Pages - Menu

Pages - Menu

Terperangkap dalam tubuh lelaki

Terperangkap dalam tubuh lelaki

 



TERPERANGKAP dalam tubuh yang salah - setidak-tidaknya itulah tanggapan golongan 'mak nyah' yang rata-rata percaya mereka adalah wanita tetapi terperangkap dalam tubuh lelaki.

Keadaan ini menjerumuskan golongan ini dalam dilema untuk meletakkan kedudukan diri mereka dalam masyarakat kerana secara fizikal mereka lahir sebagai lelaki tetapi memiliki keinginan, nafsu dan naluri wanita.

Kegagalan menempatkan diri dalam masyarakat membuatkan golongan ini berasa terasing atau mengasingkan diri lalu membentuk kelompok sendiri

Lebih malang apabila golongan ini rata-ratanya terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan sebagainya sehingga melekat sebagai stigma yang sukar untuk dikikis dalam masyarakat.

Malah, ada sesetengah golongan ini bertindak keterlaluan apabila mengambil keputusan untuk menukar jantina dengan melakukan pembedahan.

Sudahlah berperwatakan menyerupai wanita hukumnya haram dan dikutuk oleh agama, inikan pula mengubah kejadian Allah tanpa ada sebarang alasan yang dibenarkan oleh Islam.

Berpeluang mendekati golongan ini baru-baru ini ternyata mereka mempunyai cara kehidupan tersendiri selain mempunyai kerjaya tetap untuk meneruskan kehidupan.

Yang pasti, walaupun selesa dengan cara masing-masing, mereka sebenarnya perlu dibantu untuk keluar daripada kepompong seterusnya menjalani kehidupan seperti insan-insan lain di dunia ini iaitu sebagai seorang lelaki sejati.

Apa yang menarik hendak dipaparkan kali ini ialah dilema mereka sebagai seorang mak nyah dan apakah faktor yang menyebabkan mereka menjadi demikian.

Tidak pernah terfikir apatah lagi merancang untuk melakukan pembedahan menukar jantina, tetapi segala-galanya berlaku dengan tiba-tiba.

Itulah yang terjadi kepada Amy (bukan nama sebenar) di mana dia tidak pernah menyangka satu hari nanti dia bukan sahaja merupakan seorang mak nyah yang berperwatakan seperti seorang wanita tetapi turut mempunyai alat kelamin perempuan.

Malah, katanya, walaupun (alat kelamin) tidak boleh berfungsi sepenuhnya seperti mengandung dan melahirkan anak, dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku malah amat berbangga dengan keadaan dirinya hari ini.

"Pembedahan pertukaran jantina telah dilakukan 15 tahun lalu dan ketika itu saya berumur sekitar awal 30-an.

"Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak pernah merancang apatah lagi terfikir untuk menukar jantina waktu itu.

"Tetapi segala-galanya berlaku dalam sekelip mata di mana satu hari tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran 'saya nak mati sebagai seorang perempuan' dan tidak sampai seminggu segala-galanya berubah,'' ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai pembedahan yang dilakukan, Amy menerangkan bahawa ia hanya mengambil masa beberapa jam dan tidak sakit seperti yang diuar-uarkan.

Ini kerana, katanya, keesokan hari dia sudah disuruh berjalan oleh doktor dan hari keempat selepas pembedahan dia dibenarkan pulang.

Dia hanya kelihatan pucat dan letih mungkin disebabkan kehilangan banyak darah ketika melakukan pembedahan.

Beberapa bulan selepas pembedahan dilakukan, Amy turut memberitahu bahawa dia juga tidak mengalami sebarang jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan sembuh seperti orang lain yang menjalani apa jua pembedahan.

"Di sini saya hendak memberitahu bahawa mereka (mak nyah) yang melakukan pembedahan dan memberitahu bahawa ia sakit macam nak mati adalah bohong semata-mata.

"Saya rasa orang itu tak buat pembedahan sebab saya tidak pula mengalami sakit sedemikian. Malah saya dibenarkan pulang selepas empat hari tinggal di hospital,'' katanya lagi.

Mengimbas kembali detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah, Amy memberitahu segala-galanya bermula sewaktu di alam kanak-kanak.

Menegaskan bahawa dia tidak dipengaruhi oleh adik beradik perempuannya yang lain mahupun keadaan sekeliling, sebaliknya berpunca daripada diri sendiri.

Ini kerana dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita termasuk bermain dengan permainan wanita seperti anak patung dan masak-masak.

Bagaimanapun, jelas Amy, pernah terdetik di hatinya sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian.

Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.

Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.

Akhirnya, dia meneruskan kata hati sehinggalah membuat keputusan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina.

Hari ini, Amy bukan sahaja merupakan seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.

Amy sememangnya merupakan seorang individu yang amat bertuah kerana walaupun di awal perubahan dirinya ia ditentang hebat oleh keluarga tetapi hari ini dia sudah boleh diterima malah dia juga sudah 'berkahwin'.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen