Jerawat? Oh, tidak
JERAWAT merupakan masalah yang sering dilalui oleh remaja, perempuan mahupun lelaki. Jerawat pada kulit muka boleh menyebabkan seseorang itu rasa rendah diri kerana ia mengganggu penampilan diri.
Liang minyak yang tersumbat akan menjadi bintik putih jika ia terjadi di bawah kulit atau bintik hitam jika di lapisan luar kulit. Kulit akan menjadi kemerahan jika radang terbentuk di sekeliling liang tersebut.
Lebih besar kawasan radang lebih mudah terbentuk nanah dan akan meninggalakan parut jerawat jika tiada perawatan dan ubat yang sesuai. Menghilangkan parut jerawat lebih sukar bila perawatan diabaikan.
Namun begitu, jerawat boleh diubati. Sekiranya anda menghadapi masalah jerawat, penjagaan kulit muka harus diutamakan kerana jerawat akan meninggalkan parut berlubang dan kesan hitam yang lebih sukar dirawat.
Sebab-sebab terjadinya jerawat
1. Faktor yang menyebabkan jerawat terjadi berpunca daripada proses pembaharuan sel kulit berlebihan oleh sel keratinosit yang melitupi liang pori-pori dan mengakibatkan liang tersebut tersumbat yang dikenali sebagai "microcomedo".
2. Apabila mencapai umur remaja, hormon androgen yang tinggi akan mengaktifkan pengeluaran sebum iaitu minyak.
3. Akibatnya, kolonisasi bakteria Propionibacterium acnes bertambah kerana keadaan sangat sesuai untuk pembiakannya.
4. P. acnes akan menyebabkan radang dan penghasilan sel keratinosit yang berlebihan.
- Bahan paling mudah untuk mengeringkan jerawat adalah krim yang mengandungi Benzoyl peroxida. Dalam kepekatan 5 atau 10 peratus ia mengering dan memudahkan sumbatan liang minyak tanggal. Kesannya boleh dilihat dalam tempoh empat hinga enam bulan.
- Basuh kulit setiap hari tapi jangan terlalu kasar atau kerap.
- Gunakan pencuci kulit muka yang lembut dan air. Pencuci yang mengandungi granule boleh juga digunakan.
- Cuba elakkan sauna muka kerana ia mungkin menjadikan jerawat bertambah teruk.
- Jaga pemakanan anda. Elakkan makanan yang mungkin membuat jerawat lebih teruk. Setiap orang mempunyai alahan kepada jenis makanan yang berlainan dari orang lain.
- Dapatkan rehat yang cukup kerana jerawat mungkin timbul dari perasaan tertekan, ber masalah dan badan yang letih.
- Memakai pakaian bersenam atau harian yang longgar. Memakai pakaian ketat, tudung atau headband ketat dari kain yang tidak meresap peluh menambahkan pengeluaran minyak dan risiko jerawat dari kulit berminyak.
- Pilih fesyen rambut yang tidak terlalu menutup wajah dan jaga rambut supaya tidak berminyak yang biasanya datang dari kulit kepala yang kuat berpeluh. Penggunaan bahan penjagaan rambut berminyak harus dielak. Ikat rambut ketika tidur supaya tidak menutup muka.
- Guna mekap muka berasaskan air. Beli mekap yang "noncomedogenic" atau "nonacnegenic".
- Basuh mekap sebelum tidur. Jangan terlalu banyak menggunakan pelembab kulit muka terutamanya waktu malam.
- Elak cahaya ultra ungu matahari atau lampu. Pendedahan yang melampau atau lama merosakkan kulit dan lapisan kulit akan menjadi tua premature dan menutup liang sebum.
- Jangan picit jerawat kerana ia akan menambahkan radang pada kulit dan kulit akan menjadi berlubang dan berparut.
Rawatan Untuk Jerawat.
- Liang yang tersumbat harus dibuka.
Ini boleh dilakukan menggunakan produk jerawat yang membuang lapisan atas kulit seperti asid glycolic (alpha hydroxy acid-AHA, poly hydroxy acid-PHA), asid salisilik, benzoyl peroxide atau retinoic acid dalam bentuk cream, lotion atau cecair. Selain menghilangkan jerawat baru, penggunaan berterusan boleh juga menghilangkan parut jerawat.
- Mengurangkan jangkitan bakteria.
Menggunakan ubat antibiotik "oral" seperti tetracycline, erythromycin boleh dimulakan jika rawatan awal untuk jerawat tidak berkesan. Antibiotik dalam bentuk krim seperti clindamycin dan lain-lain boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat yang baru jika tidak mahu menggunakan ubat antibiotik "oral".
- Mengurangkan aktiviti kelenjar minyak.
Ia boleh juga dilakukan untuk merawat jerawat. Ubat yang biasa digunakan adalah seperti estrogen dan isotretinoin.
Cara merawat jerawat Yang lain
1. Penggunaan produk penjagaan muka yang tidak sesuai akan memburukkan keadaan. Gunalah produk penjagaan muka sedikit berasid yang mengandungi PHA (Poly Hydroxy Acid) atau Lactobionic Asid dari Neostrata menyebabkan eksfoliasi minimum dan tidak merengsakan kulit. Triclosan di dalam pencuci muka ini dapat membunuh bakteria pada muka.
Selepas mencuci muka, perlulah menggunakan pelembap. Walaupun kulit muka berminyak, penggunaan pelembap pada muka masih diperlukan untuk mengawal pengeluaran sebum supaya muka tidak berminyak.
2. Penggunaan antibiotik pada permukaan muka juga dapat membantu membunuh bakteria yang ada pada kulit. Sekiranya jerawat tidak banyak, memadai dengan antibiotik sapuan sahaja.
Sekiranya perlu, doktor akan menasihatkan supaya pesakit mengambil antibiotik dalam bentuk pil untuk ditelan dan perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya enam minggu seperti minocycline, tetracycline, doxycycline. Penggunaan krim tretinon atau retinol pada waktu malam juga dapat merawat jerawat. Jerawat yang tidak terkawal boleh dirawat dengan Ro-Accutane tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan dan memerlukan pemantauan pakar kulit.
3. Rawatan "peel" dengan glikolik asid, salicylic asid atau Jessner's mampu merawat jerawat yang aktif. Rawatan ini dapat membunuh bakteria pada muka, mengurangkan pengeluaran sebum, membersihkan liang pori-pori dan melakukan exfoliation.
Bagi salicylic asid dan jessner's peel, kulit akan merasa panas sedikit semasa rawatan, jerawat akan kering dan kulit mengelupas sedikit beberapa hari selepas rawatan dilakukan. Sapu pelembap kulit supaya kulit cepat sembuh. Rawatan peel boleh dilakukan sebulan sekali sehingga masalah jerawat dapat dikawal. Rawatan peel selamat jika dilakukan atas nasihat doktor.
4. Pastikan kesemua produk penjagaan muka tidak menyebabkan muka berminyak. Gunalah krim penghalang matahari yang berasaskan gel supaya muka tidak berminyak atau makan pil penghalang matahari seperti heliocare oral (dari sejenis paku pakis polypodeum leucotomus) untuk mengelak parut kehitaman akibat radang dari jerawat.
5. Elak mengguna bedak padat kerana span yang lembap, digunakan berkali-kali, terperap di dalam bekas menggalakkan pembiakan bakteria. Gunalah bedak berasaskan mineral seratus peratus tanpa sebarang campuran bendasing yang mempunyai sifat anti-inflammatori, tidak menutupi liang pori-pori kerana molekulnya besar dan bedak yang kering tidak menggalakkan pembiakan bakteria seperti Kiss mineral mekap.
6 Selain itu, makanlah lebih sayur-sayuran dan buah-buahan untuk zat dan vitamin pada kulit muka. Perbanyakkan minum air kosong, ambil probiotik untuk mengimbangkan bakteria dalam badan.
7. Sesetengah kaedah perancangan keluarga boleh menyebabkan hormon tidak stabil dan masalah jerawat. Pil perancang kehamilan Diane-35 boleh diambil untuk mengawal jerawat ataupun boleh merancang keluarga dengan alat cegah kehamilan IUCD Cu250, yang tidak berasaskan hormon.
8 Jangan sesekali memicit atau menekan jerawat, ini akan menyebabkan bakteria tersebar dan kulit luka akan meninggalkan parut hitam dan berlubang.
Pada peringkat awal rawatan, jerawat mungkin akan bertambah dahulu sebelum ia berkurangan. Ini merupakan perkara biasa, janganlah cemas, lakukan penjagaan muka dengan tekun dan ikutilah nasihat doktor. Jangan hentikan pengambilan antibiotik sesuka hati. Percayalah, setiap penyakit itu ada penawarnya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen