Pendidikan vokasional strategi elak keciciran
KENYATAAN oleh Menteri Pelajaran untuk merombak semula sistem pendidikan vokasional seperti yang dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia (21 Mei 2008) menarik untuk dibincangkan. Me- nurut kenyataan tersebut, inisiatif ini bagi memberi peluang kedua kepada pelajar- pelajar yang tidak berminat dalam akademik tetapi mempunyai potensi dalam bidang vokasional serta kemahiran, seterusnya mengurangkan keciciran di kalangan pelajar.
Turut disebut ialah inisiatif ini yang akan digembleng dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai institut kemahiran ma- sing-masing.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Men- teri turut melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar daripada sekolah rendah hingga tingkatan lima didapati mengalami keciciran daripada sistem persekolahan negara, ia tentu sekali suatu perkara yang tidak seharusnya di- pandang remeh.
Angka ini amatlah besar bilangannya dan jika dikira keciciran ini berlaku se- panjang 11 tahun tempoh persekolahan iaitu di sekolah rendah dan menengah, bermakna setiap tahun seramai 7,545 pelajar didapati tercicir daripada arus pendidikan.
Walaupun nampak kecil peratusannya, yang pasti ia tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak mengambil langkah-langkah pemulihan awal yang sewajarnya setiap tahun. Malangnya, ti- ada usaha yang serius untuk menanganinya dan menganggap ia sebagai suatu fenomena yang biasa dalam pendidikan.
Justeru cadangan kerajaan untuk mem- buat rombakan ke atas sistem pendidikan vokasional tersebut amatlah bertepatan dengan keperluan semasa. Adalah suatu yang mendukacitakan sekiranya kita masih beranggapan bahawa, ha- nya pencapaian cemerlang dalam akademik sahaja sebagai penentu kepada kecemerlangan dalam kehidupan.
Begitu juga, adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang cemerlang dalam akademik sahaja yang mampu menjadi warga yang berguna. Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran seperti yang dilaporkan itu tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.
Pendidikan vokasional yang menitik beratkan latihan untuk pekerjaan mampu membentuk individu agar mampu berdikari dan lebih berkeyakinan dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira kecemerlangan akademik sebagai ukuran.
Ini menjadikan ia sebagai pilihan terbaik untuk mereka yang telah dikenal pasti tidak berkemampuan untuk meneruskan sistem pendidikan berasaskan akademik semata-mata.
Justeru, berikut merupakan beberapa cadangan untuk difikirkan oleh pihak pe- laksana dasar dalam merangka strategi terbaik ke arah mana rombakan ke atas sistem pendidikan vokasional itu perlu di halakan.
Apa yang penting ialah rombakan tersebut mestilah mampu memastikan setiap insan akan mendapat pembelaan se- wajarnya untuk kepentingan negara di masa depan, tanpa
l Pendidikan vokasional, jika dimulakan di peringkat sekolah rendah seperti yang di sebut oleh Timbalan Perdana Menteri, perlulah menjurus kepada eksplorasi minat pelajar-pelajar. Guru-gu- ru, di samping memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, harus juga berusaha untuk mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu 'kad minat pelajar' perlu diwujudkan untuk setiap pelajar.
l Setiap pelajar hendaklah dipastikan tidak harus merasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan oleh pencapaian akademik yang tidak memuaskan. Oleh itu, anugerah penghargaan juga harus diberikan setiap tahun di hari penyampaian hadiah kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan kreativiti dalam bidang-bidang yang telah dikenal pasti.
l Mata pelajaran 'Kerjaya' harus diperkenalkan seawal di tingkatan satu de- ngan memperkenalkan bentuk-bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara. Bentuk pekerjaan tersebut meliputi tenaga kerja am, tenaga kerja mahir, tenaga kerja semi profesional dan tenaga kerja profesional. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian akademik yang cemerlang.
l Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari tingkatan satu hingga ke tingkatan tiga, pihak sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara pa- da masa depan mengikut sektor.
l Laluan kerjaya bagi setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan lebih jelas dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Ini bertujuan untuk memberi harapan kepada pelajar-pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana masih terdapat peluang yang luas untuk mereka meningkatkan tahap kerjaya masing-masing dari semasa ke semasa.
Bagi menarik minat pelajar, seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha untuk memperkasakan dan memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya perlu memastikan pendidikan vokasional tidak menjadi bentuk pendidikan kelas dua.
Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya 'keciciran kemahiran' pula selepas itu.
Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2008
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen