Pages - Menu

Pages - Menu

Kurikulum, pensijilan baru 2011

Kurikulum, pensijilan baru 2011 
 Petikan dari Utusan Malaysia, mySekolah , Isnin 20 September 2010




JABATAN Pembangunan Kemahiran akan memastikan kurikulum yang dibangunkan memenuhi piawaian minimum dan selaras dengan bidang ekonomi yang diberi keutamaan.

Kurikulum Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) akan mengandungi komponen kemahiran asas berkaitan dengan literasi dan numerasi serta penguasaan pelbagai bahasa.

Kemahiran asas ini penting sebagai sokongan kepada kemahiran praktikal serta pembinaan kemahiran dan keupayaan individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suasana kerja.

Di samping itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan membangun bank kurikulum untuk menyimpan semua kurikulum yang dibangunkan.

Agensi penyedia TEVT mengeluarkan sijil tersendiri dan sijil TEVT ini belum diiktiraf sepenuhnya sebagai sijil yang melayakkan calon memasuki institusi pengajian tinggi.

Penerimaan sijil TEVT dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan majikan dapat diperluas dengan menghapuskan keraguan terhadap kualiti latihan yang diberikan oleh pelbagai agensi.

Pada masa ini, SKM, Diploma Teknologi dan Sarjana Muda Teknologi tidak diiktiraf sepenuhnya oleh institusi pengajian tinggi dan Lembaga Jurutera Malaysia.

Untuk penyeragaman dan pengiktirafan pensijilan TEVT, SKM akan diguna pakai sebagai pensijilan kebangsaan bagi TEVT.
Langkah berikut akan diambil bagi memperkukuh pengiktirafan sijil TEVT:


  • Mengiktiraf dan menyeragam pelbagai tahap SKM dengan kesemua sijil yang dikeluarkan oleh penyedia TEVT menjelang tahun 2012;
  • Mewajibkan pekerja dalam pekerjaan terpilih memiliki SKM atau sijil yang setaraf. Syarat ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2012; dan
  • Memperluas penerimaan SKM sebagai syarat kelayakan masuk ke dalam skim perkhidmatan awam, dan ke institusi teknikal dan vokasional di peringkat tinggi dan ke institusi pengajian tinggi menjelang tahun 2011.
Lembaga Teknologis Malaysia akan ditubuh untuk mempercepat pengiktirafan sijil berkaitan kemahiran dan teknologi.
Pengiktirafan ini akan menggalakkan institusi pengajian tinggi termasuk institusi TEVT menawarkan kursus berkaitan teknologi selaras dengan keperluan ekonomi berpendapatan tinggi.

Selaras dengan hasrat untuk membangunkan pendidikan teknikal dan keperluan industri, Malaysia-Japan International Institute of Technology akan ditubuh sebagai institusi berautonomi di bawah Universiti Teknologi Malaysia dengan matlamat memperkukuh kerjasama dan rangkaian dengan Jepun dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

Institut ini berupaya memberi pendedahan kepada pelajar dan meningkatkan keberkesanan kos dalam menyediakan latihan tentang pembangunan teknologi terkini di tempat kerja, etika kerja dan amalan pengurusan Jepun.

Pada masa ini, terdapat keperluan untuk mengurangkan pertindihan kursus yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan bagi mengoptimumkan penggunaan kapasiti TEVT dan mengelak pembaziran sumber.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), perkara ini akan diberi perhatian memandangkan kadar enrolmen di institusi TEVT dijangka akan meningkat.

Institusi TEVT akan mengkaji semula, merasionalisasi dan memperkemas penyelarasan kursus menjelang akhir tahun 2011.

 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen