Berulang 40km sehari bukan penghalang kejayaan
BUKIT MERTAJAM 24 Mac – Biarpun terpaksa berulang alik hampir 40 kilometer (km) setiap hari dari Seberang Jaya di sini ke sekolahnya di Tasek Gelugor, ia bukan penghalang untuk Siti Nurshafiqah Iskandar Bacha, 18, memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Irshad itu memperoleh 9A+ dan dua A untuk muncul salah seorang pelajar terbaik di sekolah itu bersama Aliaa Shafinas Mohd. Don yang mendapat 11A+.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, setiap hari ibunya, Rohana Yusof, 39, akan menghantarnya ke sekolah dan berasa lebih selesa untuk membuat ulang kaji di rumah berbanding menetap di asrama.
“Saya sering membuat ulang kaji pada awal pagi kerana suasana waktu itu lebih tenang selain mudah untuk saya membuat solat tahajud dan solat hajat sebelum mula membuka buku.
“Selain itu saya sering buat perbincangan bersama rakan-rakan serta tidak malu bertanya dengan guru untuk menguasai beberapa subjek yang sukar,” kata anak kepada pengurus syarikat, Iskandar Bacha Kader Ghani, 43, itu.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen