Pages - Menu

Pages - Menu

Komunikasi seks ibu bapa dan anak

Komunikasi seks ibu bapa dan anak


MUNGKIN sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kita, perbincangan mengenai seks dan perhubungan intim merupakan satu topik yang cuba dielakkan daripada menjadi perbualan dalam sebuah keluarga.

Kebanyakan ibu bapa mempunyai alasan tersendiri dan antara yang popular adalah anak-anak terlalu mentah untuk mengetahui mengenai seks walaupun hakikat sebenarnya mereka (ibu bapa) tidak tahu apa harus diperkatakan.

Apa yang pasti ibu bapa menjadikan alasan ia bertentangan dengan adat dan budaya serta kurang manis untuk dibincangkan secara terbuka.

Mereka lebih suka berdiam diri dan menyerahkan kepada anak-anak mempelajarinya sendiri.

Akhirnya anak-anak akan menjadikan cerita-cerita yang dijaja oleh rakan sebagai rujukan sedangkan informasi yang diperoleh itu mungkin tidak betul.

Tahukah anda bahawa alam remaja merupakan fasa kritikal dalam hidup setiap orang yang memerlukan ibu bapa sentiasa bersama anak-anak. Ini termasuk dalam berbicara mengenai pelbagai perubahan diri yang dihadapi baik dari segi perubahan fizikal tubuh badan dan emosi?

Pada saat inilah anda selaku ibu, seseorang wanita bertanggungjawab memainkan peranan memberikan panduan yang sepatutnya.

Ya. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tetapi, tidak salah dan ruginya untuk anda mencuba.

Malah, ada ibu bapa yang berfikiran terbuka kini pun masih ragu-ragu dan teragak-agak apabila diminta berbicara mengenai seks di hadapan anak remaja mereka.

Hilangkan kekok ibu dan anak

Bagi merungkai permasalahan komunikasi terlarang itu, syarikat farmaseutikal, Bayer Healthcare telah mengadakan bengkel khas khusus untuk wanita sahaja bagi membantu para ibu dan anak perempuan mereka mengatasi rasa kekok berbicara mengenai seks.

Jangan salah sangka, bengkel itu bukan mengajar mengenai seks tetapi, ia membekalkan informasi dan tip mengenai bagaimana untuk memulakan dan mengawal perbincangan tentang seks serta perhubungan.

Malah, ia turut menyentuh mengenai isu kesihatan wanita, kepentingan menjaga alat sulit dan kesihatan reproduktif selain pada masa yang sama menjelaskan peranan merancang kehamilan apabila menyentuh mengenai isu kehamilan tidak dirancang.

“Transformasi daripada seorang gadis remaja menjadi wanita dewasa merupakan sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, jika anak gadis anda tidak tahu apa yang bakal ditempuhinya, tidak bersedia untuk melalui perubahan fizikal dan hormon yang berlaku, ia akan menimbulkan kekeliruan selain dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan.

“Sebagai seorang gadis yang mahu melangkah ke alam dewasa, dia perlu memahami perubahan fizikal dan hormon yang bakal ditempuhinya,” kata Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran yang mengupas topik mengenai Fahami Tubuh Anda pada bengkel tersebut.

Premitha juga menegaskan bahawa pendidikan tidak terhenti dengan mengetahui mengenai kitaran haid dan reproduktif sahaja.

“Ibu perlu memainkan peranan utama sebagai rakan dan tempat mengadu yang boleh membimbing anak perempuan mereka mengharungi langkah pertama menjadi seorang wanita.

“Anak-anak perempuan anda bakal menjadi seorang gadis remaja yang secara biologinya mampu untuk melahirkan anak. Ia adalah saat yang genting untuk mereka dibekalkan dengan pengetahuan tentang kesihatan reproduktif, seks selamat dan kontrasepsi,” ujarnya.

Jangan biar anak seorang diri

Tambah wanita itu lagi, apabila dibekalkan dengan informasi yang sepatutnya, anak-anak gadis sedikit sebanyak sudah bersedia dengan implikasi yang bakal dilalui di samping melindungi diri mereka daripada insiden yang tidak dijangka.

Jangan sesekali malu bertanya mengenai alam dewasa kepada ibu dan bagi ibu pula, jangan mengelak daripada berbicara mengenai topik ini kerana andalah orang yang paling berhak untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada anak gadis anda.

“Ia melibatkan perubahan fizikal tubuh badan dan emosi serta keadaannya berbeza di antara individu dengan individu yang lain. Jadi, ibu perlu berada di sisi anak masing-masing dan jangan membiarkan mereka menghadapinya seorang diri,” jelasnya.

Selain itu, perubahan emosi juga berlaku dan ia disebabkan perubahan hormon. Ketika ini anak gadis anda merasai stres, cepat marah, terlalu sensitif dan semua ini bermula pada usia 11 tahun sehingga haid mereka datang menjengah.

“Jangan sesekali menjadikan budaya sebagai alasan untuk tidak berkomunikasi dengan anak-anak remaja anda mengenai topik-topik tabu yang kononnya menjadi pantang larang masyarakat Timur.

“Peranan ibu terhadap anak perempuan sangat diperlukan untuk berkomunikasi mengenai topik-topik intim seperti seks, perhubungan dan kontrasepsi,” kata Perunding Psikologi Klinikal, Sunway Medical Centre, Paul Jambunathan.

Tambahnya, komunikasi terbuka terbuka adalah penting dan ibu perlu menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual, kehamilan dan perancangan keluarga.

Anak-anak perempuan perlu tahu bahawa mereka boleh bergantung kepada sokongan ibu mereka dalam setiap keadaan.

“Memberikan ruang kepada anak-anak muda kita berbicara dengan ibu mereka tentang seks dan perhubungan tidak bermakna kita menggalakkan mereka untuk mula melakukan hubungan seks,” ujarnya.

Sebaliknya, ia adalah cara terbaik untuk melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diingini dan memberi kuasa kepada mereka untuk membuat pilihan bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan mereka.

“Dalam masyarakat India, apabila anak gadis mereka datang haid pertama, mereka akan meraikannya dengan meriah untuk menguar-uarkan bahawa anak mereka subur dan mampu melahirkan zuriat,” kata Paul.

Komunikasi mengenai topik-topik tabu boleh melibatkan anak lelaki kerana akan datang mereka akan menjadi suami kepada seorang wanita dan bakal ayah kepada anak-anak.

“Mulai hari ini, tanyalah apa sahaja kepada ibu anda. Sumber yang paling selamat adalah daripada ibu dan bukannya rakan kerana dikhuatiri mereka memberikan informasi yang salah.

“Tiada apa yang perlu dimalukan. Kedua-duanya perempuan jadi ia seharusnya lebih mudah,” tegasnya.

Kisah haid pertama

Berkongsi pengalamannya bersama peserta bengkel, pelakon, model dan pengacara berbakat, Julie Woon juga menghadapi masalah komunikasi yang sama.

“Saya amat rapat dengan ibu kerana dialah penyokong dan teman baik saya. Kami seringkali berborak tentang apa sahaja.

“Walaupun mengamalkan komunikasi terbuka, kami sebenarnya tidak pernah berbincang mengenai topik-topik yang dianggap tabu ketika saya menjangkau fasa awal remaja dan awal dewasa walaupun ketika itu sudah ada perasaan terhadap lelaki,” katanya yang menyifatkan ibunya sebagai konservatif dalam hal tersebut.

Menceritakan detik haid pertamanya, Julia memberitahu dia mengetahui mengenai haid melalui cerita daripada rakan-rakannya.

“Ketika itu usia saya 15 tahun dan ibu tiada di rumah. Seharian saya sakit perut dan terperuk di dalam bilik kerana kedatangan haid kali pertama.

“Apabila meminta ayah membelikan pil merah jambu yang boleh melegakan senggugut di farmasi, dia membawa pulang pil demam untuk kanak-kanak yang mempunyai warna yang sama,” ujarnya sambil ketawa.

Katanya, walaupun tidak berbicara mengenai topik larangan itu, ibunya punya cara tersendiri dengan menggunting artikel-artikel kesihatan yang berkaitan supaya dia membacanya.

Sumber; Kosmo.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen