BOLEH BERJAYA...meskipun menganggap tingkatan enam susah, masih ada pelajar boleh meraih keputusan cemerlang. - Gambar hiasan.
SEJAK dulu, tingkatan enam sering diklasifikasikan sebagai pendidikan sukar dan menjadi pilihan terakhir pelajar yang tidak berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau matrikulasi.
Begitu banyak definisi diberikan hingga menimbulkan justifikasi berbeza masyarakat menyebabkan tingkatan enam malap dan terpinggir.
Bagaimanapun, ada cadangan untuk memberi wajah baru kepada tingkatan enam baru - baru ini membabitkan dimensi dan nafas baru terhadap pendidikan berkenaan.
Menerusi imej baru cadangan penstrukturan semula, ia juga dianggap sebagai tanda terima kasih kepada tingkatan enam yang selama ini menjadi penyelamat khususnya pelajar yang ingin menjejakkan kaki ke menara gading.
Persoalannya, adakah dengan pembaharuan bakal dilaksanakan itu, tingkatan enam mampu menarik kembali ramai pelajar untuk meneruskan pengajian atau sebaliknya?
Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, penjenamaan semula berkenaan tepat masanya bagi memberi ‘cahaya’ baru kepada tingkatan enam dan perlu segera dilaksanakan.
Menurutnya, sumbangan tingkatan enam kepada sistem pendidikan negara cukup besar dan wajah baru itu boleh ‘mengingatkan’ kembali masyarakat, jasa-jasa yang sudah dicurahkan selama ini.
“Dulu tingkatan enam dianggap sebagai pendidikan berprestij dan hanya untuk pelajar yang terpilih saja. Fungsinya cukup besar terutama membantu pelajar melangkah alam pendidikan tinggi.
“Malangnya, kini tingkatan enam hanya dianggap sebagai pilihan terakhir dan gagal menarik minat pelajar. Ditambah pula dengan pelbagai tanggapan negatif.
“Justeru penjenamaan semula ini langkah tepat untuk ‘menghidupkan’ kembali tingkatan enam sekali gus menjadikannya sebagai salah satu proses kesinambungan pendidikan ke menara gading,” katanya.
Beliau menegaskan sama ada ke tingkatan enam atau tidak, setiap peranan yang dimodulkan melalui sistem pendidikan negara mempunyai kepentingan masing-masing.
Pandangan skeptikal masyarakatlah katanya, menyebabkan ia dikelaskan sebagai pembaziran dan kelas kedua sekali gus bertentangan dengan kehendak pendidikan berterusan.
“Secara amnya, setiap pendidikan sama ada bertaraf tinggi atau rendah tidak wajar dinilai mengikut spesifikasi tertentu kerana fungsi setiap daripadanya tetap sama iaitu memberi pendidikan.
“Namun ramai seperti menganaktirikan tingkatan enam menyebabkan ia sering kali diberi penilaian negatif.
“Justeru penstrukturan serta pemberian imej baru ini diharap mampu menghapuskan pandangan skeptikal itu dan menjadikan tingkatan enam sebagai salah satu wadah pendidikan terbaik negara,” katanya.
Penstrukturan imej baru tingkatan enam seperti dilaporkan akhbar baru - baru ini dianggap sebagai landasan awal untuk meninggikan lagi penerimaan masyarakat sejajar sistem pendidikan pra universiti
Antara cadangannya ialah menyatukan tingkatan enam, jadual waktu, guru dan pakaian berbeza serta dipisahkan dari sekolah biasa.
Menurutnya, penstrukturan baru itu boleh menarik dan meningkatkan imej tingkatan enam biarpun selama ini pendidikan berkenaan kurang popular.
“Ini kerana pelajar kebanyakannya berminat memohon untuk memasuki kolej atau menara gading bagi melanjutkan pengajian kerana dianggap lebih menjamin peluang kemasukan ke universiti.
“Pada masa sama tanggapan ia susah dan membazir sentiasa membelenggu minda masyarakat menyebabkan kurang sambutan.
“Padahal fungsi pembelajaran dan tujuan asasnya tetap sama. Hanya disebabkan ia di sekolah bukan di kolej menjadikan tingkatan enam masih disamakan seperti pendidikan di sekolah,” katanya menambah cabaran belajar di mana - mana pun tetap serupa.
“Sama ada di sekolah atau menara gading, pembelajaran adalah proses berterusan yang memerlukan seseorang fokus.
“Jangan berikan alasan belajar di menara gading atau matrikulasi boleh menjamin masa depan. Semuanya bergantung pada sikap dan di mana - mana saja seseorang boleh mencipta kejayaan,” katanya.
Ditanya antara faktor tingkatan enam kurang mendapat sambutan, beliau berkata subjek dikatakan sukar, peluang sukar memasuki institusi pengajian tinggi dan hanya membuang masa berbanding diploma adalah puncanya.
“Apabila ramai berkata demikian, secara tidak langsung mematikan minat pelajar untuk meneruskan pengajian.
“Mungkin pengisiannya lebih meluas namun bersesuaian dengan fungsinya sebagai pendidikan pra universiti.
“Dengan kata lain, di sinilah ilmu berdikari dipelajari sama seperti di menara gading. Jadi tidak adil kalau pelajar tidak didedahkan dengan proses pembelajaran seperti itu,” katanya.
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Dr Othman Lebar pula beranggapan sistem pendidikan tingkatan enam yang dilaksanakan di sekolah adalah antara punca utama ia disalah anggap.
Menurutnya, ramai menyangka tingkatan enam adalah kesinambungan proses pembelajaran di tingkatan lima apatah lagi dilakukan di sekolah.
“Ini menyebabkan mereka ‘bosan’ dan tidak tertarik sekali gus mencari alternatif lain bagi melanjutkan pengajian.
“Sepatutnya tingkatan enam perlu diasingkan dengan ciri berbeza supaya pelajar dapat merasai keistimewaannya selain disuntik dengan elemen tertentu.
“Apabila ada kelainan, tentu ada tarikan. Perlu ada penegasan dan pemberitahuan bahawa tingkatan enam adalah pendidikan berkonsepkan pra universiti bukan sekolah,” katanya.
Setiap pendekatan yang digunakan perlu lebih menjurus kepada cara pendidikan peringkat tinggi supaya pada masa sama pelajar boleh berfikir dan bertindak bukan seperti pelajar sekolah.
“Sejak dulu, tingkatan enam diiktiraf setara dengan pendidikan tinggi, malangnya kerana ia banyak dilaksanakan di sekolah, ‘perasaan’ seperti pelajar sekolah masih wujud.
“Padahal pendidikan itu adalah peringkat tinggi. Saya percaya memang sudah tiba masanya tingkatan enam diberi penjenamaan semula.
“Sekali gus mengembalikan semula kegemilangannya yang sudah banyak berjasa melahirkan golongan berpendidikan tinggi sebelum ini,” katanya.
Sumber : harian metro
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/15
Posted via DraftCraft app
Salam..terima kasih atas perkongsian ini...sangat bermanfaat.. Mohon keizinan tuan untuk share di blog sekolah kami..
ReplyDeleteWsalam
ReplyDeletedipersilakan
ia saya pettik daripada Harian Metro tahun 2012
sila search
HARIAN METRO TINGKATAN 6 BUKAN LAGI PILIHAN AKHIR