Solat dalam sudut sains
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel ini dicopy daripada Utusan Malaysia, Selasa, 5/4/2011, seperti yang dilaporkan oleh wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI.
HUKUM wajib solat adalah kepada setiap Muslim yang mukalaf. Solat perlu ditunaikan selepas Nabi Muhammad SAW melalui peristiwa besar yang dinamakan Israk Mikraj.Sebelum itu, umat Islam menunaikan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Akan tetapi, apabila Allah memerintahkan Rasulullah hanya bersolat lima kali sehari semalam, ia merupakan satu berita yang menakjubkan, di mana manusia diberi banyak keringanan.
Hampir 10 kali ganda solat dikurangkan semata-mata kerana Allah sangat kasih pada hamba-Nya, yakni Nabi Muhammad.
Namun, masih ramai umat Islam mengabaikan solat. Mereka anggap solat hanya membuang masa dan tidak memberi apa-apa manfaat.
Ini menyebabkan ramai yang memandang enteng solat sehingga mengabaikannya kerana sibuk dengan kehidupan dan kesibukan duniawi.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengambil inisiatif merungkai persoalan solat melalui Program Sains Solat: Kebaikan Daripada Perspektif Sains'.
Ia diadakan pada 27 Februari 2011 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Selayang, Selangor.
Menurut Penyelaras program, Muhammad Farhan Tee Abdullah, majlis yang mendapat kerjasama Perkim Cawangan Selayang Baru itu mengundang pakar penyelidik berkenaan tajuk program sebagai pembentang kertas kerja.
Beliau adalah Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.
Kata Muhammad Farhan, saudara Muslim kadangkala tidak mengetahui kaifiat solat yang diperoleh. Mereka hanya mengikut apa yang dilihat.
"Kesannya, dibimbangi apa yang dipraktikkan adalah bertentangan dan terlibat pula dengan bidaah," katanya.
Muhammad Farhan yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, perkara sedemikian menyebabkan saudara Muslim tidak khusyuk semasa solat kerana ia dianggap ritual dan adat sahaja, bukannya ibadat.
Pandangan itu perlu diubah kerana menyembah Allah bukan perkara yang perlu diambil mudah.
"Allah adalah raja kepada segala Raja. Pastinya segala tumpuan perlu dilebihkan agar pengabdian diri menjadi lebih fokus.
"Ada banyak kelebihan daripada sudut sains jika kajian terhadap pergerakan solat dikaji," jelas Muhammad Farhan.
Pada program itu, Dr. Fatimah menggunakan multimedia dalam pembentangannya di hadapan 250 peserta yang terdiri daripada kalangan masyarakat awam, saudara Muslim, guru-guru sekolah dan pelajar-pelajar sekolah.
Dalam pembentangan kajian pertama bertajuk Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat, Dr. Fatimah menjelaskan pergerakan dalam solat amat mempengaruhi keadaan tubuh badan.
Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat.
Jika dilihat dari sudut fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.
Pada posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang paha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan.
Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang. Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud.
Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.
Dr. Fatimah turut menjemput seorang peserta membuat demonstrasi di pentas bagi membuktikan kebenaran kajiannya.
Peserta berkenaan mencuba seperti apa yang diarahkan dan bersetuju dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Fatimah.
Perasmian dilakukan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan, Datuk Hasbullah L. Isa. Beliau menekankan kepentingan solat dan menasihatkan peserta agar tidak timbul niat menjadikan solat semata-mata untuk menjadi sihat, kerana perkara sedemikian amat bercanggah dengan tujuan solat.
readmore...
Katanya, solat adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan.
Cuma apa yang ditekankan dalam kajian tersebut adalah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.
"Kajian Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat," katanya.
Dalam satu lagi sesi bertajuk Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung' Dr. Fatimah menjelaskan jantung memainkan peranan amat penting dan sangat berjasa kepada manusia.
Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60-80 denyutan seminit.
Akan tetapi bagi atlet sukan, kadar denyutan jantung mereka lebih rendah, iaitu 40-60 denyutan seminit.
Peserta diberi kefahaman bahawa, semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga.
Kesihatan jantung perlu diberi perhatian serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia.
Ia juga dikatakan pembunuh nombor satu negara kerana serangannya berlaku secara senyap dan tidak mengira keadaan.
Bahaya yang ditunjukkan akibat serangan jantung begitu membimbangkan, dan beliau berjaya menemui bukti saintifik bahawa dengan bersolat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik.
Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi.
Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit.
Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala.
Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat.
Hasil kajian beliau mendapati, posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah.
Selain itu sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan para peserta berinteraksi dengan Dr. Fatimah.
pernah juga terbaca tentang kajian orang kafir pasal solat ni kak ma.. antaranya sewaktu kita sujud ada certain amount darah akan masuk ke dalam salur otak kita, untuk memastikan otak kita mantap,baik dan sewaktu dengannya..saya tak dapat pastikan nama salur tu, tapi darah itu akan memasukinya sewaktu kita sujud je...subhanaAllah..
ReplyDeleteAkhirnya orang kafir(maaf saya tak ingat nama) yang buat kajian pasal solat ni memeluk islam..Alhamdulillah...