Pages - Menu

Pages - Menu

Penemuan Arkeologi Maya Purba di Mexico

 Penemuan Arkeologi Maya Purba di Mexico





Kesan runtuhan yang ditemui pakar arkeologi di bandar Chactun di Semenanjung Yucatan di Mexico. Bandaraya Mexico: Sepasukan pakar arkeologi menemui sebuah bandar purba kaum Maya yang tersembunyi di dalam hutan hujan di timur Mexico sejak beberapa kurun, penemuan yang diharap dapat membongkar punca kejatuhan tamadun mereka 1,000 tahun lalu.


Ketua pasukan itu, Profesor Madya Ivan Sprajc dari Akademi Sains dan Kesenian Slovania, berkata pihaknya menemui 15 piramid termasuk satu daripadanya setinggi 23 meter, gelanggang bola, plaza dan tiang batu berukir dikenali stelae. 





Mereka menamakan bandar itu sebagai Chactun bermaksud Batu Merah atau Batu Besar.


“Kami dapati jumlah penghuni bandar itu kurang sedikit berbanding bandar kaum Maya, Tikal di Guatemala. Jumlah penduduknya mungkin 30,000 hingga 40,000 orang, tetapi kami perlu membuat penyelidikan,” katanya.

Sprajc berkata Chactun mungkin berada pada puncak kegemilangannya era akhir tamadun Maya pada tahun 600 dan 900.

Penyelidikan itu mendapat kelulusan Institut Kebangsaan Antropologi dan Sejarah Mexico dan dibiayai National Geographic Society bersama dua syarikat Eropah.

Sprajc berkata lokasi seluas 22 hektar terletak 120 kilometer ke barat Chetumal adalah kawasan terbesar pernah ditemui di tanah rendah Yucatan. Kawasan penempatan paling hampir ialah bandar Xpujil, 25 kilometer dari bandar purba itu.

“Keseluruhan lokasi diliputi hutan tebal,” kata Sprajc.

Walaupun tidak pernah diketahui penyelidik, Sprajc menemui bukti bandar purba itu pernah dikunjungi manusia 20 atau 30 tahun lalu.

“Kesan penggunaan peralatan dan kenderaan ada di kawasan itu kerana kami melihat bekas potongan pada pokok. Masalahnya mereka tidak memberitahu sesiapa,” katanya. - REUTERS

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen