Hari Guru Daerah Maran 2012, Kerjaya guru terus dimartabat
Ismail Abdul Muttalib diiringi Baharum Samat (dua dari kiri) bersalaman dengan para guru pada majlis perasmian Hari Guru Daerah Maran di SMK Jengka 2, Maran, Pahang, kelmarin.
MARAN 20 Mei - Profesion perguruan akan terus dimartabat menerusi pelbagai bentuk insentif dan proses penambahbaikan perkhidmatan pendidikan sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan guru.
Setiausaha Kelab Penyokong Wakil Rakyat Barisan Nasional (BNBCC), Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, usaha memartabat profesion perguruan adalah proses berterusan yang menjadi agenda utama kerajaan sejajar dengan peranan guru sebagai penjana utama transformasi negara.
''Ini membuktikan kerajaan sangat menghargai keringat guru yang menabur bakti tanpa rasa jemu bagi melahirkan generasi baru yang berpendidikan, rasional dan bersyukur.
''Dedikasi seseorang guru sangat dituntut supaya semua proses transformasi pendidikan negara dapat direalisasikan dengan cemerlang. Ini akan dapat melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memacu kemajuan negara pada masa depan yang gemilang," katanya.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru 2012 peringkat Daerah Maran yang turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah, Baharum Samat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 di sini semalam.
Beliau menegaskan, bidang pendidikan sememangnya diletakkan pada kedudukan istimewa dalam pentadbiran negara menerusi penyediaan peruntukan yang besar dalam bajet tahunan kerajaan.
Justeru ujarnya, sistem pendidikan negara adalah yang terbaik di Asia seperti dalam aspek prasarana, kebajikan guru, kemudahan pendidikan dan sebagainya.
Tegasnya, kejayaan dan kecemerlangan pendidikan negara tercapai hasil komitmen tinggi para pendidik yang fokus terhadap aspek pendidikan di dalam dan di luar bilik darjah.
Beliau turut mengingatkan para guru menjadi model yang boleh dicontohi bukannya terikut dengan amalan segelintir daripada mereka yang menentang arus walaupun pelbagai nikmat telah diperoleh.
''Di samping itu, peranan ibu bapa sangat dituntut kerana pengaruh mereka juga penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak," katanya.
Tambah Ismail, ibu bapa perlu menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat seperti memberi sumbangan secara langsung kepada sekolah.
Ujar beliau, sumbangan itu boleh disalurkan melalui pelbagai kegiatan sukarela yang natijahnya dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah. (Utusan Malaysia)
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen