KUALA LUMPUR - Kertas cadangan mengurangkan nisbah Guru Kaunseling Sepenuh Masa (GKSM) kepada seorang guru bagi 300 murid berbanding seorang guru bagi 300 hingga 850 murid di sekolah rendah dan menengah sedang diproses, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi berkata kertas cadangan itu telah dihantar kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran, untuk dipertimbangkan, namun cadangan itu belum mendapat kelulusan kerana melibatkan soal perjawatan dan faktor kewangan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim
Fikri (BN-Kuala Nerus) yang ingin tahu sama ada kementerian itu
bercadang untuk mengubah nisbah GKSM kepada lebih rendah dan menempatkan
guru kaunseling di sekolah kurang murid untuk mengatasi masalah
disiplin pelajar.
Mengenai isu penempatan GKSM di sekolah kurang murid, Puad berkata
hakikatnya memang tidak ada guru kaunseling dengan jawatan hakiki di
sekolah berkenaan, sebaliknya kementerian melantik guru secara
pentadbiran dengan diberikan latihan untuk menjalankan tugas sebagai
guru kaunseling selain melakukan tugas biasa mereka sebagai guru.
Kepada soalan asal Mohd Nasir yang ingin tahu berapa nisbah guru
kaunselor berbanding jumlah murid di sekolah menengah kebangsaan dan
sekolah kebangsaan, Puad berkata sehingga 30 Jan lepas, terdapat 9,713
orang guru, dengan 4,033 daripadanya di sekolah rendah dan selebihnya di
sekolah menengah.
Beliau berkata nisbah seorang GKSM ialah 500 murid bagi sekolah
menengah dan 350 hingga 850 murid bagi seorang GKSM di sekolah rendah.
Puad berkata menyedari pentingnya peranan guru kaunseling kepada
pembangunan sahsiah murid, kementerian menetapkan Indeks Prestasi Utama
(KPI) yang perlu dipenuhi guru kaunseling mulai tahun ini, iaitu seorang
guru kaunseling perlu memberi kaunseling kepada lima orang murid secara
individu, dan untuk berkumpulan melibatkan lapan hingga 10 murid,
setiap minggu.
"Peranan guru kaunselor juga adalah untuk memberi kaunseling tentang
kerjaya murid supaya mereka faham ke mana harus mereka pergi (selepas
tamat peresekolahan) dan untuk itu dari segi peranan, kita menetapkan
KPI seperti jumlah murid dan kaunseling yang perlu dipenuhi guru bagi
memenuhi sasaran yang ditetapkan kementerian untuk tahun 2012," katanya.
Puad berakta tugas seorang guru kaunseling cukup mencabar kerana ia
meliputi pembangunan dan pengembangan sahsiah diri murid, peningkatan
disiplin, pendidikan dan kerjaya murid serta kesejahteraan mental murid.
- Bernama
SUMBER; SINAR HARIAN, 27 MAC 2013
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen