Calon cerebral palsy mahu jadi profesor
KOTA BHARU 21 Sept. - Dengan menolak pensil yang diselitkan di celah jari tangan kirinya menggunakan dagu, Ahmad Faiz Ibrahim tekun menjawab soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.
Calon UPSR dari Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1 itu terpaksa menolak pensil menggunakan dagu untuk menulis kerana menghidap cerebral palsy sejak lahir iaitu sejenis kekacauan atau gangguan kendalian terhadap fungsi motorik disebabkan oleh kerosakan pada otak yang sedang berkembang sehingga mengekang pergerakannya.
Ahmad Faiz, 12, merupakan salah seorang daripada 219 calon UPSR yang menduduki peperiksaan tersebut di sekolah itu dan dia diletakkan di bilik berasingan untuk memudahkannya menjawab soalan.
Walaupun cacat, kanak-kanak yang berasal dari Kampung Pengkalan Demit itu merupakan salah seorang pelajar harapan sekolahnya berikutan pencapaian 4A 1B yang dicatatnya dalam peperiksaan percubaan UPSR baru-baru ini.
Malah, Ahmad menanam cita-cita untuk menjadi seorang profesor dalam bidang sains satu hari nanti.
Ketika ditemui di sekolah itu hari ini, murid itu yakin mampu mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR tahun ini.
"Alhamdulillah, soalan-soalannya macam yang biasa saya buat dalam kelas. Saya berharap dapat 'mengalahkan' murid lain yang lebih pandai. Saya sudah bersedia sepenuhnya dan banyak belajar di rumah dengan bantuan ibu," katanya.
Anak kepada seorang guru, Ibrahim Yunus, 42, dan suri rumah, Zarina Mohd. Kassim, 36, itu ternyata mempunyai semangat dan keyakinan diri yang tinggi walaupun memerlukan bantuan sepenuhnya untuk bergerak disebabkan kecacatan itu.
Ketika di sekolah, dia terpaksa menggunakan kerusi roda yang ditolak oleh rakan-rakannya sebelum dipindahkan ke kerusi khas bagi menampung postur tubuhnya.
Sementara itu Zarina berkata, setiap dua minggu sekali dia dan suaminya akan membawa Ahmad Faiz ke hospital untuk latihan fisioterapi selain mendapatkan ubat-ubatan bagi menguatkan sistem saraf tubuhnya.
"Selain menghantarnya terus ke tempat duduk di dalam kelas setiap hari, saya juga pergi ke sekolah pada waktu rehat untuk menyuapkan makanannya.
"Saya melahirkan Ahmad Faiz ketika masih belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir dan sejak itu saya menumpukan sepenuh masa menjaga anak sulung saya daripada empat beradik ini," ujarnya.
sumber; Utusan Malaysia, 22/09/2010
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen