Resume Tonjolkan Diri Calon Pekerja
Klinik Resume Anjuran Kolej Twintech
Menurut kajian terkini, majikan meluangkan purata enam hingga 14 saat saja untuk meneliti resume pemohon. Justeru, dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif, resume yang dikemukakan calon perlu menarik perhatian majikan selain memberikan maklumat yang pantas dan mudah ditemui.
Menyedari pentingnya menyediakan resume menarik perhatian majikan, unit Alumni dan Perkembangan Kerjaya Twintech International University College of Technology (Twintech) menganjurkan Klinik Resume, baru-baru ini.
Seramai 20 pelajar tahun akhir terbabit menjayakan sesi pertama klinik resume itu.
Lari daripada kebiasaan
Pengurus Komunikasi Korporat yang juga pengendali Klinik Resume, Abdul Nasir Abdul Khalil berkata, kebanyakan pelajar sering terikat dengan format resume tradisional.
Menurutnya, resume seharusnya berubah mengikut peredaran zaman dan teknologi.
“Penemu duga hari ini sentiasa fleksibel dan mengikuti perkembangan terkini. Mereka lebih mudah tertarik dengan teknik dan pendekatan yang kreatif, bersahaja dan berani.
“Sebab itu, pelajar perlu berani menyediakan resume yang boleh mencuri perhatian mereka, sekali gus memberi peluang lebih cerah untuk terpilih.
“Antaranya penggunaan seni huruf (font) yang menarik perhatian, penekanan tajuk atau maklumat penting menggunakan huruf tebal (bold), Italic serta bergarisan selain susun atur kreatif bagi memberikan kelainan dan menyenangkan pembaca resume. Gambar memberi impak besar dalam memberi kepelbagaian,” katanya.
Perkara kecil tetapi impak besar
Pelajar tahun akhir Diploma in Nursing Twintech, Nurul Atiqah Ahmad berkata, melalui klinik itu, resume mereka diperhalusi bagi memastikan setiap aspek betul dan sesuai dengan kehendak bakal majikan.
“Saya bebas menyusun atur struktur resume mengikut gaya penceritaan diingini. Jika mahu bakal penemu duga melihat pengalaman klinikal dan pengetahuan teknikal kejururawatan, saya lebih menitikberatkan penceritaan dalam aspek itu.
“Jika mengharapkan keputusan peperiksaan, tumpuan resume difokuskan kepada profil akademik,” katanya.
Resume yang berkesan dan tepat perlu meletakkan nilai kecil yang berpotensi besar seperti kemahiran menggunakan perisian komputer bagi menyunting filem, menyunting audio, menyunting imej selain rekod kerja sambilan yang boleh menampakkan kegigihan calon.
Pakej lengkap bantu graduan berkerjaya
Klinik Resume ini sebahagian siri aktiviti dan usaha unit alumni dan pembangunan kerjaya melengkapkan pelajar tahun akhir Twintech dengan persediaan menyertai sektor pekerjaan selain merancang Pesta Kerjaya menerusi pemadanan kerjaya melalui ruangan Facebook alumni.
Klinik Resume dilengkapi kursus ‘surviving interviews’ yang mendedahkan pelajar dengan kemahiran menempuh sesi temu duga selain ‘Graduates Tracer Studies’ yang mengesan graduan ke tempat kerja, berbincang dengan majikan mengenai prestasi serta aspek pembinaan kurikulum.
‘Perkhidmatan-Selepas-Jualan’ Twintech menyeluruh dari membimbing persediaan graduan mendapatkan pekerjaan, menyediakan platform alumni dan bertanya khabar melalui majikan masing-masing.
Hubungi talian 1-300-88-1200, 019-2722 931 (Azwan), laman web di www.twintech.edu.my, Facebook dan akaun YouTube kami untuk maklumat lanjut.
Sumber; Harian Metro, 23/6/2013
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen