Sebagai Kaunselor Cara Nabi Muhammad Mendorong Perubahan Tingkah Laku Tanpa Memberi Nasihat
Sebagai Kaunselor: Cara Nabi Muhammad Mendorong Perubahan Tingkah Laku Tanpa Memberi Nasihat
Nabi Muhammad adalah seorang pendorong perubahan tingkah laku yang amat berpengaruh. Banyak orang yang bermula dengan akhlak buruk akhirnya berubah menjadi orang yang sangat baik akhlaknya disebabkan mereka terpengaruh oleh kata-kata yang pernah mereka dengar dari mulut Nabi Muhammad.Nabi Muhammad menggunakan banyak prinsip dan teknik bagi mendorong orang-orang yang akhlaknya buruk supaya mengubah sikap dan tingkah lakunya.
Namun, dari rekod hadis-hadis yang autentik, didapati beliau tidak memberikan motivasi perubahan tingkah laku dengan cara berleter ataupun dengan menyampaikan ceramah panjang lebar kepada kelompok orang yang buruk akhlaknya, seperti yang biasa kita lihat dilakukan kepada golongan banduan, penagih dadah, penghuni rumah pemulihan akhlak, pelajar bermasalah dan lain-lain golongan seperti itu.
Salah satu cara yang Nabi Muhammad gunakan adalah dengan tidak menasihati mereka itu supaya berhenti daripada melakukan perbuatan buruk mereka itu. Sebaliknya, beliau hanya menerangkan cara mudah bagaimana mereka dapat membersihkan dosa mereka.
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahu.” Saidina Umar yang ada di situ telah memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi.
Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)
Dalam hadith di atas Nabi Muhammad membacakan sepotong ayat dari al-Quran yang relevan dengan keperluan pesalah itu. Beliau tidak menggunakan kata-katanya sendiri.
Malah beliau tidak menggunakan kata-kata nasihat. Contoh ayat-ayat nasihat berbunyi seperti di bawah:
* "Syukur alhamdulillah, kamu sudah sedar kesalahan kamu, dan kamu sudah insaf. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kamu."
* "Sudahlah, jangan buat lagi perbuatan terkutuk macam itu."
* "Nasib baik kamu sudah insaf. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kamu itu."
* "Syukur alhamdulillah, Allah buka hati kamu sehingga kamu sedar kesilapan kamu itu."
* "Lupakanlah cerita lalu. Bukalah buku baru. Allah sentiasa mengampunkan dosa orang yang bertaubat."
* "Jangan pula nanti kamu ulangi kesilapan kamu itu."
* "Bagus sangat kamu sudah insaf. Jangan lupa solat dan minta ampun dari Allah."
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen