Pages - Menu

Pages - Menu

Kraf Tangan Kayu Dari Temerloh Bertaraf Dunia

Kraf Tangan Kayu Dari Temerloh Bertaraf Dunia

Encik Muhaimin bin Hasbollah dari Syarikat Inakraf

Cantik kan ukiran ini...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Temerloh, bukan setakat titik tengah Semenanjung Malaysia, bahkan mempunyai pelbagai keistimewaan khazanah sejarah bangsa. Salah sebuah daerah yang semakin pesat membangun di Pahang ini juga mempunyai ramai pengukir kayu yang kreatif  dan mencipta nama di persada antarabangsa. Tahniah kepada Encik Muhaimin bin Hasbollah dari Syarikat Inakraf Temerloh Pahang kerana telah mengharumkan nama Negara Malaysia

Ukiran yang menggambarkan sekuntum kelopak bunga di bawah punca benih lambang bermulanya kelahiran dalam kehidupan dan setiap sulur bertaut serta melingkar dengan sendirinya tanpa halangan dan tidak bersentuhan lambang sikap rendah diri serta penghormatan orang muda kepada orang yang lebih tua.

 Ukiran serta falsafah yang lahirkan dari hati beliau melayakkan karya beliau untuk di anugerahkan sebagai The Best Craftmanship Award pada pertandingan  International Live Wood Carving Show and Competition 2012 di Guangxi, China. Beliau  membawa pulang Sijil Penghargaan serta wang tunai.

Menurut En. Muhaimin, kejayaan ini bukan milik beliau seorang tetapi milik seluruh rakyat Malaysia terutamanya penggiat seni ukir tanah air. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa seni ukiran kayu Melayu, amnya dan Malaysia, khasnya dipandang dan ditempatkan di martabat yang tinggi di mata dunia. Semoga industri ukiran kayu di Malaysia akan terus berkembang maju.

Kraf Tangan Kayu Dari Temerloh Bertaraf Dunia



Kotak Hantaran ciptaan Puan Rohani

 

TERDAPAT pelbagai jenis motif ukiran moden dihasilkan antaranya bunga pekan, paku pakis dan ketumbit.





ROHANI memulakan perniagaan bengkelnya dari bawah dan kini mendapat tempahan dari seluruh negara.




KEASLIAN serta keunikan seni kraf tangan kayu yang diwarisi sejak turun-temurun adalah aset negara yang tidak ternilai harganya. Warisan seni itu mencabar kreativiti pembuatnya daripada pemilihan kayu, memotong dan mengukir sehingga menjadi kraf seni yang serba indah.

Hasil rimba berasaskan kayu tersebut mempunyai pelbagai kegunaan daripada perabot, produk hiasan sehinggalah hadiah cenderamata.


 

Usahawan kraf 

Warisan Craft Wood merupakan salah sebuah bengkel usahawan kraf di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Pahang. 

Menerima sambutan yang menggalakkan, bengkel kraf tangan terletak di Kampung Darat Sanggang, Temerloh itu menghasilkan pelbagai jenis ukiran yang eksklusif dan menarik. 

Pemilik Warisan Craft Wood, Rohani Md. Piah yang juga penolong pengurus bengkel berkenaan berjaya menjalankan perniagaan kraf tangan berasaskan kayu rimba itu sejak 13 tahun lalu. 


Bersama suaminya Mohamad Mat Nor, yang juga pengurus bengkel itu, mereka mengendalikan operasi harian bengkel berkenaan bersama-sama enam pekerja.

Malah, menariknya pasangan itu dipilih oleh kerajaan negeri untuk mempromosikan hasil ukiran congkak sempena pameran kraf tangan di Gedung Harrods, London, United Kingdom pada tahun 2006.

Bukan mudah menceburi bidang ukiran itu kerana ia memerlukan minat dan semangat yang tinggi di samping kemahiran si pengukir, jelas Rohani yang amat menitikberat ketelitian dalam setiap rekaan mengikut gaya dan penataan.


Bagi Rohani, kerjaya dalam bidang pendidikan menjadi impiannya sejak di bangku sekolah. Setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia cawangan Pahang, sejak itulah minatnya dalam bidang kraf kayu mula bercambah. 

Pada peringkat awal, Rohani menggunakan kemahirannya dengan menerima tempahan membuat kerusi dan meja sekolah. 

Berbekalkan semangat dan kesungguhan, beliau kemudian berjaya membuka bengkel sendiri pada tahun 2001 dengan modal sebanyak RM1,500 di samping bantuan mesin dari Kraftangan Malaysia. 

Kekayaan hutan rimba negeri Pahang, tidak menyukarkan Rohani mendapat bekalan kayu daripada pembekal di sekitar kawasan berhampiran. 

Antara jenis kayu yang diperlukan untuk membuat ukiran di bengkelnya ialah cengal, balau, merbau, mempisang dan nyatoh.

Motif tradisional dan moden 

Motif tradisional menjadi pilihan utama Rohani dalam mengekalkan ciri-ciri eksklusif di bengkel antaranya motif bunga pekan, matahari, kenanga, ketam guri, ketumbit dan paku pakis. 

Produk ukiran yang dihasilkan adalah hiasan seni bina rumah, hiasan taman, set kerusi kayu, panel, ukiran mimbar, gazebo, rostrum, pergola, pagar dan sebagainya berdasarkan permintaan pelanggan serta inisiatif sendiri. 

Sementara itu motif kontemporari yang dihasilkan adalah bersesuaian dengan era moden seperti motif harlicornia, daun buluh dan tangkai padi.

Ukiran berasaskan motif moden itu sering dibuat pada panel ukiran, set kerusi kayu, pemidang dan hiasan dinding mengikut tempahan yang diterima. 


Pameran produk 

Bagi mengelak pembaziran kayu lebihan, Rohani menggunakannya untuk menghasilkan kraf tangan bersaiz kecil seperti rantai kunci, penanda buku, pelbagai cenderamata dan ukiran ayat-ayat bentuk kaligrafi. 

Rohani turut menyertai pameran yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Kraftangan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dalam memperkenalkan kraf tangan berasaskan kayu dari bengkelnya.

Hasil ukiran beliau turut mendapat sambutan yang menggalakkan terutama dalam kalangan penggemar kraf tangan dari Singapura yang menggemari ukiran bekas telur untuk majlis perkahwinan, rehal al-Quran, dulang hantaran dan bakul hamper. 

Hari Kraf Kebangsaan yang berlangsung mulai 27 Februari hingga 11 Mac lalu juga memberi peluang kepada Rohani untuk mempamer dan menjual hasil krafnya kepada orang ramai. 

Dalam usahanya memartabatkan warisan seni ukiran kayu hingga ke peringkat global, Rohani turut menjadi tenaga pengajar kraf tangan di Kraftangan Malaysia cawangan Pahang dan Lembaga Perkayuan Malaysia (MTIB) bagi melahirkan tenaga mahir generasi akan datang. –Bernama

Sumber: lihat di website Kraftangan Malaysia di sini dan Kosmo di sini





No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen