Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel di bawah adalah sebagaimana yang tersiar di sisipan megabait Utusan Malaysia hari ini. Semoga para pelajar menjadikan kisah kesusahan hidup Athirah, kemudian cabaran dan halangan yang terpaksa Athirah tempuhi sebelum meraih kejayaan cemerlang dalam pelajarannya.
Athirah cemerlang walau susah
Kasih sayang ibu, Norazlina Abdu Aman dan bapa, Mohd. Johari Kusani mengiringi perjalanan kejayaan Nor Athitrah berbekalkan bantuan daripada LZS.
SEKALI imbas melihat raut wajahnya, tidak terfikir di benak bahawa gadis remaja ini pernah melalui zaman getir dalam diari hidupnya. Pernah diberhentikan persekolahan kerana kemiskinan.
Semuanya bagaikan mimpi yang menyerkup impian. Namun, dia tegar menguak jendela kejayaan dengan hanya berbekalkan keazaman dan kemahuan.
Itulah kisah Nor Athirah Mohd. Johari, 18, dan ibu bapanya yang bakal mengisi ruang Jejak Asnaf kali ini yang ditemui lewat Program Anugerah Anak Asnaf Cemerlang di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
"Ayah seorang kontraktor binaan. Semuanya elok sahaja pada permulaan. Saya dan adik-beradik yang lain dimasukkan ayah ke sebuah sekolah rendah agama swasta.
"Ayah mampu, kerana kerjaya ayah memang membawa untung yang agak lumayan. Namun, segalanya berubah sekelip mata pada tahun 2003.
"Perniagaan ayah tiba-tiba merudum. Sejak saat itulah, hidup kami mulai derita," kata Athirah berkongsi kisah silam yang menjadikan dirinya lebih matang dan berazam.
"Kala itu, saya masih di darjah empat. Saya masih ingat, ayah sudah tidak mampu menyara persekolahan kami adik-beradik, yang kala itu empat orang sudah bersekolah.
"Saya anak ketujuh. Mujurlah guru di sekolah mengizinkan saya meneruskan persekolahan sehingga ke akhir tahun tanpa sebarang bayaran. Menjelang darjah lima, saya tidak lagi mendaftar. Selama setahun saya hanya duduk di rumah," katanya.
BACA SELANJUTNYA...
Semua itu berlaku gara-gara bapanya, Mohd. Johari Kusani, 54, tertipu semasa menceburi projek pembinaan berskala besar yang mencecah setengah juta ringgit.
Kata Mohd. Johari, selepas menandatangani dokumen perjanjian, baharu disedari bahawa syarikatnya adalah sub kontraktor kepada sub kontraktor yang lain, bukan sub kontraktor kepada kontraktor utama.
"Namun semuanya sudah terlambat. Projek mesti bermula, barang-barang dan jentera sudah tersedia. Semuanya mesti siap terlaksana, sedangkan sub kontraktor yang terus berurusan dengan kontraktor utama tidak menjelaskan bayaran apa-apa.
"Saya dikaburi oleh kawan sendiri hingga gagal menyemak dokumen yang diberi," katanya.
Menurut Johari, keadaan itu menyebabkan beliau benar-benar tersepit. Untuk mengadu dengan kerajaan, tidak boleh. Sebabnya, hanya sub kontraktor yang berurusan dengan kontraktor utama sahaja yang boleh melakukan demikian.
Akhirnya, saya menanggung kerugian besar. Demi melangsaikan hutang dengan pembekal peralatan dan bahan-bahan, saya terpaksa menjual semua aset perniagaan," jelasnya menghimbau kisah silam penuh galau.
Namun, Allah SWT tidak mensia-siakan sesiapa pun jika orang itu sendiri mahu menggapai kejayaan. Athirah yang tidak bersekolah selama setahun pada tahun 2004, akhirnya dimasukkan ke sekolah kerajaan pada 2005.
"Alhamdulillah, guru-guru di sekolah menyarankan agar anak saya ini didaftarkan sebagai pelajar yang patut mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
"Maka, bermula pada tahun 2007, kami sekeluarga dibantu oleh LZS," katanya.
Menurut Johari, setelah dibantu, memang terasa perbezaannya. Anak-anak dapat kembali bersekolah.
"LZS juga bukan sekadar membantu pendidikan anak-anak kami, tetapi bantuan lain turut diberi," tambah beliau.
Athirah hakikatnya sudah ketinggalan setahun dalam persekolahannya. Namun, berkat kesungguhan, dia membuktikan bahawa kejayaan adalah miliknya. Beliau berjaya meraih 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah tahun 2005.
Setelah itu, beliau diterima belajar di Ma'ahad Hamidiah, Kajang. Dalam Penilaian Menengah Rendah tahun 2008, beliau mendapat keputusan 8A.
Kemudian, dalam Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2010, Athitrah mencapai keputusan 11A.
Kini, beliau menyambung pelajaran di peringkat A Level di Kolej Mara Seremban sebagai persediaan ke luar negara.
"Insya-Allah selepas ini, saya akan menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di mana-mana universiti di Australia.
"Izinkan saya mengalungkan ucapan penghargaan kepada LZS dan juga seluruh pembayar zakat, yang telah menjadikan semua impian saya ini satu kenyataan.
"Saya berharap, kebaikan itu akan dibalas Tuhan dengan seribu kebaikan," katanya mengakhiri perbualan.
Semoga kejayaan Athirah ini menjadi sumber inspirasi tidak ternilai kepada semua anak asnaf yang lain.
Juga menjadi bukti kukuh bagi semua pembayar zakat, bahawa dengan wang zakat mereka itulah yang mampu membawa Athirah ke mercu kejayaan.
Semoga Athirah terus berjaya dalam mengejar impiannya, amin.
Sumber: sila klik sini.
Assalamualaikum Cikgu Ma
ReplyDeleteAllahuakbar
Allah masih memelihara mereka sekeluarga
Wassalam