Pages - Menu

Pages - Menu

UniKL pelopor sistem pembelajaran maya 4G

UniKL pelopor sistem pembelajaran maya 4G

PUNCAK Semangat Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Albukhary, penyedia teknologi dalam bidang pendidikan merancang untuk menjadi pelopor sistem pembelajaran maya berteraskan teknologi rangkaian 4G di negara ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Abdullah Kadir Bacha berkata, projek membangunkan sekolah dan universiti maya melalui 4G itu akan diusahakan bersama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Website UniKL http://www.unikl.edu.my/

Jelasnya, kerjasama mengenai projek itu kini dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) bagi program pembangunan tenaga kerja mahir tinggi yang disediakan oleh UniKL.

"Kita percaya UniKL sebagai universiti pendidikan teknikal dan latihan vokasional pertama dapat menyediakan kepakaran dengan syarikat industri tempatan di negara ini dalam teknologi tersebut," katanya.
Menurut beliau, Puncak Semangat memiliki lesen perkhidmatan dan rangkaian 9 LTE 4G yang kini berada di landasan yang tepat untuk memperkembangkan teknologi rangkaian 4G ke seluruh negara.



"Dengan adanya sokongan daripada kerajaan di samping pertumbuhan ekonomi negara yang baik, kita menjangkakan ia dapat menjana pendapatan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Pejabat Pentadbiran UniKL di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Abd. Rahim Abd. Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Giat Mara, Meriyam Abd. Majid, Ketua Pengarah Symphonet Sdn. Bhd, Datuk Baharum Salleh; Pengarah Teknikal Radmik Solution Sdn. Bhd., Saiful Jumaat Osman dan Ketua Pegawai Operasi Perfisio Solutions Sdn. Bhd., anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Fareed Abd Ghani.

Antara kerjasama yang dijalankan meliputi bidang latihan untuk melatih kira-kira 5,000 tenaga kerja mahir tinggi dalam penyelidikan dan pendidikan menyediakan rangkaian Internet bersepadu 4G.

MoU kerjasama ini meliputi usahasama antara UniKL bersama Kumpulan Albukhary, Perfisio serta Yayasan Guru Malaysia yang merancang untuk menjadi pelopor Rangkaian Pembelajaran Secara Maya (VLE) dalam pasaran pendidikan negara.
Sementara itu, Timbalan Presiden (Usahawan Teknologi dan Hal Ehwal Pelajar) UniKL., Prof. Ahmad Zahir Mokhtar berkata, skop kerjasama itu termasuk mempromosikan pertukaran dan menyediakan tenaga kerja mahir dalam infrastruktur teknologi jalur lebar 4G dalam sektor kerajaan, swasta, universiti kolej dan sekolah.

Beliau berkata, MoU yang ditandatangani berkenaan juga bagi mempromosikan kolaborasi penyelidikan dan teknologi tinggi merangkumi tenaga kerja mahir dalam membantu usahawan dan pelajar bumiputera untuk menerajui teknologi visual ini melalui Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) yang bakal dilaksanakan di negara ini.

"Kita akan bekerjasama dengan semua agensi, universiti dan kolej yang ditubuhkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memastikan usahawan dan pelajar bumiputera di negara ini mendapat tempat dan berdaya saing dalam teknologi ini.

"Turut diberi fokus menerusi perjanjian tersebut adalah bagi memudahkan pertukaran tenaga kerja mahir jalur lebar 4G dan sekretariat melibatkan teknologi, penyelidikan makmal, pusat penyelidikan, perpustakaan dan pelbagai badan pentadbiran," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen