Fosil Cengkerang berusia 260 juta tahun ditemui di Kuala Lipis
ANTARA fosil cengkerang spesies Brakiopoda yang ditemui pada singkapan batuan tapak projek jalan raya berdekatan Sungai Yu, Merapoh
Fosil Cengkerang berusia 260 juta tahun ditemui di Merapoh
KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.Hasil kajian ke atas fosil itu mendapati ia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis pada 2011 lalu yang berusia 230 juta tahun.
Ahli Paleontologi itu, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman prasejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaik taraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil yang terletak pada lapisan batu lumpur itu merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup dipersekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penemuan itu menunjukkan sekitar 250 juta hingga 260 juta tahun dahulu Merapoh berada di dasar lautan dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif. - UTUSAN ONLINE
Penduduk Lipis teruja penemuan fosil
KUALA LIPIS 17 Jun - Penemuan fosil cengkerang berusia 260 juta tahun oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini dianggap sebagai luar biasa dan memberikan keterujaan kepada penduduk di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, penemuan itu membuka lembaran baharu dalam kajian prasejarah sebagai usaha universiti tempatan meluaskan pengetahuan rahsia fosil daripada perut bumi untuk tatapan orang ramai.
Kita akan cadangkan tapak tersebut dipulihara untuk penyelidikan saintifik tempatan dan luar negara.
Kita (juga) akan berbincang dengan penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) UKM untuk membuat kajian di semua jalur berkenaan bagi melengkapkan kajian prasejarah," katanya di Kampung Relong di sini hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu berdekatan Merapoh di sini.
Penemuan itu membuktikan hasil kajian fosil berkenaan lebih tua usianya berbanding ditemui di Taman Emas, Kuala Lipis yang berusia 230 juta tahun pada 2011.
Mustapa berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya Majlis Daerah Lipis (MDL) menempatkan sebahagian fosil spesies Brakiopoda di Muzium Warisan Lipis, Bukit Bius di sini untuk tatapan pengunjung.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pahang, Ahmad Daniar Ismail pula berkata, penemuan spesies fosil itu menunjukkan daerah ini mempunyai artifak prasejarah dan sumber mineral yang boleh dieksplotasikan untuk pembangunan sektor pelancongan, ekonomi serta pendidikan.
Sumber Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen