Pages - Menu

Pages - Menu

Hampir Gila desakan Ibubapa

‘Saya hampir gila ibu bapa desak jadi doktor’

Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot  sebagai rujukan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan kaunseling remaja bersama Dr Sapora Sipon.Semoga mendapat manfaatnya.
SOALAN

BAPA saya seorang ahli akademik yang berjaya. Saya menuntut di tingkatan empat dan memperolehi keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Masalahnya, saya sangat tertekan dengan ibu bapa yang terlalu mendesak saya untuk berjaya seperti mereka. Bapa sentiasa mahu saya menjadi sepertinya. Saya mahu mendapatkan apa yang diperolehinya tetapi bukan atas desakan.

Untuk pengetahuan doktor, hidup saya tidak bebas. Malah, saya langsung tidak boleh keluar menonton wayang dan berjalan bersama rakan. Mereka hanya mahu saya sentiasa membaca buku di rumah.

Selain desakan belajar, bapa mahu saya menjadi doktor perubatan seperti anak rakannya tetapi saya meminati bidang ketenteraan. Saya takut tidak dapat memenuhi keinginan bapa. Saya tahu niatnya baik tetapi saya sangat tertekan dengan sikapnya. Saya seperti hampir gila apabila terlalu tertekan dengan masalah ini.

AMIR,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN

KEJAYAAN ibu bapa sememangnya boleh mendatangkan tekanan kepada anak apatah lagi kejayaan mereka itu dijadikan batu pengukur untuk diikuti anak-anak.

Kegagalan anak mengikut segala yang dikehendaki ibu bapa sememangnya akan memberi tekanan, kemurungan serta kebimbangan kepada si anak dan inilah yang berlaku pada diri adik.

Dari sudut psikologi, hubungan rapat antara ibu bapa dan anak menyebabkan mereka berasa bertanggungjawab serta mempunyai harapan tertentu ke atas kehidupan anak masing-masing.

Harapan itu biasanya akan lebih tinggi kerana ia melambangkan siapa diri mereka sebenarnya. Ibu bapa juga akan memperolehi status daripada kejayaan anak mereka. Mereka juga biasanya menggunakan anak untuk mencapai cita-cita yang tidak dapat diperolehi.

Ibu bapa sentiasa menginginkan yang terbaik untuk anak dan mereka akan meletakkan harapan tinggi kerana realitinya, anak adalah gambaran siapa diri mereka. Ini kerana, anak yang tidak berjaya mencerminkan kegagalan mereka.

Memaksa anak untuk melakukan apa yang mereka tidak suka boleh menyebabkan anak mencari tempat lain yang dirasakan lebih selamat dan tempat mengadu. Ini akan mengurangkan kuasa ibu atau bapa walaupun semua itu dilakukan untuk kebaikan anak.

Ahli psikologi percaya, kehidupan bukan saja bergantung kepada kejayaan akademik tetapi keupayaan membina kehidupan yang lebih holistik. Ini diikuti dengan pembinaan modal insan yang juga sangat penting dalam kehidupan.

Di sini, adik perlu menyuarakan apa yang diinginkan dalam kehidupan kepada bapa dengan penuh hormat. Katakan pada mereka, segala yang mereka lakukan itu sangat adik hargai malah adik mempunyai cita-cita serta keinginan kehidupan lain selain belajar.

Tindakan itu mungkin boleh membuka ruang kepada perbincangan serta pemahaman yang lebih antara adik dan bapa.

Ibu bapa yang baik adalah mereka yang berupaya membantu anak mencapai kejayaan dan menjadi contoh serta idola yang dapat mempengaruhi kejayaan anak. Oleh itu, doktor doakan adik berjaya mencapai cita-cita di samping menjadi anak yang taat kepada perintah ibu bapa.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen