Pages - Menu

Pages - Menu

Aktiviti Cuti Sekolah

Aktiviti Cuti Sekolah



Cuti sekolah sudah tiba.  Tentu para pelajar seronok melalui cuti yang panjang ini.

Kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam tahun ini, biasanya pihak sekolah telah mengadakan kelas insentif untuk pelajar.  Datanglah ke kelas yang diadakan guru-guru anda.

Pastinya guru-guru anda sanggup korbankan masa cuti mereka untuk membantu meningkatkan pelajaran anda.

Jika mereka sanggup korbankan masa rehat mereka, apa salahnya anda mengambil peluang keemasan itu. Ketepikan rasa penat dan jemu. Jadi, rebutlah peluang yang ada itu. Hadirkanlah dirimu ke kelas tambahan itu.

Siapa yang rajin menuntut ilmu insyaAllah ada kebaikan di situ…

Di Malaysia, bidang pendidikan adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi manusia secara menyeluruh bagi mewujudkan modal insan yang cemerlang, iaitu cerdas minda, mantap rohani, stabil emosi dan sihat jasmani.

Sebenarnya kecemerlangan pendidikan tidak hanya dibebankan kepada para guru di sekolah, bahkan ia bergantung kepada peranan ibubapa di rumah. 

Kedua-dua institusi ini iaitu sekolah dan rumahtangga saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan pendidikan.

Kepada para pelajar yang yang tidak menduduki peperiksaan awam tahun ini, diharapkan dapat mengisi masa yang terluang dengan melakukan aktiviti berfaedah.

Masa cuti begini memberi ruang yang banyak untuk anda mengulang kaji pelajaran terutamanya bagi topik-topik yang masih belum anda kuasai lagi.

Jadual belajar: Anda harus menjadualkan waktu belajar agar masa tidak berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan sebarang tindakan yang berguna.

Latih tubi:Anda harus banyak membuat latihan dan membiasakan diri dengan soalan-soalan peperiksaan.

Menyertai majlis ilmu. Majlis ilmu seperti kelas tambahan, kem motivasi dan sesi bimbingan boleh disertai untuk menambahkan kemahiran serta meningkatkan aras motivasi diri.


Di sesetengah kawasan kejiranan, pihak jawatankuasa masjidnya mengadakan kem Ibadah atau kem Motivasi Solat atau kem hafazan selama beberapa hari sewaktu cuti sekolah begini. 

Rasanya yurannya tidaklah mahal sangat. Kebetulan petang tadi dalam Segemen Salam Masjid di Ikim.fm ada terdengar program seumpama ini. Contohnya MAsjid Ar Rahman di Pantai Bharu ada mengadakan program seumpama ini.

Perkara yang harus dielakkan semasa cuti sekolah:

Membuang masa tanpa belajar: Perbuatan seperti berkeliaran di pasaraya atau di kampung-kampung haruslah dielakkan kerana ia tidak memberi faedah. Setiap saat yang digunakan mampu meningkatkan prestasi anda. Sesungguhnya orang yang membuang masa adalah orang yang amat rugi di dunia dan di akhirat.

Menikmati hiburan keterlaluan: Menonton rancangan TV yang tidak berfaedah, menonton video, melayari internet tanpa tujuan, bermain ”video-game” adalah di antara tindakan yang tidak bijak dan harus dihentikan segera.

Pesanan lagi untuk  mereka bergelar pelajar, Kalau naik motorsikal tu, bawa elok-elok .

 No jatuh-jatuh, lumba-lumba, langgar-langgar tau. Ha yang luka kena ekzos motor tempoh hari belum lagi baik, usah ditambah lagi ya. Yang minat motorcross, rasanya kat tempat kita ni banyak pilihan.

Di kampung bersebelahan kampung saya ni pun ada kawasannya. Selalu juga petang2 tertentu ada aktiviti motorcross.

Yang suka mandi sungai/ paya dan kat air terjun, ingat, keselamatan diri perlu diutamakan. Yang perempuan eloklah pergi dengan keluarga, ya. Banyaknya pesanan penaja. :)


Bermulanya cuti persekolahan, maka tugas guru yang mengajar di sekolah telah dihentikan sementara dan ibubapa bertanggungjawab penuh menyambung kesinambungan tugas mendidik anak-anak di rumah.

Nampaknya, waktu cuti sekolah begini, ibubapa kenalah menjadi cikgu kepada anak-anak…

Semoga  sepanjang cuti sekolah ini, anak-anak kita dinaungi oleh suasana pendidikan dan pembelajaran yang berterusan. Semoga usaha ini dapat mengawal pengaruh liar dari aktiviti yang negatif dan sekaligus melahirkan generasi yang mantap akidah dan cemerlang dalam pendidikan.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen