Pages - Menu

Pages - Menu

Petua atasi keinginan merokok

Petua atasi keinginan merokok



                                           Kaedah melawan keinginan merokok





Ingatlah berhenti merokok adalah suatu langkah yang terbaik yang pernah anda ambil dalam hidup anda. Ianya langkah yang bijak lagi menguntungkan bagi diri anda dan juga keluarga anda yang tercinta.

MEMBUAT KEPUTUSAN BERHENTI MEROKOK
Kenapa anda membuat keputusan untuk berhenti merokok?. Mengetahui semua sebab-sebab untuk berhenti merokok akan mendorong anda lebih bersemangat untuk berjaya. Terdapat banyak sebab dan faedah untuk membuang tabiat merokok. 
 
MELINDUNGI ORANG LAIN.
Apabila anda merokok, orang yang berada di sekeliling anda turut juga menyedut asap rokok yang datang dari rokok yang anda hisap. Ini dinamakan merokok secara pasif. Ia boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung, penyakit saluran pernafasan dan penyakit lelah di kalangan bukan perokok ini sama seperti mereka yang merokok. Merokok secara pasif adalah berbahaya kepada kanak-kanak.


MENJADI TELADAN YANG BAIK.
Sekiranya anda mempunyai keluarga, anda menjadi contoh ikutan atau ” role model ” kepada ahli keluarga anda khususnya kepada anak-anak anda. Kanak-kanak lebih cenderung untuk merokok sekiranya salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka merokok.



ANAK-ANAK LEBIH SIHAT.
Kanak-kanak yang mempunyai ibubapa yang merokok adalah lebih kerap menghidapi penyakit penyakit saluran pernafasan seperti pneumona, jangkitan telinga dan lain-lain. Mereka juga lebih kerap mengalami gangguann iritasi pada mata, hidung dan tekak, dan mudah mendapat gejala pernafasan kronik seperti batuk dan kahak.
MENINGKATKAN KECERGASAN.
Merokok menjejaskan kecergasan anda dan membuat anda cepat letih dan hilang stamina ketika bersenam, berjogging, berjalan dan pergerakkan berat yang lain.
MENINGKATKAN DERIA RASA DAN HIDU.
Apabila anda berhenti merokok keupayaan deria untuk merasa dan menghidu akan meningkat dan kembali pulih seperti sediakala sama ketika anda belum menjadi perokok.
KULIT LEBIH SIHAT.
Merokok mengakibatkan kulit tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, oleh itu sel-sel baru tidak dapat membentuk dengan sempurna. Perokok biasanya cepat beruban, kulit tidak berseri dan cepat berkedut terutamanya di sekeliling mata dan mulut.
NAFAS LEBIH SEGAR.
Nafas akan lebih segar dan tidak berbau busuk apabila anda berhenti merokok.
GIGI LEBIH PUTIH.
Merokok mengotorkan gigi anda. Ia menyebabkan gigi anda berwarna kuning berkarat dan menjejaskan senyuman anda.
RAMBUT DAN PAKAIAN TIDAK BERBAU BUSUK.
Asap rokok meninggalkan kesan bau busuk pada rambut dan pakaian anda. Anda akan dapat merasakan perbezaannya apabila anda berhenti merokok.
MEJIMATKAN WANG.
Perokok yang menghisap rokok sekotak (20 batang) dalam sehari boleh menjimatkan wang lebih kurang RM 1500.00 setahun.
MELINDUNGI ALAM SEKITAR.
Asap rokok mencemarkan udara dan alam sekitar. Rokok juga menyebabkan beberapa kebakaran yang boleh dielakkan.
KESUBURAN MENINGKAT BAGI LELAKI.
Kajian menunjukkan kesan daripada amalan merokok boleh menyebabkan kelainan pada sperma dari segi mobiliti atau keupayaan bergerak, struktur tidak normal dan juga bilangan sperma yang berkurangan.
KELAKIAN BERKURANGAN.
Merokok boleh menyebabkan impoten atau mati pucuk. Ini ialah kesan langsung ke atas keupayaan mendapatkan ereksi atau ketegangan pada alat kelamin yang terjejas akibat pembuluh darah pada alat kelamin tersebut menjadi lemah.
MEMBUAT PERSEDIAAN BERHENTI MEROKOK
Anda mungkin merasa bahawa berhenti merokok ini mempunyai kebaikan dan keburukan pada diri anda. Perasaan ini memang sesuatu yang lumrah setiap kali kita membuat sesuatu keputusan yang paling penting dalam kehidupan kita. Setelah mengenalpasti sebab-sebab anda berhenti merokok, fikirkan juga perkara-perkara yang mungkin menghalang anda daripada berhenti merokok. Contohnya , ada perokok yang bimbang akan mengalami naik berat badan atau gejala ” withdrawal ” atau gian. senaraikan pula faktor-faktor yang anda rasakan mungkin menghalang niat anda untuk berhenti merokok.
Sekiranya anda merasa sangsi untuk meneruskan niat anda untuk berhenti merokok, yakinkan diri anda bahawa kesangsian itu boleh diatasi. Sentiasa ingatkan diri anda akan mendapat kebaikan dan faedah yang akan anda kecapi dengan berhenti merokok dan bersedialah untuk berhenti merokok.
Sekiranya anda telah benar-benar bersedia untuk berhenti merokok, kemungkinan anda berjaya adalah lebih cerah. Bagi membantu anda bersedia untuk berhenti merokok, anda bolehlah mengambil langkah-langkah yang dinyatakan di bawah bagi menjayakan hasrat anda untuk berhenti merokok;


Memahami bila dan kenapa anda merokok.

Ubah kebiasaan merokok.

Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok.



Dapatkan sokongan.


Rancang kehidupan harian tanpa merokok.


1. MEMAHAMI BILA DAN KENAPA ANDA MEROKOK.
Apabila anda mengetahui kenapa anda merokok, anda boleh merancang cara mana melalui kehidupan biasa tanpa merokok. Sebab kenapa anda merokok biasanya bergantung rapat dengan masa atau tempat, dengan siapa kita bersama atau perasaan yang dirasai. Dengan mengetahui kenapa dan bila anda akan berhenti merokok, memudahkan anda bersedia menghadapi masa-masa tersebut ketika mana desakan atau keinginan intuk merokok itu timbul.
Simpanlah sesuatu catatan harian atau diari mengenai amalan merokok anda untuk beberapa hari. Bagi setiap kali anda merokok. tuliskan masa anda merokok, keadaan ketika mana anda berada dan sebab anda merokok. Buatkan suatu tanda ketika mana keinginan untuk merokok paling memuncak.
2. UBAH KEBIASAAN MEROKOK
Adalah lebih mudah bagi anda berhenti merokok sekiranya anda dapat mengatasi kebiasaan merokok yang diamalkan sebelum ini. Mulakan dengan:
Ubah cara dan gaya anda merokok, hindarkan merokok pada masa yang biasanya anda merokok, pegang rokok berbeza dengan cara yang biasa, tukar jenama lain, ikatkan kotak rokok dengan getah gelang agar membukanya untuk tujuan merokok akan mendatangkan sedikit kesukaran.
Ubah situasi atau keadaan ketika mana biasanya merokok, pilihlah tempat yang tidak sesuai atau selesa untuk merokok dan bukan di tempat yang anda merasa seronok merokok.
Mula kurangkan kekerapan merokok.
3. TETAPKAN TARIKH BERHENTI MEROKOK
Adalah mustahak anda menentukan sendiri tarikh berhenti merokok. Elakkan hari-hari bilamana anda akan mengalami tekanan, sebaliknya pilihlah tarikh penting dan bermakna bagi diri anda seperti hari lahir, hari ulangtahun perkahwinan dan sebagainya. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk berhenti merokok. Pada hari anda akan berhenti merakok itu rancanglah sesuatu untuk mengubah perkara-perkara rutin yang biasa anda lakukan supaya keinginan untuk merokok tidak timbul. Berilah masa secukupnya bagi menyiapkan diri anda untuk membuat persediaan berhenti merokok, tetapi jangan sekali-kali membatalkan niat anda untuk berhenti merokok.
4. DAPATKAN SOKONGAN
Maklumkan kepada keluarga, teman rapat dan rakan sekerja bahawa anda telah berhenti merokok dan dapatkanlah sokongan mereka. Bahkan adalah lebih baik sekiranya anda mengajak rakan anda yang merokok supaya bersama-sama untuk berhenti merokok agar masing-masing dapat saling menyokong. Ada baiknya jika anda dapat menentukan calun rakanyang boleh menyertai anda berhenti merokok. 


5. RANCANG KEHIDUPAN HARIAN TANPA MEROKOK
Semasa melalui kehidupan harian tanpa merokok anda perlu merancang caramana mengatasi keadaan atau situasi bilamana anda biasanya merokok, contohnya setiap kali selepas minum kopi atau selepas makan dan sebagainya. Cuba alih perhatian anda kepada sesuatu yang bukan kebiasaan yang anda lakukan. Perancangan yang teliti membolehkan anda melalui kehidupan harian dengan yakin dan tenang. Lalui setiap jam dengan penuh kesabaran dan kesungguhan. 


MULAKAN BERHENTI MEROKOK


YAKIN DIRI

Anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.




  •  Memohon doa dan berazam untuk berjaya membuang tabiat merokok. 
  • BERSIHKAN Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.
  • Lengahkan merokok. Apabila terasa mahu merokok, beritahu diri sendiri untuk tunggu 10 minit dan lakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian anda daripada rokok. Ulang kaedah ini selagi anda terdaya.
  •  


  • Menarik nafas panjang selama lima saat dan lepaskan perlahan-lahan. Ulang tiga hingga lima kali.
  • Jangan kata ‘hanya sebatang saja’. Jangan terperangkap dengan pujukan keinginan merokok kerana biasanya anda tidak akan berakhir dengan sebatang saja.
  • Elakkan perkara yang boleh merangsang keinginan merokok. Ini termasuk melepak dengan kawan perokok. 
  • Melakukan kegiatan yang boleh mengalihkan fikiran daripada rokok seperti berkebun.




  • Minum air galian atau masak dengan banyak.
  • Bersenam. Aktiviti fizikal boleh membantu mengalihkan perhatian anda pada rokok. Malah senaman dalam pejabat atau rumah dengan naik turun tangga atau senaman ringan lain juga sangat berguna khususnya jika anda kerap merokok kerana bosan.
  • Amalkan teknik berehat. Jika dulu rokok menjadi teman rehat anda, kini ia boleh ditinggalkan kerana rokok akan membuat badan lebih ‘tertekan’ dan sakit. Cuba yoga, urut, teknik pernafasan, senaman atau hipnosis.
  • Mengunyah. Setiap kali anda mahu merokok, kunyah gula-gula getah atau kulum gula-gula keras. Anda juga boleh makan buah-buahan, lobak merah atau batang saderi.
  • Cuba kaedah terapi penggantian nikotin - sama ada tampalan, inhaler atau lozeng. Dapatkan bantuan dan sokongan daripada mana-mana klinik berhenti merokok yang berdekatan.



  • FAEDAH YANG ANDA PEROLEHI SEBAIK SAJA ANDA BERHENTI MEROKOK
    Selepas beberapa jam sistem peredaran darah akan mulai bersih daripada bahan nikotin. Dalam tempoh 2 hari, hasil sampingan bahan nikotin akan lenyap dari badan.
     
    Selapas 6 jam, nadi akan lebih perlahan ke paras yang lebih normal dan tekanan darah akan menurun sedikit. Ini amat baik untuk jantung anda.
     
    Selepas 24 jam, karbon monoksida iaitu salah satu jenis gas beracun akan mula lenyap dari tubuh, membolehkan lebih banyak oksigen diserap oleh sel-sel dalam tubuh. Paru-paru akan dapat berfungsi dengan lebih baik.
     
    Selepas 2 hari, deria rasa pada lidah akan bertambah baik. Anda akan dapat menikmati kelazatan makanan, lebih dibandingkan semasa anda merokok. Deria menghidu akan pulih seperti sediakala. Gigi, rambut, jari, pakaian dan nafas akan menjadi lebih bersih.
     
    Selepas beberapa minggu, silia dalam saluran pernafasan yang berfungsi membersihkan bahan-bahan kotoran seperti habuk, debu dan sebagainya akan kembali pulih dan paru-paru dapat berfungsi dengan lebih baik.
     
    Selepas 2 bulan, peredaran darah ke seluruh tubuh terutama ke bahagian periferi seperti jejari tangan dan kaki mejadi lebih efisien.
     
    Selepas 3 bulan, kedua-dua lelaki mahupun wanita menjadi lebih subur.
     
    GEJALA " WITHDRAWAL " ATAU GIAN.
    Sekiranya anda ketagih dengan rokok tentunya tubuh anda telah terbiasa dengan nikotin yang mana ketiadaan dalam tubuh anda akan menyebabkan anda mengalami gian atau gejala "withdrawal". Gejala fizikal yang berlaku ke atas diri anda merupakan suatu tanda positif bahawa tubuh anda kembali pulih. Gejala-gejala ini akan hilang dalam tempoh 3 hingga 14 hari.
    Batuk-batuk menandakan mekanisma pembersihan saluran pernafasan anda berfungsi seperti sediakala.
    Pening-pening sedikit menandakan tubuh anda mula menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih berbanding semasa menjadi perokok dahulu.
    Sakit kepala boleh terjadi apabila tekanan darah menurun ke paras normal. Ini berlaku selepas tiga hari berlalu.
    Rasa kebas dan sengal-sengal kadang-kadang boleh terjadi pada otot. Ini berlaku kerana peredaran darah menjadi lebih lancar. Lakukan senaman untuk melancarkan lagi sistem peredaran darah.
    Gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, merasa loya atau sebu perut kadang-kadang boleh terjadi tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja. Gejala-gejala lain seperti gangguan tidur, gangguan konsentrasi dan perasaan resah akan juga berlaku. Gejala-gejala ini tidak berpanjangan dan boleh diatasi dengan mudah.
    Sekiranya tidak boleh mengatasi gejala "withdrawal" ini berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan nikotin gantian.












    No comments:

    Post a Comment

    Terima Kasih sudi komen