Pages - Menu

Pages - Menu

PEMBELAJARAN DALAM TALIAN PELUANG TAMBAH ILMU

PEMBELAJARAN DALAM TALIAN 
PELUANG TAMBAH ILMU 



EDU W EB TV , adalah salah satu contoh pendidikan dalam talian 
yang sangat baik untuk para pelajar sekolah rendah dan menengah.

KURSUS DALAM TALIAN PELUANG TAMBAH ILMU

BERIBU-RIBU kilometer dari Kuala Lumpur, seorang pelajar kedoktoran dari Cameroon, Michael Nkwenti Ndongfack, menghadiri kelas Universiti Terbuka Malaysia dalam talian. Dia berharap untuk menamatkan tesis terakhirnya dengan Skype.

Merupakan seorang kakitangan kerajaan, Ndongfack, tidak dapat menemui kursus reka bentuk dan teknologi di negaranya. Sehubungan itu, dia sanggup membayar kira-kira AS$ 10,000 (RM30,660) untuk ijazahnya.

Pendidikan universiti dalam talian berkembang dengan cepat di Asia yang menggunakan teknologi dan internet.

“Saya memilih e-pembelajaran kerana ia begitu fleksibel,” ujar Ndongfack, 42, melalui Skype dari rumahnya di ibu kota Cameroonian, Yaounde.

Kursus dalam talian berjaya meningkatkan peluang menuntut ilmu dan ia sering dilihat jauh lebih murah daripada yang ditawarkan oleh institusi tradisional.

Populariti pembelajaran dalam talian ini tidak terkecuali daripada pandangan beberapa universiti berprestij di dunia. Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts baru-baru ini dilapor bekerjasama untuk menawarkan kursus percuma melalui internet.



“Dengan pembangunan bidang teknologi, bilangan institusi yang menawarkan pendidikan dalam talian telah meningkat, kedua-duanya dari segi jumlah dan jenis kursus yang ditawarkan,” kata felo kanan di Institut Pengajian Asia Tenggara di Singapura, Lee Hock Guan.


Kerajaan Malaysia mengumumkan kira-kira 85,000 orang telah mengambil kursus yang ditawarkan dalam talian di negara ini tahun lalu, kedua-duanya merujuk kepada institusi berasaskan web dan universiti tradisional yang menawarkan pengajaran internet.

Akses pendidikan

Di negara berteknologi tinggi seperti Korea Selatan lebih 112,000 pelajar di 19 institusi mengambil kursus berasaskan laman web, kebanyakannya diasaskan sejak sedekad lalu.

China mengembangkan konsep pembelajaran dalam talian pada penghujung tahun 1990-an sebagai usaha memperluas akses terhadap pendidikan, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

 Kini terdapat puluhan ribu penuntut dengan 1.64 juta orang telah mendaftar pada tahun 2010.

Kursus dalam talian mengubah cara pembelajaran para pelajar. Menurut pendidik, sistem itu membebaskan konsep menghafal yang menjadi sebahagian daripada ciri pendidikan di Asia sejak sekian lama.

Universiti ‘terbuka’ yang biasanya menawarkan kursus-kursus terutamanya melalui internet, membolehkan sesiapa sahaja mendaftar bagi program-program dalam talian tanpa mengira kelayakan seseorang.

Di universiti yang berpusat di Kuala Lumpur, Asia e University, pelajar memuat turun bahan-bahan daripada forum dalam talian dan perpustakaan maya. Mereka berhubung dengan guru dan rakan-rakan pelajar melalui e-mel, perbualan dalam talian, telefon dan pesanan ringkas.
PENDIDIKAN tradisional dengan cara interaksi bersemuka banyak membantu merangsang motivasi pelajar berbanding pembelajaran dalam talian. - Gambar hiasan


Tugasan mereka biasanya menggambarkan semula apa yang mereka pelajari daripada video dan pembentangan lain yang dibuat dengan telefon pintar, iPad atau peranti lain serta memuat naik ke YouTube.

Para pakar akademik memberitahu, pembelajaran interaktif membantu pelajar terlibat dengan bahan pembelajaran lebih dekat berbanding mereka yang duduk secara pasif dalam dewan kuliah.

“Semua individu merupakan pelajar di barisan hadapan,” kata Ishan Abeywar Dena yang mengajar kursus teknologi maklumat di Universiti Terbuka Wawasan yang berpusat di utara Malaysia.
Pelajar yang agak malu untuk bertanya sesuatu atau sebaliknya kini melibatkan diri secara aktif dan berani berbuat demikian dalam kelas maya mereka, kata Ishan lagi.
“Bolehkah anda bayangkan, generasi iPad, iPod dan iPhone kini yang akan memasuki universiti lebih kurang dalam masa 15 tahun, berkemungkinan besar akan terlibat dalam modul pembelajaran chalk-and-talk? Anda belajar dengan mempraktis,” kata, Presiden Asia e-University, Ansary Ahmed.

Bagaimanapun, dalam menyokong pembelajaran dalam talian, pelajar ini turut mengakui interaksi bersemuka juga banyak membantu pelajar kekal bermotivasi.

Interaksi bersemuka

Ndongfack, yang belajar di institusi dalam talian memulakan sesi pembelajaran sejak lebih sedekad lalu berkata, pengajian dalam talian tidak mudah, membuatkannya rasa terasing. “Tiada seorang pun di sana untuk memberikan sokongan segera,” katanya.

Pertumbuhan program ijazah dalam talian juga berbeza apabila dibandingkan dengan kemudahan akses internet yang lemah di beberapa buah negara di Asia.

Lebih 80 peratus rakyat Korea Selatan dan 60 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses dalam talian, tetapi di China kadar ini hanya mencecah kira-kira 40 peratus dan merosot sehingga 10 peratus di India.

Kritikan lain termasuk peraturan yang longgar, dakwaan pengajaran yang berkualiti rendah, penipuan dalam kalangan pelajar dan hakikat bahawa ijazah dalam talian masih tidak diiktiraf secara meluas seperti ijazah tradisional yang lain di pasaran pekerjaan, kata pakar-pakar industri.

Bagaimanapun Ansary dari Asia e University berkata, permasalahan seumpama itu akan ditangani secara berperingkat. Dalam beberapa dekad akan datang pelajar bukan sahaja menghadiri sebuah universiti tetapi beberapa buah universiti maya. – AP

Sumber Kosmo Online

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen