Pages - Menu

Pages - Menu

Dilema Kasih

Siswi buntu kekasih abai tuntutan agama

 

 Entry ini, saya muatnaik ke cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan bersama. Ia berdasarkan ruangan Bersama Dang Setia Metro Ahad, 12 Ramadhan 1431H. Semoga kita mengambil iktibar darinya.

ASSALAMUALAIKUM. Saya berumur 19 tahun, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pantai Timur manakala keluarga saya menetap di selatan.
Untuk makluman Dang Setia, saya ada seorang teman lelaki berumur 20 tahun. Dia tidak sambung belajar dan sekarang bekerja. Kami menjalin hubungan selama enam tahun.

Saya akui dia pemuda baik, menghormati ibu bapa sama ada ibu bapa dia atau ibu bapa saya. Dia juga sentiasa membantu ibu bapanya daripada segi kewangan, serta saya kalau saya tak cukup duit ketika di kampus. Ibu bapa saya tahu mengenai hubungan kami.

Masalah sekarang dia tak buat perkara wajib yang dituntut agama. Saya sangat terkilan kerana banyak kali memberi nasihat tapi jawapan diberi membuatkan saya sangat sedih. Kami juga jarang berjumpa.

Buat masa ini dia tunaikan solat lima waktu dan saya harap diteruskan. Itupun puas disuruh. Namun bila tiba Ramadan dia tak nak puasa. Kalau Tarawih jauh sekali. Saya mengharapkan dia dapat memimpin saya sama ada sebelum atau selepas kahwin. Namun, ini dah terbalik. Saya dah bimbing dia tapi sampai bila? Saya sangat sayangkan dia.

Dang Setia, tolong saya dalam membuat keputusan sama ada terus bersama dia atau tidak. Saya mahukan keredaan Allah SWT. Saya nak bakal suami yang memimpin saya.

Saya akui, enam tahun perkenalan kami bukan jangka masa singkat. Dalam tempoh itu, kami tak pernah buat perkara tak senonoh. Cuma, saya sangat terkilan daripada segi ibadat dia terhadap Tuhan. Adakah perkara ini akan berterusan sampai kami berkahwin?

IEDA
Johor

 
Menjawab soalan saudari, sejujurnya Dang Setia berpendapat lelaki seperti kekasih saudari memang tidak layak dijadikan suami. Maaf jika saudari kurang senang dengan jawapan itu.

Yang pasti, Dang Setia cuma bersikap jujur. Bagi Dang Setia, panduan Islam wajib kita ikuti untuk mencari pasangan hidup iaitu dengan mengutamakan kepatuhan kepada agama berbanding kecantikan paras rupa atau kemewahan material.

Jika lelaki itu liat bersolat dan tidak berpuasa, jelas itu tidak memenuhi prasyarat diberikan Allah, jadi selagi dia tidak mengubah sikap buruk itu, selagi itu kita tidak sepatut menerimanya.

Fahamilah, beban masalah sebenarnya terletak di bahu teman lelaki, bukan saudari. Jika dia inginkan saudari, dia yang perlu berubah dengan mematuhi ajaran Islam.

Saudari pula perlu tetapkan pendirian dan kuatkan iman. Jangan sekali-kali saudari pula yang berubah ke arah keburukan.
Fahamilah juga cinta itu anugerah Allah yang suci dan murni. Ia tidak harus dipersia-siakan dengan diberi kepada orang yang tidak berhak dan pastikan juga cinta itu tidak dicemari kerakusan nafsu.

Ada beza antara cinta dan nafsu. Bukti ketulusan cinta langsung tiada kena-mengena dengan seks atau maksiat. Berfikirlah secara waras, mana lebih penting, patuh pada kehendak teman lelaki atau Allah? Bagaimanapun, alhamdulillah banyak juga kebaikan yang saudari ceritakan mengenai teman lelaki. Ini membuktikan dia lelaki baik, cuma daripada segi agama, dia agak culas mungkin tidak mendapat didikan agama sempurna sejak kecil.

Kalau saudari sayangkannya, beri dia peluang untuk berubah menjadi lelaki lebih baik dan sempurna. Saudari mungkin belum nampak atau mengalaminya, tapi percayalah realiti dunia bercinta berbanding perkahwinan ibarat langit dan bumi.

Justeru, beri masa kepada saudari untuk memilih calon terbaik sebagai suami kerana saudari masih muda dan mempunyai masa depan cerah.

Kata orang, berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Mungkin satu hari nanti, dalam seribu kawan itu, ada seorang lelaki yang lebih baik berbanding kekasih saudari sekarang.

Alangkah bagus kalau bakal suami saudari kelak adalah lelaki beragama, berkerjaya dan berpenampilan menarik dan tampan. Itu satu bonus kepada saudari yang sentiasa menjaga kesucian agama.

Sebagai siswi dan terpelajar, nasihat Dang Setia kepada saudari cukup mudah — biar diri menguasai keadaan dan bukannya keadaan menguasai diri.

Say No To "Mercun"

Say No To "mercun"



Assalamualaikum dan salam Ramadhan buat semua pengunjung Muslim blog ini. Alhamdulillah setelah 3 hari bercuti dari mengupdate blog, pagi ini saya ingin berkongsi sedikit apa yang disampaikan oleh GPK Pentadbiran SMKJP2, Encik Nasaharuddin Bin Mohd Rashid pada perhimpunan pagi tadi.

Bahang Aidilfitri semakin dirasai. Pelbagai persiapan dilakukan bagi meraikannya.

Mercun, di tengah-tengah kegembiraan, maka usahlah kita salutinya dengan kedukaan. Kerna mercun, macam-macam perkara boleh terjadi. Oleh itu, elakkanlah bermain mercun demi keselamatan pelajar, keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

Katakan tidak kepada mercun...

Mengucup Ujian Allah

Mengucup Ujian Allah


SEGALA puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA hari ini kita rakyat Malaysia masih dapat mengecapi kehidupan yang aman damai dan sejahtera walapun negara ini mempunyai berbagai kaum, agama dan kebudayaan. Alhamdulillahirabbil a'lamin.

Selawat dan salam juga ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad SAW, para ahli keluarganya, para sahabat dan para pejuang-pejuang Islam yang telah berjuang untuk mengeluarkan umat manusia daripada alam kegelapan (jahiliah) kepada alam yang penuh dengan nur ilmu pengetahuan sepertimana kita kecapi dan nikmati pada hari ini.

Alhamdulillah...Ujian Itu tanda kita sedang diberi perhatian. Mendengar bicara hatimu, selautan rasa terungkap. Menyorot ruang rasamu, sarat dengan seribu pengharapan.Menyingkapi relung hatimu pada sesi itu, ada semangat yang masih bersisa di ruang matamu. Biarkanlah titis jernih yang membasahi tubir matamu akan menjadi saksi bahwa seorang gadis sepertimu sangat cekal merempuh ombak nan menggila.

Ayuh, kekarkan semangatmu itu menjadi segunung kecekalan.  Tuhan ada di sisi sentiasa dekat di hati wahai puteriku sayang.

Lalu petang ini saya cuba mencatat sesuatu. Dedikasi buatmu. Juga catatan buat diri ini yang selalu alpa....

Manusia apabila namanya manusia, maka hidupnya pasti ada ujian. Tiada manusia yang hidupnya tiada ujian. Justeru persoalan yang sepatutnya kita letakkan dalam diri kita bukanlah bagaimana meneglak ujian, tetapi bagaimana hendak berhadapan dengan ujian Allah SWT.

Bukan mudah untuk menghadapi ujian. Kita bukannya berhati besi keluli. Hati kita lembut dan amat sensitif.

Sebab itu apabila berhadapan dengan ujian, biasanya kita mudah hilang rasional. Sebab itu, cabaran, halangan, dugaan yang menimpa kita, adalah ujian untuk menguji keimanan kita.

Marilah kita sama-sama renungkan Firman Allah, maksudnya;

"Apakah manusia itu mengira, mereka itu akan dibiarkan berkata:
Kami Beriman, sedangkan mereka belum diuji?"
(Al Ankabut:2)

Ujian atau cobaan atau Masalah...ianya adalah asam garam kehidupan. Rencah pasti tidak lengkap tanpa pelbagai perisa. Begitulah jua kehidupan kita ini.

Menyorot kepada ujian, ia merupakan sebahagian daripada proses menjadi seorang manusia. Tidak ada mana-mana makhluk yang tidak mempunyai masalah. Contohnya, seekor ayam, setiap hari ia berhdapan dengan masalah mencari rezeki. sehinggakan peribahasa ada mengatakan, "Hidup seperti adatnya ayam, kais pagi, makan pagi. Kais petang makan petang."

Bagi seorang manusia, ujian hidup ini adalah untuk membina akal fikirannya. Apabila berlaku ujian, manusia mula menggunakan akalnya untuk mencari penyelesaian dan bertindak secara terpandu.

Tidak ada seorang pun boleh berbangga dirinya tidak mempunyai masalah hidup. Jika wujud, dialah yang perlu bertanya pada diri, mengapa terjadi begitu?

Tidak ada masalah bermakna terdapat garis pemisah di antaranya dengan Yang Maha Pencipta.Masalah yang menimpa seorang Mukmin adalah untuk menghapuskan dosanya walaupun dicucuk duri yang kecil.

Masalah tidak akan jatuh kepada orang yang salah. Firman Allah SWT, mafhumnya:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannuya".
(Al Baqarah: 286)

Justeru setiap masalah yang memebelenggu seseorang adalah bersesuaian dengan kemampuannya walaupun di peringkat awal, dia mungkin tidak menyedarinya.

Di sempana Ramadhan yang mulia ini, sekali lagi saya ingin catatkan di sini madah berikut. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya. Amin.

Manusia Bertanya, Al Quran Menjawab
KENAPA AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
-Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
-Surah Al-Baqarah ayat 286


KENAPA RASA KECEWA?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
-Surah Ali-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
-Surah Ali-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
-Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka.....
-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
-Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!
".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

-Surah Yusuf ayat 12

Rindu Si Anak Kepada Ibubapa

RINDU 9 BERADIK


Ketika membaca akhbar Metro Ahad, pada artikel, Ibu Bapa Hilang, bagaikan mengimbau sesi kaunseling saya bersama bekas pelajar dan pelajar saya yang tidak mempunyai ibu atau bapa. Rasa hati anak-anak remaja yang dibesarkan oleh orang lain....

Ketika menatap gambar di atas, hati keibuan saya dipagut sayu. Tegakah hati seorang ibu meninggalkan anak-anak yang masih memerlukan dahan untuk berpaut kasih sayang begitu sahaja? Pasti ada sebab tersendiri mengapa si ibu tega bertindak begitu. Apapun, semoga hajat anak-anak ini bisa terkabul di Ramadhan yang mulia ini, jua Aidilfitri yang bakal menjelang nanti. Moga si ayah dan si ibu sedia melupakan sengketa lama, demi zuriat yang mengharap perhatian ibubapa.

Oleh MOHD SABRAN MD SANI


KUALA KRAI: Perasaan sedih menyelubungi jiwa sembilan beradik kerana sanggup bersusah payah menghasilkan sekeping kad hari raya semata-mata menagih kepulangan ibu bapa yang menghilangkan diri tanpa berita sejak setahun lalu.

Hanya perkataan ‘Selamat Hari Raya Mama dan Papa’ menghiasi sekeping kad manila berwarna kuning, manakala tujuh tapak tangan menjadi simbolik rayuan kepulangan ibu bapa mereka, selain menjadi saksi pengikat silaturahim mereka adik beradik.

Biarpun tidak dapat merungkai isi sebenar kad terbabit, namun jauh di sudut hati sembilan beradik terbabit ingin menatap wajah ibu bapa di depan mata, apatah lagi kemuncak lebaran yang semakin hampir tidak lama lagi.

Wartawan Metro Ahad yang berkunjung ke rumah sembilan beradik terbabit di Kampung Tengah, di sini, petang kelmarin, terharu dengan kesungguhan anak kecil terbabit menghasilkan kad raya untuk ibu bapa mereka.

Usaha Beri Kesedaran Patriotisme

Beri kesedaran melalui lakonan


Alhamdulillah hujung minggu ini kita masih berkesempatan meraih pahala Ramadhan. Entry ini saya petik dari Sisipan Metro Ahad. Saudara saudari dijemput juga melihat entry sebelum ini,Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia,  dan juga Tema Hari Kebangsaan

BERDASARKAN statistik dikeluarkan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), lebih 700,000 rakyat negara ini lebih senang menyumbang bakti dan berhijrah ke luar negara berbanding berkhidmat di tanah air sendiri.

Isu itu cuba diketengahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mempertaruhkan hasil karya mereka dalam Pertandingan Video Anugerah Merdeka (MAViC) 2010 bagi kategori video pendek.

Menerusi video pendek berdurasi lapan minit bertajuk 'Titis-Titis Kealpaan' itu, isu berkenaan dikupas melalui garapan menarik.

Bagi pengarahnya, Syafika Ghazi, 20, kebanyakan rakyat negara ini, terutama golongan muda, berebut-rebut untuk bekerja di luar negara yang jauh lebih menguntungkan dan menganggap ia sebagai lubuk emas.

Katanya, dalam keghairahan mengejar pendapatan lumayan, mereka lupa negara sentiasa menagih kepakaran dan khidmat mereka untuk berbakti di tanah air sendiri.

"Walaupun negara bakal menyambut ulang tahun ke-53 kemerdekaan, tahap pemikiran kita masih dijajah secara tidak langsung.


"Apalah erti kemerdekaan jika kita sebagai rakyat bumi bertuah ini tidak menabur bakti kepada ibu pertiwi," katanya.


Tercampak 5 Meter

Tercampak 5 Meter: Seorang Guru Maut Motosikal Dirempuh Kereta

Entry ini saya petik dari Metro Ahad. Al Fatihah untuk allahyarham Zamirudin Abdul Rahman, 34, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Trolak, Perak, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di muka dan kepala selepas terhempas ke permukaan jalan.
 
 
 
Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN, 2010/08/22
 
BUKIT BERUNTUNG: Ibarat kisah sedih bertimpa-timpa apabila seorang guru lelaki yang sebelum ini kehilangan dua insan tercinta iaitu ibu kandung dan kakaknya, maut dalam keadaan mengerikan apabila tercampak lebih lima meter selepas motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta.
 
 
 
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Proton Savvy ketika mangsa melalui Kilometer 429.2 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Bukit Beruntung, di sini.


NIKMAT BERBUKA PUASA

NIKMAT BERBUKA PUASA



Sabda Rasulullah SAW :




“...Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan (iaitu) kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya...” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada tiga orang yang do’anya tidak ditolak (iaitu) pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka, dan do’a orang yang dizalimi.” (Riwayat Tirmidzi)



Untuk menonton youtube di bawah, sila klik butang pause pada klip video di atas bar post blog ini.



Terima kasih; http://syahrilsaid.blogspot.com/2010/08/nikmat-berbuka-puasa.html

Wook Tak Mahu Lagi Jadi Janda





 Alhamdulillhirabbilalamin, hari ini kita masih lagi bernyawa. Sempena Hari Jumaat di bulan Ramadhan yang mulia penuh barakah ini, marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibdah kita.

Entry kali ini saya masukkan berita dari Kosmo tentang Nenek Wook yang mana suaminya seorang penagih dadah. Sekali lagi suaminya didapati mengambil najis itu.

Lihatlah betapa najis itu boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga suami isteri dan anak-anak. Oleh itu, hindarilah dari terjebak ke kancah najis dadah.

HULU TERENGGANU – Warga emas berusia 108 tahun, Wook Kundur akan setia menunggu suaminya, Mohd. Nor Musa, 38, sehingga dia betul-betul insaf dan meninggalkan ketagihan dadah kerana tidak mahu menjadi janda untuk kali ke-23.

Namun, dalam tegas dia menyatakan, ini adalah kali terakhir dia mengeluarkan simpanannya untuk menjamin suaminya dan jika Mohd. Nor ditahan lagi selepas ini, lelaki itu terpaksa meringkuk di penjara.

Puasa Bukan Sekadar lapar dan dahaga

Puasa bukan sekadar lapar dahaga


solat adalah tiang agama yang tidak ada alasan untuk kita meninggalkannya. -Gambar hiasan


PUASA Ramadan adalah ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Kewajipan puasa ini sabit dengan nas Ilahi dalam surah al-Baqarah pada ayat 183.

Dalam menjaga agar puasa tidak rosak, keprihatinan masyarakat Muslim dalam menanyakan perkara yang membatalkan puasa amat dihargai.

Ada soalan yang sudah lazim dan biasa. Namun ada soalan-soalan yang masih baru di mana ia tidak wujud pada zaman Nabi SAW dan zaman awal Islam.


Biasanya ia merujuk kepada puasa dan aspek perubatan. Contohnya penggunaan inhaler ketika berpuasa, penggunaan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang, suntikan insulin, bius dan sebagainya.
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam masalah ini.

Banyak buku boleh dikaji. Antaranya buku yang mudah untuk kefahaman ialah buku Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Puasa.

Persoalan yang diajukan itu memberi tanda yang positif. Ia satu penanda aras tahap kefahaman segelintir masyarakat Muslim dalam memahami hukum-hakam puasa. Namun sedikit malang apabila persoalan yang amat penting juga dalam ibadah puasa sedikit terabai.


Etnik Tanpa Identiti Pertuturan

Etnik tanpa identiti pertuturan


ANAK-ANAK Maya Sabti lahir dan dibesarkan di Lebanon. Malangnya, mereka tidak fasih bertutur apatah lagi lancar membaca buku-buku dalam bahasa Arab iaitu bahasa ibunda mereka sendiri.
“Saya berusaha memikat hati mereka supaya mencintai bahasa kebangsaan. Tapi apakan daya ini bukan salah mereka kerana telefon bimbit, Facebook dan filem di sini terdedah pada bahasa Inggeris,” ujar Sabti mengenai anak-anaknya yang berusia di antara lapan hingga 10 tahun yang fasih berbahasa asing berbanding bahasa rasmi.

Bahasa Arab merupakan bahasa rasmi di Lebanon, namun bahasa tersebut masih kurang digunakan.
Sebaliknya negara yang mempunyai 83 peratus etnik Arab itu lebih selesa menggabungkan bahasa Perancis dan Inggeris.

Lama-kelamaan bahasa ibunda mereka pupus begitu sahaja. Secara tidak langsung generasi negara yang mengecapi kemerdekaan pada 26 November 1941 itu terus melupakan bahasa Arab begitu saja.
Buktinya, dua tahun lepas dunia menyaksikan golongan muda Lebanon semakin rancak berbual menggunakan bahasa asing dalam pertuturan seharian.

7 wonders of The Muslim World Merakam detik perjalanan keimanan



 7 wonders of The Muslim World

JIKA anda berpeluang menyaksikan segmen dokumentari bertajuk
 Seven Wonders of The Muslim World di saluran Discovery Astro 551 yang ditayangkan baru-baru ini, pasti perasaan terharu menyelubungi diri terutama bagi mereka yang beragama Islam.


Apabila mengimbas semula perjalanan dakwah dan perkembangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, mustahil jika seseorang itu tidak merasai getaran keinsafan jauh di dalam sudut hati. Ternyata, peninggalan dan pengorbanan Baginda dapat dilihat hingga ke hari ini.

Dokumentari itu bermula dengan menyingkap sejarah keagungan tujuh buah masjid paling ikonik dalam dunia Islam. Ia meliputi aspek seni bina dan rekaan yang diilhamkan melalui ayat-ayat dalam al-Quran oleh individu ternama yang telah memeluk Islam.


Tema Hari Kebangsaan Malaysia

Tema Hari Kebangsaan Malaysia





 


Alhamdulillah bersyukur kepada Ilahi, kita dikurniakan nikmat kemerdekaan. 

Pada tahun ini, kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan tanahair tercinta yang ke 53. Alhamdulillah, sudah kita rasai nikmat kemerdekaan selama tempoh itu. 

Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Pada pagi tadi, sewaktu perhimpunan pagi, antara soalan Kuiz Sempena Bulan Kemerdekaan, ialah selama berapa tahunkah negara kita dijajah?



Cuba anak-anak bayangkan. Sejak 1511, selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis, sejak itu tanahair kita berada di bawah cengkaman penjajah. Bayangkan sudah tentu bukan sedikit nilai pengorbanan samada wang, tenaga, masa dan nyawa dalam usaha datuk nenek kita untuk memerdekakan tanahair kita.

Pada entry sebelum ini, Sambutan Hari Kemerdekaan-Malaysia  telah saya paparkan di blog ini. Oleh itu apa kata para pelajar mengimbas semula tema-tema hari kemerdekaan pada tahun-tahun lepas. 

Sebenarnya hari kemerdekaan hanya mempunyai tema bermula daripada tahun 1970. 

Setiap tahun tema ini diubah mengikut situasi semasa kecuali tahun 1988-1989 dan tahun 2000-2006.

1970   Muhibah dan Perpaduan
1971   Masyarakat Progresif

1972   Masyarakat Adil
1973   Masyarakat Berkebudayaan Malaysia

1974   Sains dan Teknologi Alat Perpaduan

1975   Masyarakat Berdikari 1976 Ketahanan Rakyat
1977   Bersatu Maju
1978   Kebudayaan Sendi Perpaduan

1979   Bersatu Berdisiplin

1980   Berdisiplin Berbakti

1981   Berdisiplin Berharmoni
1982   Berdisiplin Giat Maju

1983   Bersama Ke Arah Kemajuan

1984   Amanah Asas Kejayaan

1985   Nasionalisme Teras Perpaduan

1986   Bangsa Tegas Negara Teguh

1987   Setia Bersatu Berusaha Maju

1988   Bersatu
1989   Bersatu

1990   Berjaya

1991   Wawasan 2020

1992   Wawasan Asas Kemajuan

1993   Bersatu Menuju Wawasan
1994   Nilai Murni Jayakan Wawasan

1995   Jatidiri Pengerak Wawasan
1996   Budaya Penentu Kecapaian
1997   Akhlak Mulia Masyarakat Jaya
1998   Negara Kita, Tanggungjawab Kita

1999   Bersatu Ke Alaf Baru

2000- 2006      Keranamu Malaysia
2007   Malaysiaku Gemilang
2008   Perpaduan Teras Kejayaan

2009   1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapain Diutamakan

2010   “1Malaysia Menjana Transformasi”.

Update; 6/8/2013:


2011

1Malaysia Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera

2010 
 
 
Melambangkan Visi Negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai Semangat Cintakan Negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.


Semoga kita memanfaatkan nikmat kebebasan ini ke jalan kebaikan.

Dokumentari Kisah Darurat

Dokumentari kisah darurat


ISHAK Yahya menyapu air mata ketika menceritakan pengalamannya sewaktu menyertai VAT 69 pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TAHUN ini menyaksikan negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53. Sepanjang tempoh itu jugalah, sudah terlalu banyak transformasi yang kita lalui sehingga mencapai apa yang sedang kita nikmati hari ini.
Mungkin kepada generasi muda hari ini, mereka kurang mengambil tahu kepayahan dan kesukaran yang perlu ditempuhi oleh negarawan dan tokoh terbilang negara untuk membebaskan negara daripada penjajah.
Begitu juga dengan semangat perajurit terdahulu yang sanggup berkorban harta dan nyawa demi membela nusa dan bangsa daripada ancaman penjahat.
Kisah mereka berjuang demi negara juga sudah terlalu banyak dipaparkan di media massa khususnya setiap kali menjelangnya bulan kemerdekaan.
Tahun ini, saluran History, Astro tidak ketinggalan meraikan sambutan kemerdekaan ke-53 dengan menayangkan dua dokumentari istimewa khusus buat tatapan masyarakat.
Dengan tajuk The Malayan Emergency dan VAT 69: Malaysia's Very Able Troopers, saluran History cukup optimis mampu menarik perhatian penonton apabila ditayangkan sepanjang bulan Ogos ini.
Dua dokumentari ini dihasilkan dan diterbitkan oleh beberapa syarikat produksi terpilih dengan kerjasama saluran History dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Apatah lagi, kedua-dua tajuk itu belum pernah diterbitkan sebelum ini dan ia dilihat dapat membuka mata serta minda masyarakat terhadap kisah yang tidak diketahui mereka sebelum ini.
The Malayan Emergency selama dua jam itu memaparkan tentang kisah darurat yang berlaku di Tanah Melayu selama 12 tahun dari 1948 hingga 1960.
Barangkali, kisah darurat yang penuh tragis itu belum pernah lagi diceritakan secara terperinci di mana-mana saluran televisyen lalu mendorong saluran History untuk menerbitkannya.
Diarahkan dan diterbitkan oleh Harun Rahman dan Lara Ariffin, kedua-dua pembikin filem dokumentari itu mengakui cabaran memang cukup besar untuk menghasilkan The Malayan Emergency.
Seboleh-bolehnya mereka mengelak daripada menghasilkan dokumentari seperti kebiasaannya.
Kerana itu, Harun dan Lara berusaha untuk menjejaki bekas askar, polis serta pengaman ketika itu untuk menceritakan pengalaman mereka sendiri.
"Memang kami temui ramai veteran yang terlibat sepanjang darurat itu tetapi bukan semuanya dapat memberikan kerjasama yang baik.
"Maklumlah, ada sesetengah daripada mereka sudah uzur dan tidak berupaya untuk bercerita tentang apa yang berlaku ketika itu," kata Harun yang sudah 20 tahun melibatkan diri dalam dunia penerbitan filem dokumentari.
Dia berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pratonton dokumentari berkenaan di Kuala Lumpur.
Turut hadir, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim dan Pengurus Besar AETN All Asia Networks, Louis Boswell.
Bercerita lanjut mengenai dokumentari terbitan Novista Sdn. Bhd. itu, Harun mahu menjadikan The Malayan Emergency sebagai satu tontonan wajib khususnya kepada generasi muda hari ini.
"Anak-anak muda hari ini mungkin terlupa bahawa kemewahan dan kejayaan negara yang dimiliki hari ini semuanya daripada air mata dan darah daripada pejuang bangsa kita.
"Jadi, apabila dokumentari ini ditayangkan, saya berharap mereka akan meluangkan masa menontonnya dan mengambil sesuatu yang positif daripadanya," katanya penuh mengharap.
Bagi Lara pula, memang sesuatu yang mustahil untuk memasukkan rakaman 50 temuramah dalam sebuah dokumentari yang berdurasi dua jam.
Namun, setelah disunting hanya 31 temuramah sahaja yang dapat dimuatkan dalam The Malayan Emergency.
"Temuramah yang kami tampilkan adalah daripada dua pihak yang terlibat sepanjang darurat. Ini bermakna dokumentari ini tidak menyebelahi satu pihak sahaja," jelas Lara.

Bila Diharam Berpuasa?

Bila diharam berpuasa?


dalam keghairahan kita beribadat, jangan sampai kita melakukan perkara yang dilarang oleh-Nya. -Gambar hiasan


BERMULA 1 Ramadan, umat Islam yang akil baligh, berakal dan tidak mengalami sebarang keuzuran mula berpuasa sehinggalah Ramadan melabuhkan tirainya dan Syawal menyingkap tabirnya.

Tahun ini merupakan tahun ke 1413 umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan jika didasarkan kalendar Hijrah yang mula dipergunakan pada tahun 622 sebagai tahun mula diwajibkan berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan.
Kalendar Hijrah didasarkan kepada tahun penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang mana jarak antara Mekah dengan Madinah mengambil masa 14 hari perjalanan.

Madinah atau nama asalnya Yathrib merupakan
perhentian tradisi yang terpenting bagi laluan perdagangan dari Mekah ke Syria dan sebaliknya.
Orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi menguasai Yathrib sejak sebelum Masehi lagi.
Pada abad ke-5 Masehi barulah orang Khazraj dan Aus berpindah dari Selatan Tanah Arab ke Yathrib dan telah menguasainya.

Sebagaimana orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi yang merupakan orang agama, orang Khazraj dan Aus juga menerima tempias itu kerana pergaulan mereka dengan orang Yahudi dan orang Arab beragama Yahudi.

Justeru itu selepas menguasai Yathrib sedikit sebanyak orang Khazraj dan Aus faham tentang ketuhanan, kenabian, kerasulan, wahyu dan hari akhirat.

Jadi tidak hairanlah apabila datang dakwah Islamiah ke Yathrib mereka mudah menerimanya.
Kerana itulah apabila kota kelahiran baginda tidak sesuai lagi menjadi pangkalan dakwah dan dengan perintah Allah, maka Rasulullah SAW telah memilih berhijrah ke Yathrib yang kini dikenali dengan Madinah bagi melancarkan tugas-tugas kerasulan baginda.

Setelah menjalani perjalanan jauh dan merbahaya dengan merentasi padang pasir yang luas dan panas, akhirnya pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan dengan 19 September 622, Rasulullah SAW bertemankan Abu Bakar As-Siddiq tiba di Quba, kira-kira tujuh kilometer dari Yathrib.

Baginda berehat selam empat hari di Quba dan sempat membina masjid pertama dalam Islam yang dinamakan Masjid Quba.

Pada hari Jumaat 12 Rabiulawal, bersamaan dengan 24 September 622 Masehi, baginda beserta Abu Bakar dan Ali bin Abi Talib yang menyusuli penghijrahan masuk ke Yathrib.

Pada hari yang sama Yathrib ditukar nama kepada Madinatun Nabiy yang bermakna 'Kota Nabi' yang kini dikenali dengan Madinah sebagai tanda penghormatan terhadap Rasulullah SAW. Pada hari dan tarik tersebutlah juga sembahyang Jumaat pertama kali diadakan.

Sayyidina Omar Ibnu Khattab yang merupakan Khalifah Ar-Rasyidin kedua adalah tokoh yang bertanggungjawab mencadangkan penggunaan kalendar sendiri oleh umat Islam.

Tahun penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah dipilih sebagai permulaan tahun hijrah manakala 'hijrah' atau hijriyah dipilih sebagai trade-mark kalendar yang kini sudah pun mencapai angka 1413 dari sudut bilangan tahunnya.

Setakat ini penulis tidak temui fakta sama ada kewajipan berpuasa sebulan bulan Ramadan bermula pada tahun 1 hijrah yakni pada tahun 622 Masehi atau jauh lebih awal dari itu.
Setelah demikian hebat dan tamadunnya kehidupan manusia, sepatutnya fakta-fakta itu tidak terus menjadi misteri.

Mudah-mudahan akan ditemui juga fakta itu nanti hasil usaha para cendekiawan Islam dengan dibantu oleh kecanggihan pelbagai perlatan sekarang.

Demikian juga bila menjelangnya bulan Ramadan, yang lazimnya di kuliah, dipercakapkan dan ditulis adalah tentang puasa, fadilat serta syarat sah puasa dan tuntutan kewajipan berpuasa serta kelebihan puasa sunat.
Jarang diperkatakan tentang larangan atau waktu dan keadaan yang haram untuk kita berpuasa.
Dalam Islam ada dua perkara pokok yang kena diberi perhatian yakni yang disuruh dan ditegah, dihalal dan yang diharamkan.

Buat yang disuruh dan halal berpahala, buat yang ditegah dan diharamkan berdosa.

Peringatan atau rangkai kata seperti apa yang dilakukan disangka perbuatan ahli syurga tetapi sebenarnya adalah perbuatan ahli neraka manakala perbuatan yang disangkakan pelakuan ahli neraka sebenarnya perbuatan ahli syurga tidak cuba dikaitkan dengan ibadah puasa.

Walhal larangan serta suruhan Allah dan Rasul-Nya relevan untuk semua keadaan dan suasana bagi kesempurnaan keislaman yang mana Islam itu sarat dengan disiplin.

Dalam tuntutan puasa wajib dan galakkan berpuasa sunat, kita juga diharamkan berpuasa pada hari tertentu yang mana sebab musabab ia diharamkan hanya Allah Yang Maha Tahu.

Yang pasti sama ada suruhan atau larangan-Nya tentu ada hikmah walaupun apa yang disuruh dan dilarang itu banyak yang bertentangan dengan naluri kita manusia yang terdedah kepada godaan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan.

Sama-samalah kita mengambil peringatan dan iktibar supaya kerana terlalu ghairah, maka kita berbuat sesuatu yang kita anggap ibadah sedangkan pada hakikatnya kita melakukan amalan yang diharamkan.
Mudah-mudahan puasa kita dan segala amal ibadat kita pada tahun ini diterima-Nya di samping segala dosa kita diampunkannya dan tahap keimanan kita akan jauh lebih sempurna berbanding dengan tahuh-tahun yang telah kita tinggalkan.

lRAMLI ABDUL HALIM adalah bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin, Rong Chenak, Pasir Mas, Kelantan.

JKM bantu dua beradik mangsa amukan bapa

JKM bantu dua beradik mangsa amukan bapa

 

IPOH 16 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan membantu dua beradik malang yang menjadi mangsa amukan bapa sendiri dalam kejadian yang menyebabkan ibu mereka maut di Teluk Intan, kelmarin.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hilir Perak, Harisf Abu Hassan berkata, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) secara bulanan sebanyak RM100 seorang akan diberi kepada mereka di bawah Skim Bantuan Kewangan Bagi Keluarga Miskin.

"Kita juga akan memberikan bantuan seperti yuran persekolahan serta bantuan lain mengikut kesesuaian.
"Sememangnya kami amat prihatin dengan nasib mereka dan menjadi tanggungjawab JKM untuk membantu dua beradik ini yang amat memerlukan bantuan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas nasib Najihah Mohd. Natri, 13, dan adiknya, Nazuwa, 10, yang menjadi yatim piatu ekoran tragedi berdarah Sabtu lalu.


IBU REMAJA DITAHAN MILIKI DADAH TEKAD KE AFRIKA

Ibu remaja ditahan miliki dadah tekad ke Afrika Selatan

Petikan akhbar Utusan Malaysia 17 Ogos 2010.

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Ibu Nur Dhiya Ain, remaja yang ditahan di Pusat Tahanan Ravensmead, Cape Town, Afrika Selatan, kerana memiliki dadah bertekad untuk menggunakan apa sahaja cara asalkan dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di samping anaknya itu.

Roslah Abdul Jani, 43, berkata, dia yang tidak dapat tidur kerana terlalu rindukan anak kedua daripada empat beradik tersebut, akan berusaha ke negara itu meskipun mengakui berhadapan masalah kewangan.
"Saya tidak tahu kepada siapa kami harus pergi untuk meminta bantuan kerana kos untuk ke Cape Town dianggarkan menelan belanja kira-kira RM10,000 untuk dua orang.

"Saya merayu orang ramai dan kerajaan dapat membantu saya untuk melawat Nur Dhiya Ain yang telah dianiaya oleh beberapa lelaki warga Afrika Selatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suami Mek Wook ditahan kes dadah lagi

Suami Mek Wook ditahan kes dadah lagi

 

 Petikan berita dari Utusan Malaysia 17 Ogos 2010. Seseungguhnya dadah memusnahkan kebahagiaan dan kasih sayang. Meretakkan institusi kekeluaragaan. Itulah bahayanga dadah.


HULU TERENGGANU 16 Ogos - Suami kepada Mek Wook Kundur, wanita berusia 107 tahun yang dibebaskan pertengahan bulan lalu kerana menagih dadah, sekali lagi ditangkap atas kesalahan yang sama baru-baru ini.

Mohd. Nor Che Musa, 38, yang dibebaskan pada 15 Julai lalu ditahan pada Khamis lalu dalam serbuan polis cawangan Narkotik Khamis lalu di Kampung Pasir Tinggi dekat sini.

Biarpun Mohd. Nor dicekup dan ditahan dalam lokap, Mek Wook tetap tabah malah sanggup berbuat apa saja demi menyelamatkan suami tersayangnya.

Buktinya, dia sanggup mengeluarkan wang simpanannya berjumlah RM2,000 dari sebuah bank di pekan Kuala Berang semata-mata untuk membebaskan suaminya dari tahanan.

Bagi Mek Wook, biar bagaimana buruknya perangai Mohd. Nor, suaminya itu tetap jantung hatinya dan hanya Mohd. Nor saja tempatnya bergantung hidup sampai bila-bila.

Dadah: Suami isteri antara ditahan

Dadah: Suami isteri antara ditahan



Petikan akhbar Utusan Malaysia 17 Ogos 2010.

BATU PAHAT 16 Ogos - Selang tiga hari kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran antarabangsa Eramin 5 terbesar di Ayer Hitam, Khamis lalu, pasukan itu berjaya membongkar stor dan makmal memproses pelbagai jenis dadah pula di Taman Sri Penggaram di sini semalam.

Dalam serbuan di empat lokasi berasingan itu, polis menahan sembilan ahli sindiket termasuk sepasang suami isteri berusia 30-an serta merampas sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM500,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin berkata, serbuan bermula di rumah pasangan itu dan hasilnya polis menemui bahan dan peralatan untuk memproses heroin.


Study Hard @ Study Smart?

STUDY HARD @ STUDY SMART?



Study Hard menggunakan masa yang lama dengan susah payah untuk memahami sesuatu topik. Study Smart pula memahami sesuatu topik dengan pantas & selebihnya menggunakan minda untuk memberikan hujah & penjelasan. Study Hard & Study Smart sama penting. Kalau bolah kita hendaklah study hard dan study snart! ‘Dan’ BUKAN ‘atau’. Jangan belajar last minute.

Belajar last minute menyebabkan anda terpaksa study hard dalam ertikata yang lain.Kalau anada belajar & mengulangkaji awal,anda mempunyai masa yang panjang & selesa untuk study smart.Bagaimanapun korbankan benyak masa jika anda mahu cemerlang.Minta bantuan guru apaapa yang tidak difahami.
TETAPKAN TEKNIK BELAJAR. “Belajarlah mengikut kaedah yang anda rasa berkesan.

Anda sendiri akan merasa kesannya apabila berjaya menjawab soalan didalam peperiksaan dengan senang ; mendapat keputusan yang cemerlang.” PERANAN SOALAN RAMALAN ; SOALAN TAHUN-TAHUN LEPAS “Soalan ramalan biasanya dihasilkan setelah pembuat soalan menjalankan analisis yang teliti tentang pattern & kekerapan sesuatu topik itu keluar.

Soalan ramalan juga mendedahkan topik-topik penting.Menjawab soalan ramalan adalah suatu latihan bermanfaat.Cuma pelajar jangan mengharap 100% kepadanya.” 

“Soalan tahun-tahun lepas adalah himpunan kertas peperiksaan sebenar.Ini mendedahkan pola sebenar peperiksaan.Dari soalan tahun-tahun lepaslah terbentuknya soalan ramalan.”

Permohonan kemasukan ke program pengajian Politeknik KPT Sesi Disember 2010

PERMOHONAN KEMASUKAN KE PROGRAM PENGAJIAN
POLITEKNIK KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (KPT) SESI DISEMBER 2010




Permohonan kemasukan ke program pengajian Politeknik KPT Sesi Disember 2010 dibuka mulai hari KHAMIS, 5 Ogos 2010.
http://www.politeknik.edu.my bagi pemohon
kategori berikut:
a. Lulusan SPM dan setaraf     
b. Lulusan Sijil Politeknik KPT
c. Lulusan Sijil Kolej Komuniti KPT
d. Lulusan Diploma Politeknik KPT
e. *Lulusan Kolej Matrikulasi KPM Jurusan Sains

Pemohon Sesi Jun 2010 yang tidak berjaya atau tidak mendaftar boleh memohon semula menggunakan no. pin yang sama.

Cara Memohon 

Permohonan kemasukan ke program pengajian Politeknik KPT
Sesi Disember 2010 hendaklah dibuat melalui kaedah dalam talian (ON-LINE) dengan melayari laman web;



Untuk mengakses e-Borang pemohon mesti menggunakan kombinasi nombor kad pengenalan dan nombor PIN.

Pemohon diminta membeli nombor PIN di kaunter atau Mesin ATM Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM6.00 (Ringgit Malaysia: Enam sahaja)

Pemohon perlu mengemukakan Kad Pengenalan atau MyKad semasa membeli nombor PIN di kaunter BSN.

Jika pemohon mewakilkan seseorang untuk membeli nombor PIN, salinan Kad Pengenalan atau MyKad pemohon mesti dikemukakan oleh wakil tersebut kepada pihak BSN. Maklumkan dengan jelas kepada pihak BSN bahawa nombor PIN yang hendak dibeli adalah untuk permohonan kemasukan ke Politeknik KPT.

Pastikan slip pembayaran BSN dicetak nombor Kad Pengenalan atau MyKad pemohon dengan betul serta terdapat nombor PIN enam (6) digit bermula dengan "40" dan diikuti empat angka yang lain sebelum meninggalkan kaunter BSN. Contoh No PIN : 401051
Nombor PIN ini hanya boleh digunakan bagi kemasukan Sesi Jun 2010 dan Disember 2010 sahaja.

Pemohon perlu membeli semula nombor PIN sekiranya lupa.

Maklumat lanjut; e-Borang Politeknik KPT

Pemohon berkeperluan khas (masalah pendengaran) ialah pelajar lepasan tingkatan lima dari Sekolah Pendidikan Khas kelolaan Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau Program Pencantuman Pendidikan Khas di bawah KPM. Permohonan hendaklah dibuat melalui Bahagian Pendidikan Khas KPM, di alamat :
Pengarah,
Bahagian Pendidikan Khas,
Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 2, Blok E2, Parcel E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 PUTRAJAYA
Telefon : 03-88849190 

Borang permohonan boleh didapati dari Jabatan Pelajaran Negeri atau Bahagian Pendidikan Khas.

Tarikh tutup:
Permohonan kemasukan ke program pengajian Politeknik KPT
Sesi Disember 2010 ditutup pada 17 September 2010 (Jumaat).

Permohonan ke UiTM Sesi Disember 2010




Permohonan ke UITM Sesi Disember 2010; Mengubah Destini Anak Bangsa

Syarat Am

Calon-calon mesti memenuhi Syarat Am Universiti dan Syarat Khas Program bagi setiap program pengajian yang dipohon.

Syarat Am Universiti Bagi Calon SPM/ setaraf

* Lulus SPM / setaraf dengan mendapat sekurang-kurangnya 5 kepujian.
* Kepujian dalam Bahasa Melayu / Malaysia.

Syarat Am Universiti Bagi Calon STPM

* Lulus SPM / setaraf dengan baik.
* Kepujian dalam Bahasa Melayu / Malaysia di peringkat SPM/ setaraf.
* Mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.00) dalam Pengajian Am
dan Gred C (NGMP 2.00) dalam dua (2) mata pelajaran lain.
* Mengambil Malaysian University English Test (MUET).

TAHAP PROGRAM
Band Empat (4)
Sarjana Muda Pendidikan Dengan Kepujian ( Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) (TESL)
Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang (Kepujian)

Band Tiga (3)
Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian
Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dan Pembedahan
Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian)
Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) (Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional)

Band Satu (1)
Program lain selain di atas

Syarat Am Universiti Bagi Calon Matrikulasi

* Lulus SPM / setaraf dengan baik.
* Kepujian dalam Bahasa Melayu / Malaysia di peringkat SPM/ setaraf.
* Lulus Matrikulasi KPM/ Asasi Sains UM/ Asasi Undang-Undang KPTM
dengan sekurang-kurangnya mendapat PNGK 2.00.
* Mengambil Malaysian University English Test (MUET).

TAHAP PROGRAM

Band Empat (4)
Sarjana Muda Pendidikan Dengan Kepujian ( Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) (TESL)
Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang (Kepujian)

Band Tiga (3)
Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian
Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dan Pembedahan
Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian)
Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) (Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional)

Band Satu (1)
Program lain selain di atas

Permohonan kemasukan ke UiTM bagi sesi Disember adalah melalui aplikasi elektronik UiTM.  Diuruskan sepenuhnya oleh Bahagian Pengambilan Pelajar, UiTM yang diiklankan pada bulan Julai/ Ogos setiap  tahun melalui laman http://www.online.uitm.edu.my

Syarat Am Universiti Bagi Calon Diploma

* Lulus SPM / setaraf dengan mendapat sekurang-kurangnya 5 kepujian.
* Kepujian dalam Bahasa Melayu / Malaysia di peringkat SPM/ setaraf.
* Mempunyai kelulusan Diploma atau kelulusan setaraf dan diluluskan oleh Senat Universiti.
* Mengambil Malaysian University English Test (MUET).

LELAKI GAY MAHU BERUBAH

LELAKI GAY MAHU BERUBAH



Entry ini saya petik daripada Sesi Kaunseling Remaja bersama Dr Sapora Sipon. Ia dimuatnaik di sini sebagai kemudahan untuk membuat rujukan dan renungan bersama. 

Ruangan ini merupakan sesi kaunseling bertulis antara remaja dan Kaunselor Dr Sapora Sipon akhbar Harian Metro, klik sini. 




SAYA lelaki yang berperwatakan lembut dan mempunyai kekasih gelap. Naluri songsang itu bermula sewaktu berumur 12 tahun. 

Abang saudara saya mengajar bagaimana melakukan hubungan sejenis. Pada mulanya saya agak takut tetapi lama kelamaan perbuatan itu saya lakukan hampir setiap hari. Pelbagai cara dan aksi saya lakukan.

Lama kelamaan, saya sedar apa yang dilakukan dan cuba mengelak perhubungan songsang itu tetapi gagal. Tolonglah saya.

Ingin berubah
Petaling Jaya


DR tidak pasti apa yang adik inginkan sama ada mahu meneruskan kehidupan sebagai seorang gay atau menghentikan hubungan seksual songsang itu. Adik hanya menjelaskan pelbagai cara sudah dilakukan untuk menghentikan perbuatan hubungan seks sesama jenis, namun tetap gagal.

Adik juga menceritakan ciri perwatakan yang agak lembut dan sejarah terbabit dengan hubungan sesama jenis. Adik sendiri mengatakan hati tetap tidak berubah untuk terus melakukan hubungan sejenis. Ini membuatkan saya tertanya-tanya apa sebenarnya persoalan diri adik. Namun, Dr andaikan adik mempunyai keinginan untuk berubah dengan menceritakan kisah hidup adik. Faktor persekitaran membuatkan adik terjebak sebagai seorang lelaki yang menyukai lelaki. Dr faham bukan mudah meninggalkan tabiat seks luar tabii ini kerana sudah terlalu lama mendapat keseronokannya. Dr melihat permasalahan adik dari beberapa sudut. Pertama, jika adik ingin keluar daripada kehidupan seorang homoseksual, ia memerlukan perubahan dari segi pemikiran, gaya hidup, sikap dan keinginan seksual. Keinginan dan semangat yang kuat juga amat penting untuk berubah.

Pelbagai cara dan usaha adik lakukan tidak akan berhasil jika ruang lingkup hidup terus dikelilingi perkara yang boleh meneruskan perkara terkutuk ini. Jika bertekad untuk mengubah diri, adik perlu mendapat rawatan, mendekatkan diri dengan Allah di samping mendapatkan khidmat kaunselor. Ada rawatan yang boleh mengurangkan ketagihan seks. Isunya ialah sama ada adik ingin berubah dan mendapatkan rawatan berkenaan atau tidak.

Dari sudut agama, adik sendiri sedar dan tahu perbuatan itu tidak diterima mana-mana agama pun. Perbuatan ini bertentangan dengan sifat tabii manusia. Dalam Islam, banyak ayat al-Quran yang mengharamkan perbuatan seks sesama jenis.

Dari sudut kesihatan, hubungan seks sesama lelaki mempunyai risikonya. Contohnya, sindrom kurang daya tahan melawan penyakit atau Aids ( Acquired Immune Deficiency Syndrome). Jika adik meneruskan aktiviti seks sejenis, kemungkinan adik untuk tidak berkahwin adalah tinggi kerana minat terhadap wanita sudah tiada. Adalah sukar untuk membahagiakan pasangan dalam perkahwinan tanpa diiringi hubungan seks yang memuaskan.

Banyak kesan negatif jika adik meneruskan kehidupan gelap itu. Walaupun diselubungi keseronokan seksual, kesan buruk lebih banyak. Adik perlu memikirkan perkara ini dan tidak hanya memikirkan elemen keseronokan. Dr harap adik dapat memilih kehidupan yang terbaik dan memilih jalan diredai.