Pages - Menu

Pages - Menu

Doa zikir lindungi daripada keburukan

Doa, zikir lindungi daripada keburukan perkara tak baik 



SEGALA puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA hari ini kita rakyat Malaysia masih dapat mengecapi kehidupan yang aman damai dan sejahtera walapun negara ini mempunyai berbagai kaum, agama dan kebudayaan. Alhamdulillahirabbil a'lamin.

Selawat dan salam juga ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad SAW, para ahli keluarganya, para sahabat dan para pejuang-pejuang Islam yang telah berjuang untuk mengeluarkan umat manusia daripada alam kegelapan (jahiliah) kepada alam yang penuh dengan nur ilmu pengetahuan sepertimana kita kecapi dan nikmati pada hari ini. 

Merujuk kepada entry sebelum ini, Bimbing Anak Buat Keputusan,Elak Tertipu, di sini.

Kali ini  saya muat naik Doa Zikir Doa, zikir lindungi daripada keburukan perkara tak baik Oleh Ustaz Zahazan Mohamed di Berita Harian.

Umat Islam digalak amal bacaan diajar Rasulullah jaga keselamatan diri elak tipu daya syaitan

Soalan:

Saya ingin mengetahui apakah doa dan zikir untuk mendapatkan perlindungan dan pertolongan daripada Allah?

Mohd Fitri

Jawapan:

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah waba'du. Dalam surah al-A'raf ayat 200, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan jika engkau dihasut dengan hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Merahmati."

Maksud minta perlindungan atau isti’azah di sini adalah ucapan, A’uzubillahi minasy syaitanir rajim. Maksudnya, Aku memohon perlindungan diri kepada-Mu daripada (gangguan) syaitan yang direjam. Dalam satu hadis riwayat Ahmad, hendaklah sesudah itu meludah ke kiri sebanyak tiga kali.

Antara amalan untuk menghalau syaitan dan bisikannya adalah:




  • Pertama, berlindung kepada Allah SWT daripada godaannya dengan menyebut a’uzubillahi minasy syaitanir rajim,

  • Kedua, menyerukan azan,

  • Ketiga, berzikir dan membaca al-Quran.

    Ketika hendak membaca al-Quran juga disuruh untuk kita isti’azah (mohon perlindungan). Allah SWT menyebut dalam surah al-Nahl ayat 98 yang bermaksud: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam.”

    Sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa melindungi al-Hasan dan al-Husain dengan mengucapkan: U’izukuma bikalimaatillahit taammati min kulli syaitanin wahaammatin wamin kulli ‘ainin laammah. Maksudnya, Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna dan segala syaitan, binatang berbisa dan setiap mata yang jahat.

    Dalam surah Ali Imran ayat 36, Allah SWT menceritakan mengenai ibu Maryam berdoa ketika Maryam dilahirkan dengan doanya: U’izuha bika wazurriyataha minas syaitanir rajim. Maksudnya, Aku perlindungkan dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam.

    Doa berkenaan elok untuk kita amalkan agar anak yang dilahirkan aman dari gangguan jahat syaitan. Ayat penuhnya adalah seperti berikut yang bermaksud: Maka apabila ia (ibu Maryam) melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).”

    Ketika bertemu dengan musuh, Rasulullah SAW mengajar untuk berdoa dengan doa berikut: Allahumma Inna naj’aluka fi nuhurihim wa na’uzubika min syururihim. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami menjadikan Engkau ada di leher mereka supaya mereka tidak berdaya ketika berhadapan dengan kami] dan kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan mereka.

    Dan, ketika dalam keadaan jiwa tidak tenteram, Rasulullah SAW mengajar doa berikut: Allahumma inni A’uzubika minal hammi wal hazni wal ‘ajzi wal kasali wal Bukhli wal jubni wa dhola’id daini waghalabatir rijal. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari duka dan kesedihan, kelemahan dan kemalasan, kebakhilan dan penakut, bebanan hutang dan penindasan orang.”

    Kepada saudara yang bertanya, sebenarnya banyak lagi doa pelindung yang diajar oleh Rasulullah SAW agar terpelihara daripada sebarang keburukan dan perkara yang tidak baik. Saya mencadangkan saudara dapatkan buku saya yang bertajuk 101 Doa Daripada Hadis Yang Sahih, Insya-Allah jika diamalkan dalam kehidupan akan mendatangkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup saudara. Wallahua’lam.

  • Sumber; klik di sini

    No comments:

    Post a Comment

    Terima Kasih sudi komen