Statistik Pesakit HIV/ AIDS Semakin Bertambah
SETAKAT ini seramai 13,000 orang rakyat Malaysia mati lantaran virus rentan penyakit atau lebih dikenali HIV. Akibat sindrom kurang daya tahan penyakit itu jugalah 91,000 rakyat Malaysia dilemparkan dengan stigma negatif lantaran hidup dengan HIV.
Namun, dalam memastikan stigma itu dikikis selain menyebarkan sebanyak mungkin kesedaran mengenai kaedah menjauhi HIV, ramai yang sanggup ke depan untuk bergelar pejuang HIV/AIDS.
Sebagai mengenangkan pemergian insan-insan yang telah pergi meninggalkan fana dunia untuk menghadap Ilahi, Sambutan Hari Memperingati Pejuang HIV diadakan di 115 buah negara seluruh dunia pada tanggal tarikh 15 Mei saban tahun sejak 1983.
Touching Lives mengambil tempat sebagai tema sambutan tahun ini, selari dengan mesej yang hendak dihubungkan kepada orang ramai bahawa HIV sebenarnya telah dan boleh menyentuh kehidupan kita sama ada sedar mahu pun tidak.
Sebaran AIDS nelayan
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor pula pada masa yang sama menyeru wanita mengambil inisiatif sendiri untuk melengkapi pengetahuan mengenai cara perebakan virus HIV.
“Wanita sendiri perlu sedar dan diberi kesedaran supaya berhati-hati serta bersedia untuk berdepan dengan cabaran penyakit ini yang kadangkala merebak tanpa disedari,” tegasnya dengan memberikan contoh kawasan perkampungan nelayan negeri Pantai Timur yang kini diancam HIV berpandukan kajian terbaru.
Katanya, ada antara golongan nelayan lelaki di pesisir pantai yang berkongsi-kongsi pasangan tanpa perlindungan seks yang akhirnya menjarahkan virus HIV kepada isteri dan keluarga sendiri.
Berlandaskan fakta terkini itu juga, Noorul Ainur menjelaskan, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian telah menggandakan usaha mengekang bahana itu.
“Kita telah menempatkan pegawai khas di kawasan-kawasan pedalaman untuk mendidik masyarakat bukan sahaja golongan wanita bahkan, lelaki yang juga menjadi punca menularnya HIV menerusi hubungan kelamin tanpa perlindungan,” hurainya mengenai inisiatif holistik yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Harapannya, tiada lagi stigma yang masih melekat dalam sanubari orang ramai berkenaan isu HIV dan AIDS.
Seks penyebab utama
Menurut Presiden Yayasan Pink Triangle (PT) Malaysia, Hisham Hussein, sambutan itu memberi peluang kepada seluruh komuniti memperingati 13,000 orang rakyat Malaysia yang telah mati akibat HIV.
Ujarnya, seks adalah penyebab utama epidemik HIV di Malaysia kini berikutan sikap sambil lewa segelintir individu yang tidak melindungi diri ketika melakukan hubungan seks.
“Sepatutnya, kita semua perlu bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak tahu sama ada kita punyai virus itu atau pasangan kita yang milikinya. Oleh itu langkah perlindungan seperti pemakaian kondom dengan betul perlu diamalkan,” getusnya.
Kaedah jangkitan melalui seks ceritanya kini mencatatkan kadar setinggi 48.5 peratus berbanding penularan melalui perkongsian jarum suntikan atau penagihan dadah iaitu 47.6 peratus.
“Anda adalah siapa diri anda dan apa yang anda lakukan itu sebenarnya lebih utama, pasang nawaitu dengan betul supaya boleh membantu diri sendiri dan orang sekeliling,” pesan Hisham menyeru komuniti yang dijangkiti agar bekerjasama menghalang daripada merebaknya HIV.
Yayasan PT antara lainnya turut membekalkan ujian pengesanan HIV percuma yang menekankan aspek kerahsiaan dalam setiap sesi rawatan.
“Jika pesakit positif kuman HIV, khidmat kaunseling secara percuma akan diberikan tiga kali seminggu di dua pusat berasingan iaitu di Sungai Buloh dan di Jalan Tunku Abdul Rahman,” bicaranya yang bimbang akan penularan wabak HIV melalui kegiatan seksual golongan biseksual.
Ujarnya, jangkitan menerusi kecenderungan hubungan kelamin antara kedua-dua jantina yang berbeza lebih tinggi risikonya berbanding pasangan gay, mak nyah dan pekerja seks.
“Kita sebenarnya tidak sedar golongan biseksual lebih ramai bilangannya berbanding homoseksual atau heteroseksual maka, dengan jumlah ini juga kadar jangkitan HIV lebih tinggi dan cepat menular,” ulasnya ketika ditemui penulis di Majlis Sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia baru-baru ini.
SUMBER: KOSMO.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen