Keratan Akhbar: SMK Jengka 2 Catat Kejuaraan Kejohanan Bola Sepak MSSM Daerah Maran
MARAN 30 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 muncul juara
Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah
Malaysia (MSSM) Daerah Maran selepas menewaskan SMK Jengka 6 dengan
jaringan 5-2 dalam perlawanan akhir baru-baru ini.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan, Abdul Rahman Ahmad
berkata, kemenangan itu merupakan satu sejarah tersendiri buat SMK
Jengka 2 kerana muncul juara buat tahun ketiga berturut-turut.
''Keseluruhannya tahun ini 16 pasukan dari sekolah menengah daerah Maran
berentap bagi memilih juara, sekali gus mewakili daerah Maran ke
peringkat negeri.
''Pada perlawanan akhir di padang SMK Jengka 18 itu, SMK Jengka 6
dianggap pasukan pilihan, namun SMK Jengka 2 yang dibarisi beberapa
pemain berbakat seperti Mohd. Amirul Amir dan Iqwan Shafik Sabri berjaya
menampilkan aksi hebat.
''Sebelum melangkah ke perlawanan akhir, SMK Jengka 6 menewaskan SMK
Maran manakala SMK Jengka 2 pula mengetepikan SMK Jengka 21," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, Ketua Unit Sukan Pejabat Pelajaran Daerah Maran,
Burhanuddin Hashim berkata, kejohanan bola sepak di peringkat sekolah
sebagai langkah awal mencungkil bakat pelajar dalam 'ibu' segala sukan
ini.
Katanya, usaha berterusan seperti ini penting supaya negara tidak
ketandusan pemain bola sepak, malah ada pelapis berprestasi tinggi
mewakili negeri dan negara.
Burhanuddin juga mengingatkan pelajar supaya aktif dalam bidang sukan
sebagai kokurikulum kerana ia dapat membentuk sahsiah serta jati diri
generasi yang cintakan negara.
''Malah, mana-mana pelajar aktif dan menunjukkan semangat kepimpinan
serta rekod kejayaan dalam aktiviti diberi sijil yang diambil kira 10
peratus dalam kemasukan ke universiti," katanya
Sumber ; Utusan Malaysia online, Pahang
Arkib : 31/03/2012
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen