Kerajaan Malaysia Tumpu Media Sosial Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2012
Malaysia buat pertama kalinya akan meraikan Minggu Media Sosial
Malaysia (MSMW) 2012 mulai 13 hingga 17 Februari depan yang turut
diadakan serentak di beberapa bandaraya utama dunia, kata Ketua Pengarah
Jabatan Penerangan Ibrahim Abdul Rahman.
Menurutnya program itu
yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan beberapa
lokasi lain di ibu negara diadakan untuk mewujudkan serta merapatkan
hubungan pengamal media sosial melalui pendekatan terkini dan mudah
serta menangani isu-isu generasi muda pada supaya menggunakan media
sosial dengan cara lebih positif.
Program ini dianjurkan oleh
Social Media Chambers, iaitu organisasi yang mempromosi dan menyokong
penggunaan media sosial secara berdisiplin dan beretika, dengan sokongan
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
"Kementerian
akan sentiasa menyokong program seumpama ini kerana ia turut melibatkan
industri kreatif yang diterajui kementerian.
"Kita mahu
menggalakkan lebih ramai anak muda untuk mewujudkan bahan untuk media
siber dan media lain dengan memberikan dana tertentu dan mahu menjadikan
industri ini sesuatu yang sangat berkembang dalam negara," katanya
kepada pemberita semasa taklimat mengenai MSMW 2012 di sini hari ini.
Ibrahim
berkata pelbagai acara akan diadakan sepanjang minggu itu dengan
kemuncak utama acara adalah Perhimpunan Blogger dan Media Sosial
Antarabangsa 2012 yang akan menampilkan pakar dan pengamal media sosial
elit seluruh dunia.
Selain itu turut diadakan adalah Majlis
Anugerah Blogger dan Media Sosial Antarabangsa 2012 yang akan
mengetengahkan penulis blog serta aktivis media sosial yang terbaik di
peringkat global yang telah dicalonkan untuk pencapaian cemerlang mereka
dalam arena media sosial.
"Anugerah ini akan dapat
membangkitkan satu pengiktirafan dan juga semangat kepada pengamal media
sosial kerana objektif kita tadi untuk mendidik penggunaan yang
positif, maka kita rasa perlu diangkat beberapa orang untuk diberikan
pengiktirafan itu," katanya.
Ibrahim berkata mana-mana pihak
yang berminat untuk mengadakan program ini di negeri masing-masing juga
digalakkan berbuat demikian dan penganjur juga mengalu-alukan sebarang
cadangan untuk penambahbaikan program itu," kata beliau.
Sementara
itu Ketua Social Media Chambers Shahul Hameed Dawood berkata antara
golongan sasaran yang akan menyertai MSMW adalah ketua pegawai
eksekutif, pengusaha korporat dan industri, wartawan dan penulis media
online, bloggers, pengurusan komunikasi korporat, penuntut institusi
pengajian tinggi, pakar-pakar teknologi maklumat, pemimpin politik dan
agensi-agensi kerajaan.
"MSMW dijangka akan menghubungkan
ratusan ribu pengguna media sosial dalam dan luar negara. Ia juga
diharap dapat mewujudkan cetusan idea baru secara interaktif,
menambahkan pengetahuan serta perkongsian rangkaian perhubungan global
sesama pengamal media sosial," katanya.
Menurutnya pihak yang
berminat menyertai program itu diminta melayari laman web
www.socialmediaweek.com.my untuk keterangan lanjut.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen