SAYA trauma dengan sikap ayah yang panas baran. Trauma itu berlanjutan sehingga kini walaupun saya mencecah umur 25 tahun.
Ini menyebabkan masalah komunikasi antara kami. Saya hanya menjawab sepatah kalau ditanya. Perbualan saya dengan bapa tidak pernah lebih daripada itu.
Ini mungkin disebabkan saya menyimpan dendam yang amat sangat padanya. Bolehkah saya menyaman orang tua saya atas trauma yang dialami dan kegagalan menjadi bapa berguna?
MUHD IMAN
Masalah adik Iman ibarat luka di jari boleh diubati tetapi luka di hati, parut sampai mati. Dang Setia lihat kegagalan bapa adik mengawal sikap panas baran menyebabkan adik terluka sehingga kini.
Luka adik pendam tanpa merawatinya sudah pun menjadi nanah. Buktinya adik menyimpan emosi dendam lalu menyebabkan adik terfikir untuk menyamannya kerana trauma.
Secara rasionalnya, menyaman bagi menyelesaikan isu itu bukan pilihan terbaik kerana Dang Setia bimbang kelak adik lebih terluka.
Adalah lebih baik pendekatan harmoni diambil. Mulai dengan meluahkan segala yang terpendam menerusi perbincangan dari hati ke hati.
Usahakan untuk menjernihkan hubungan berbanding menambah kekeruhan. Hubungan kekeluargaan ibarat air mengalir yang tidak akan putus meskipun berkali-kali adik cuba putuskan.
Meskipun ia sukar, memaafkan adalah penawar terbaik kepada rasa dendam dan trauma adik. Ini kerana maaf adalah ‘reversible effect’ (kesan berlawanan) kepada dua penyakit adik. Ia mendatangkan kekuatan berlawanan kepada trauma dan menghadirkan kecintaan bertentangan dengan dendam.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang kuat bukan yang banyak mengalahkan orang dengan kekuatannya. Orang yang kuat hanyalah yang mampu menahan dirinya di saat marah (sifat maaf).” (HR Al-Bukhari)
Mendatangkan kecintaan apabila dimulai dengan kemaafan. Buktinya, Allah SWT berfirman: “Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia. Dan sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan besar.” (al-Fushshilat: 34-35)
Dang Setia berharap adik akan menjadikan nasihat ini permulaan kepada usaha membina realiti hubungan bapa dan anak yang adik harapkan.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen