred
gaji lebih baik.
“Tingkatan enam akan berada pada kelompok tersendiri dan tahapnya berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.
Hadir sama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abd Rahman dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datuk Misrah Ibrahim.
Sementara
itu, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung,
Melaka, Muhamad Adam, melahirkan rasa bangga kerana kementerian telah
berusaha memperkasa tingkatan enam, sekali gus menjadi pilihan utama
bagi pelajar yang ingin ke institusi pendidikan tinggi (IPT) pada masa
depan.
Beliau berharap, menerusi penjenamaan ini lebih ibu bapa menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di tingkatan enam.
Bagi
Nubah Aton, Pengetua Kanan SMK Ghafar Baba, Melaka, berpendapat
kehidupan pelajar tingkatan enam lebih menyeronokkan dan berbeza dengan
mereka yang menuntut di IPT atau matrikulasi.
“Murid yang belajar
di tingkatan enam akan melalui kehidupan yang matang dan mampu
berdikari walaupun tidak semuanya berjaya melanjutkan pengajian ke
universiti,” katanya.
Berita Harian Online: 15 Disember 2008
Muzium pelajaran iktiraf peranan guru
INISIATIF kerajaan mahu menubuhkan Muzium Pelajaran Negara (MPN) perlu
disokong semua pihak. Menurut tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Yahaya
Ibrahim "kewujudan Muzium Pelajaran Negara hendaklah disegerakan sebagai
pusat sehenti untuk pameran alam pendidikan negara". Ia dilihat
bersesuaian dengan aspirasi negara yang ingin melonjakkan pendidikan
negara ke tahap dunia.
Kewujudan MPN ini bukan sahaja sebagai
sebuah tempat pameran, malah ia boleh dimartabatkan sebagai pusat sumber
rujukan keguruan kebangsaan di mana tersimpan hasil penyelidikan dan
rekod berkaitan Guru Cemerlang bagi peringkat negeri, Guru Gemilang dan
Guru Terbilang.
Muzium merujuk kepada bangunan tempat menyimpan
khazanah sejarah lampau atau yang lalu. Muzium penting sebagai tempat
kita merujuk sekiranya kita ingin mengetahui sejarah lampau. Dengan
merujuk takrifan muzium itu, secara tidak langsung membantu kerajaan
memupuk nilai patriotik dalam diri pelajar khususnya dalam bidang
pendidikan apabila wujudnya MPN.
Bagi warga pendidik, MPN boleh
dianggap sebagai suatu inspirasi untuk terus iltizam dalam mendidik anak
bangsa apabila melihat sejarah atau dokumentasi guru cemerlang yang
berjaya membantu negara melahirkan modal insan berkualiti dan berguna
kepada negara. Warga pendidik juga boleh menjadikan MPN ini sebagai
pusat percambahan ilmu dengan mengadakan aktiviti seminar, bengkel dan
ceramah yang berkaitan dengan MPN pada peringkat dalam dan luar negara.
Dengan
adanya MPN, masyarakat akan lebih mengenali dan memahami sistem
pendidikan negara seterusnya menjadi pendorong kepada masyarakat untuk
mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, masyarakat
juga boleh menyumbangkan idea atau saranan kepada warga pendidik
memperbaiki sistem pendidikan yang sebelum ini dilihat agak eksklusif .
Justeru,
dengan kehadiran MPN ini diharap dapat menjadi satu daripada faktor
utama penyumbang kejayaan pembinaan negara bangsa selaras hasrat
Kementerian Pelajaran yang ingin melahirkan masyarakat Malaysia
mengamalkan sikap bersatu padu, harmoni, dan cinta akan negara.
MOHD KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM,
Presiden Persatuan Mahasiswa Melaka,
Universiti Malaya.Berita Harian Online: 1 Disember 2008