Pages - Menu

Pages - Menu

Nor Aziah Tiga beradik jadi jururawat

Nor Aziah Tiga beradik jadi jururawat


BUKAN adik-beradik, Nor Aziah bersama rakan setugas.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kerjaya jururawat adalah antara kerjaya yang sering ditanya oleh pelajar-pelajar/ klien-klien saya berkaitan halatuju kerjaya selepas SPM.

Entry saya sebelum ini berkaitan ekrjaya kejururawatan antaranya ialah Cara Menjadi Jururawat telah disiarkan pada Januari lalu, sila klik di sini untuk membacanya. Artikel tersebut telah mencapai hit pengunjung sebanyak  34 161. Terima kasih kepada bekas pelajar, rakan-rakan dan saudara mara yang sudi mewar-warkan blog ini. Kali ini kita baca kisah 3 beradik yang menjadi jururawat.

Nor Aziah Tiga beradik jadi jururawat

Jika bukan sebab ayahnya mengisi borang permohonan kursus kejururawatan, pasti sekarang Nor Aziah Othman, 27,  berasal dari Pahang tidak bergelar jururawat di sebuah hospital awam.

Siapa sangka, dengan hanya sekali permohonan hasil ‘tangan sakti’ ayahnya, Aziah diterima masuk ke Kolej Kejururawatan Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan bersama adik kembarnya, Nor Afizah Othman.

Sebelum itu kakaknya, Surianizawati sudah menjadi jururawat. Meskipun hampir putus asa kerana pernah gagal sewaktu peperiksaan semester pertama, Nor Aziah tetap meneruskan pengajiannya selepas mendapat sokongan moral keluarganya.


“Awalnya, saya hampir mahu tukar bidang kerana tidak mampu meneruskan pengajian yang dirasakan sangat susah, apatah lagi ketika sekolah menengah saya tidak mengambil aliran sains tulen.



“Jika tiada sokongan keluarga dan adik kembar, mungkin saya tidak mahu meneruskan lagi pengajian. Saya tidak biasa dengan subjek fizik, kimia dan biologi. Namun bernasib baik apabila Afizah sudi mengajar tanpa jemu,” katanya.


Tiga tahun mengharungi pelbagai cabaran getir, akhirnya Aziah berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang. Meskipun jururawat bukan pilihan utama, lama kelamaan dia ‘jatuh cinta’ terhadap kerjayanya.




Selepas tamat belajar, saya memohon menjalani latihan amali di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota Bharu, seterusnya diterima bekerja di Hospital Banting, Selangor. Di sana, saya berdepan ‘dilema’ apabila jururawat perubatan tiada kekosongan.

“Hanya jururawat di wad kecemasan (ICU) yang memerlukan orang. Mulanya saya tidak mahu ditempatkan di bahagian kecemasan kerana suasana terlalu sibuk dan selalu penuh dengan pesakit. Namun, selepas beberapa bulan saya rasa seronok pula,” katanya.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, walaupun bidang jururawat bukan pilihan utamanya, kini dia berasa serasi serta seronok bekerja di bilik kecemasan, apatah lagi memberi bantuan kepada pesakit.

“Selain saya dan adik kembar, kakak berkhidmat sebagai jururawat di hospital awam. Walaupun berlainan hospital, kami menghabiskan masa dan bercerita mengenai pengalaman pesakit dan pengalaman ketika dalam wad kecemasan.


“Pelbagai cerita yang kami kongsi, antaranya kerenah pesakit, tidak kurang juga yang kehilangan ahli keluarga. Dalam situasi ini pada mulanya susah dan janggal, namun sekarang saya sudah biasa,” katanya yang tiga tahun berkhidmat di hospital berkenaan.


Meskipun waktu kerjanya sibuk dan ada kala perlu meninggalkan keluarga jika ada kecemasan, ia tidak pernah melunturkan minat terhadap bidang kejururawatan yang sebati dalam dirinya.


“Saya berterima kasih kepada ayah yang menemukan saya dengan bidang ini. Mungkin jika ayah tidak mengisi borang permohonan itu, saya tiada di sini seperti sekarang,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27 di Harian Metro







No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen