Guru Calon luar bandar diutama jadi guru
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya ketika ini sudah memulakan proses berkenaan di beberapa kawasan dengan pengambilan dalam jumlah kecil bagi melihat keberkesanannya.
Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah kekurangan guru berikutan keengganan segelintir guru, terutama yang berasal dari bandar besar untuk bertugas di pedalaman.
“Pendekatan kami mula menampakkan hasil dengan kawasan pedalaman yang sebelum ini tidak cukup guru sudah berubah. Ramai juga penduduk di kawasan sekitarnya yang berkelayakan menawarkan diri.
“Bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa ia tidak akan menjadi dasar utama kementerian menempatkan guru di sesebuah kawasan atau menetapkan kuota khas kepada penduduk sekitar kawasan pedalaman menjadi guru,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Isu kekurangan guru di pedalaman bukan masalah baru berikutan keengganan guru dari bandar mengajar di kawasan berkenaan kerana menganggap ia masih mundur dari segi pembangunan dan kemudahan asas.
Ada juga tidak dapat menerima cara kehidupan di pedalaman yang kadang kala memerlukan mereka meredah hutan atau terpaksa menggunakan bot mahupun sampan untuk sampai ke sekolah.
Kementerian Pelajaran sebelum ini sudah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengatasi masalah berkenaan antaranya menyediakan kemudahan rumah selesa serta menaikkan kadar elaun.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, pihaknya juga akan melaksanakan satu lagi pendekatan dalam pengambilan guru di kawasan pedalaman dengan memberi keutamaan kepada guru lelaki.
“Ia dibuat kerana guru lelaki lebih lasak berbanding wanita.
“Bagaimanapun, perlu diingat, langkah ini bukannya bermaksud kami menafikan kemampuan serta kegigihan guru wanita. Malah kami akui masih ada guru wanita sanggup bertugas di sana,” katanya.
Berita Harian Online: 6 September 2009
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen