Legasi Budi Anak pengasas Keluarga Besar Norlina Alawi komited pelihara
kanak-kanak penghidap HIV/Aids, terabai
LEGASI BUDI
Anak pengasas Keluarga Besar Norlina Alawi
komited pelihara kanak-kanak penghidap HIV/Aids, terabai
NORLINA Alawi di samping anak-anak penghuni PERNIM.
Anak-anak yang diberi perlindungan KBNAB mendapat
kasih sayang dan
perhatian sewajarnya demi perkembangan diri mereka.
KE mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.
Perumpamaan itu paling tepat untuk menghuraikan kisah dua beranak ini menabur budi dalam kerja kebajikan. Anak gadis pengasas Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Norlina Alawi yang cukup dikenali atas kesanggupan memelihara kanak-kanak dijangkiti virus berbahaya itu, kini menjadi penyambung legasi ibunya.
Selepas sebulan menjaga bayi dengan tangan saya sendiri, tiba-tiba hati menjadi sayang kepadanya. Apabila mama beritahu mahu serahkannya kepada orang lain untuk dijaga, saya tidak izinkan. - Noor Emylia
Biarpun baru berusia 20 tahun, Noor Emylia Erna Roslan komited meneruskan perjuangan ibunya dalam membela nasib kanak-kanak penghidap HIV/Aids dan terabai, menjaga mereka persis darah daging sendiri.
“Saya akan meneruskan perjuangan mama dalam melebarkan lagi empayar keluarga besar ini, ”demikian tekad Noor Emylia ketika ditemuramah sisipan Inspirasi di kediamannya di Kampung Cheras Baru, minggu lalu.
Anak gadis yang berwajah bersih saling tak tumpah ibunya, Norlina ini tampak matang dalam melontarkan bait bicara.
Cerita Noor Emylia, naluri keibuannya mula terdetik sejak ibunya memulakan inisiatif memberi perlindungan kepada kanak-kanak penghidap HIV/Aids pada 2004. Bertolak dari situ, anak gadis ini membantu ibunya menguruskan semua kanak-kanak yang diberi perlindungan sehingga jumlah mereka mencapai 42 orang dari pelbagai latar belakang.
Noor Emylia teringat bagaimana beliau pada mulanya diuji ibu untuk memikul tanggungjawab menjaga seorang bayi lelaki, dua hari selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketika usianya 17 tahun, ibunya meminta Noor Emylia menjaga seorang bayi lelaki yang dikenali sebagai, Mohd Asyraf Abdullah, ketika ibunya sibuk mengendalikan program Jelajah Kasih ke seluruh negara selama hampir sebulan.
“Ketika itu, Asyraf dilahirkan tidak cukup bulan dan menghidap bronkitis. Saya menjaga Asyraf sepanjang program jelajah itu. Ada kalanya saya tidak tidur malam kerana Asyraf kerap menangis, mula-mula saya memang rasa tidak mampu, tetapi mama banyak memberi nasihat.
“Akhirnya, selepas sebulan menjaga Asyraf dengan tangan saya sendiri, tiba-tiba hati menjadi sayang kepadanya. Apabila mama beritahu mahu serahkan Asyraf kepada orang lain untuk dijaga, saya tidak izinkan,” katanya.
Kini, selepas hampir tiga tahun melatih diri menjadi ibu, Noor Emylia memiliki seorang lagi ‘anak’, Nurul Syifa Abdullah yang berusia dua tahun. Nurul Syifa diserahkan kepadanya ketika beliau menuntut di Kolej Matrikulasi Perlis pada usia 18 tahun.
Melihatkan rutin dirinya dengan kewajipan melayan dua anak, ternyata kehidupan remaja ini berbeza jika dibandingkan dengan rakan sebaya. Jika rakan seusia menghabiskan masa bersosial, Along pula sibuk melayan kerenah anak-anak yang menggelarnya, ‘ummi’.
Namun, jauh di sudut hatinya, tidak timbul sekelumit rasa kesal. Ini kerana Noor Emylia memilih cara hidup begini malah beliau dibesarkan dalam suasana sama sejak ibunya mula mengasaskan PERNIM.
"Saya tidak keluar menonton wayang seperti teman yang lain. Jika pergi sekali pun, saya akan pergi dengan keluarga. Namun, jarang sekali berlaku kerana jika hendak keluar, perlulah semua anak-anak dibawa bersama.
”Malah sejak menjadi ibu, saya akan pastikan saya pulang sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi memastikan keperluan dan kasih sayang dapat dicurahkan sebaik-baiknya kepada mereka,“ katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pengorbanan Noor Emylia bukan sekadar dari segi masa, malah beliau sanggup memperuntukkan sejumlah wang saku yang diberikan ibunya setiap bulan untuk membeli keperluan si comel termasuk permainan mereka.
Malah, Noor Emylia bertekad menambah bilangan ‘anak’ apabila sudah bekerja kelak. Ini kerana, ketika itu, beliau sudah mampu untuk memikul tanggungjawab secara menyeluruh termasuk menanggung kos membesarkan ‘anak-anak’.
”Setakat ini, mama masih banyak lagi membantu dalam membeli pakaian dan sebagainya. Kalau boleh, saya memang mahu menambah bilangan anak tetapi saya tidak mahu menyusahkan mama, jadi biarlah tunggu apabila saya sudah bekerja kelak.
”Namun begitu, mama tidak memilih kasih dalam membeli keperluan atau membantu menjaga kedua-dua anak saya dengan adik-beradik lain. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Harapan seorang ibu
IBU mana yang tidak tersentuh hati apabila melihat anak mewarisi sifat diri yang penyayang kepada kanak-kanak.
Begitulah perasaan Norlina Alawi, 40, yang mengasaskan Keluarga Besar Norlina Alawi tatkala anak sulungnya menyatakan hasrat untuk menyambung perjuangannya.
Bagi Norlina, beliau berasa bangga kerana usaha murninya menubuhkan PERNIM pada 2004 yang kini dikenali sebagai Keluarga Besar Norlina Alawi Bhd (KBNAB), bukan usaha sia-sia kerana sudah ada pewaris yang sanggup mengambil tempatnya andai dirinya sudah tiada lagi.
”Pada mulanya, saya didik Along (Noor Emylia) untuk kasih kepada kanak-kanak ini. Saya mahu dia menjadi ikon remaja yang mampu menjadi ibu pada usia muda dan pada masa sama, tidak mengabaikan pelajaran.
”Ini terbukti kerana ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Perlis, Along mampu memperoleh keputusan 3.51 poin hingga layak menyambung pengajian dalam bidang akauntan di UiTM kampus Melaka,“ katanya.
Lebih mengujakan Norlina, sifat murni membantu kanak-kanak malang bukan saja diwarisi Along, malah anak-anak kandung yang lain turut dididik Along untuk menjaga kanak-kanak malang seperti anak sendiri.
Norlina berkata, setiap kali Along pulang ke kampus, tujuh anak kandungnya yang lain termasuk Nur Aini Roslan, 18; dan Nur Syaheera Roslan, 16, akan bergilir-gilir menjaga Asyraf dan Nurul Syifa termasuk tidur bersama kedua anak kecil itu.
”Selepas melihat keupayaan Along dalam membesarkan kedua-dua anaknya tanpa banyak masalah, saya ingat fikir akan memberi Aini atau Angah pula anak untuk dijaga,“ katanya yang kini mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Malaysia dalam Diploma Bimbingan Kaunseling.
Norlina berkata, beliau juga mengharapkan Along bertemu jodoh dengan lelaki yang baik dan dapat menerima puteri sulungnya itu bersama ‘anak-anaknya’ dalam masa terdekat.
Ketika ditanya mengenai sambutan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi, Norlina berkata, setiap tahun, keluarga besarnya akan pulang ke kampung menaiki empat kereta.
”Pada tahun ini, selepas beberapa acara sambutan di ibu kota, kami akan pulang ke Kluang, Johor menaiki empat kenderaan berbeza.
“Lazimnya, saya, suami, Along dan Angah yang akan memandu,“ katanya yang tidak kisah berbelanja besar untuk mendapatkan pakaian cantik untuk 42 anak-anaknya.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen