Pages - Menu

Pages - Menu

Pelajar SMK Raja Chulan, Tebus kecewa gagal cemerlang SPM

Tebus kecewa gagal cemerlang SPM

Nur' Ain Yusseri (kanan) menunjukkan keputusan 4A dalam peperiksaan STPM kepada gurunya, Rafiza Ghazali di SMK Raja Chulan, Ipoh, semalam. 

IPOH: Kegagalan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu, menjadi pendorong kepada kejayaan pelajar SMK Raja Chulan, Nurain Yusseri, 20, untuk mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan, semalam.

Pelajar tingkatan enam yang hanya mendapat 1A dalam SPM menebus kekecewaan itu apabila memperoleh 4A atau Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0, sekali gus muncul antara empat daripada pelajar cemerlang di sekolahnya.

Menurut Nurain, dia berasa kecewa apabila gagal ketika menduduki SPM dua tahun lalu, namun bingkas bangkit untuk lebih berjaya di dalam STPM.
“Dua tahun lalu, ketika SPM saya banyak membuang masa dan bermain. Malah ketika itu, saya ada teman lelaki dan terlalu banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan tanpa mempedulikan pelajaran.

“Disebabkan sikap itu, keputusan SPM saya sangat teruk sehingga ada empat mata pelajaran mendapat D. Saya malu sebagai anak sulung gagal menggembirakan hati keluarga dalam pelajaran, sebaliknya dua lagi adik yang lain sering mendapat keputusan baik dalam peperiksaan masing-masing,” katanya.


Dia yang juga anak kepada Pembantu Perawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, bertekad untuk mengambil STPM dan belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan dia mampu memperoleh kejayaan cemerlang.

“Malah, saya sanggup putuskan hubungan cinta dengan teman lelaki untuk mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam.

Nurain iaitu anak kepada pasangan Yusseri Ibrahim, 47, dan Khatijah Ahmad, 41, memperoleh A bagi empat pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah.

Dia bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bercadang memilih jurusan Pendidikan Bahasa Melayu.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Nurain berkata, dia mengamalkan tidur petang antara sejam hingga dua jam selepas pulang dari sekolah dan selepas solat Asar, dia akan menyiapkan semua kerja sekolah atau menghadiri kegiatan sekolah, sebelum berjaga sehingga jam 3 pagi mengikut keupayaannya untuk mengulang kaji pelajaran.

“Itu amalan seharian saya, selain berdoa dan hormat kepada kedua ibu bapa serta guru di sekolah. Guru adalah inspirasi saya untuk belajar dengan tekun, manakala keluarga adalah pembakar semangat saya untuk belajar dengan tekun,” katanya.

 Petikan daripada Utusan Malaysia pula:

IPOH 7 Mac - Kecewa hanya memperoleh 1A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorong anak seorang pembantu perubatan di sini berusaha keras sehingga muncul salah seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 di negeri ini.

Malah, wajah sugul ayahnya, Yusseri Ibrahim, 47, dan air mata ibu, Khatijah Ahmad, 41, yang mengalir semasa keputusan SPM itu disampaikan dianggap sebagai satu 'tamparan' paling hebat buat Nur' Ain, 20, sekali gus menguatkan azam untuk berusaha bersungguh- sungguh sehingga mendapat 4A pada STPM.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini itu mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan memperoleh A bagi keempat-empat subjek yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen