Niosh sasar 500 syarikat diiktiraf menjelang 2005
KOTA KINABALU - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara
(NIOSH) menyasarkan sebanyak 500 syarikat menerima sijil pengiktirafan
bagi Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MS 1722 dan
OHSAS 18001) menjelang 2015.
Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye berkata sehingga kini, kira-kira
200 syarikat mendapat sijil itu, termasuk dua dari Sabah iaitu Lahad
Datu Edible Oil dan TSH Wilma.
"Persijilan itu dikelolakan oleh NIOSH Certification Sdn Bhd (NCSB)
iaitu badan pensijilan yang diiktiraf dan merupakan anak syarikat milik
penuh NIOSH di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia," katanya pada
sidang akhbar sempena Majlis Apresiasi Media 2013 di sini hari ini.
Beliau berkata NCSB akan menawarkan latihan sistem pengurusan seperti
program kesedaran, kursus Ketua Juruaudit dan Audit Dalaman.
"Bagi tempoh 2010 hingga 2012, sebanyak 829 kursus berjaya dianjurkan
NIOSH Sabah membabitkan penyertaan seramai 15,244 peserta dari seluruh
negeri," katanya.
Terdahulu, ketika berucap, Lee memuji peranan dan sumbangan pengamal
media kerana berjaya mempromosi budaya kerja selamat serta sihat dalam
semua industri di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penganjuran Konvensyen dan
Pameran Bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Borneo ketiga
dari 16 hingga 18 Jun depan di Kota Kinabalu. - Bernama
sumber; Sinar Harian, 28/1/2013
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen