Pages - Menu

Pages - Menu

Syair Bahaya Merokok Tok Kenali

Syair Bahaya Merokok Tok Kenali
Jejak Ulama Nusantara 


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hujung minggu yang tenang. Mendung berarak kala Ramadhan telah menutup tirai Ramadhan 1434 Hijriah. Gerimis mengundang di gamitan Panggilan Haji. Andai masih ada kali di sini, pasti ku turuni jua kerana kali itu anugerah Ilahi. Namun kali yang ada di hadapan ini kian mengecil dan mungkin adakah ia suatu masa nanti.

Syawal masih berbaki beberapa hari lagi. Cuaca dingin mengigit tulang. Matahari bagaikan enggan menjengukkan diri. Di sebalik saki baki Banjaran Tulang belakang tanah semenanjung, mentari pagi mula menyinari bumi Tok Gajah ini. Cahayanya tetap bersinar menerangi alam. Tinggal sahaja ada yang tersesat di dalam sirnanya cahaya kala kabus masih memayungi bumi. 

Kawan, sejak 1511, ketika Kota Melaka diserang Portugis, perjuangan membebaskan Nusantara dari belenggu penjajah telah bermula. Kini, 31 Ogos 2013 kian menghampiri. Ia adalah tarikh keramat Malaysia merdeka dari cengkaman penjajah. Ayuh kawan, mari hayati pesanan dari seorang tokoh Ulama',  guru, pendidik, murabbi dan tokoh pembangun pemikiran umat Islam di Nusantara. Seorang yang dikenali dalam Sejarah Pendidikan Awal Tanahair sebelum kemerdekaan,  TOK KENALI atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad. Al Fatihah kita hadiahkan ke atas roh Allahyarham
Muhammad Yusuf bin Ahmad, klik di sinidan semua pejuang tanahair kita sejak jatuhnya Kota Melaka pada 1511 ke tangan penjajah barat, Tok Bahaman(kisahnya klik di sini)  .....


Di sini dibentangkan sebuah syair yang pernah dikeluarkan oleh Tok Kenali iaitu:


Bahaya Merokok:


Perokok itu terhina, dungu,
 membazir dan keji, 
kerendahan bagi penagihnya, pasti,
 Darinya menguap kentut yang busuk dan diluati. 
Kepulan asap dari bibirnya mengasapi muka dana peribadi.

Syair Bahaya Merokok Puisi yang didendangkan oleh Tok Kenali diwarisi daripada Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad Bin Ahmad Zain Mustafa aal-Fathani. Puisi ini terkenal kerana baitnya melucukan tetapi mempunyai maksud mendalam.

 

Kisah  Tok Kenali Menegur Pelajarnya Yang Merokok

Terdapat beberapa pelajar di Pondok Tok Kenali yang gemar menghisap rokok semasa di luar pondok. Mereka adalah kalangan pelajar yang dipaksa ibu bapa supaya belajar di pondok itu. Sudah puas rakan-rakan sepengajian mereka menasihati pelajar-pelaajr yang merokok ini. Namun tidak mereka endahkan.

Suatu hari, ketika pelajar-pelajar ini menghisap rokok, Tok Kenali mendekati mereka.  Ketika itu mereka sedang berada di luar pondok. Ada yang sedang duduk di tangga pondok, ada yang duduk di pangkin  bawah pokok di hadapan pondok mereka.

Berkatalah Tok Kenali,"

"Wahai anak-anakku. Ingatlah tujuan utama kita berada di sini. Tiada sebab yang lain melainkan untuk menuntut ilmu. Ilmu yang kita tuntut ini  tidak dapat diwarisi daripada ibu bapa. Kita perlu mencarinya sendiri."

Suasana sunyi. Hanya kedengaran bunyi kaki murid-muridnya menguis-nguis ranting pokok di tanah. Mereka tunduk melihat ke tanah. Tidak berani mengangkat muka melihat wajah guru mereka.

"Bukan itu sahaja. Anak-anak, sebenarnya kita perlu mempelajari ilmu di pusatnya," sambung Tok Kenali lagi penuh hikmah. Tutur katanya yang bijak berbicara dalam nada mendidik lahir dari hatinya yang tulus kerana Allah. Kata-kata yang lahir dari hati inshaAllah akan jatuh ke hati jua.  Tok Kenali sedar sebagai guru, beliau bukan setakat guru namun sebagai pendidik kepada anak-anak didiknya.

Mendengarkan bicara Tok Guru mereka yang sederhana tinggi dan tenang tetapi bernas itu, seorang anak muridnya memberanikan diri bertanya kepada Tok Kenali, " Tuan Guru, apakah maksud mempelajari ilmu di pusatnya itu, tuan?"

Tok Kenali mengukir senyuman. Sebagai seorang guru yang sudah berpengalaman, Tok Kenali tahu apabila muridnya itu sudah berusara itu tandanya mereka  mereka sudah bersedia menerima nasihatnya.

"Semasa zaman muda dulu, Tok belajar di Kota Bharu. Di Masjid Muhammadi. Ketika itu, Masjid Muhammadi ialah Pusat Pengajian Islam di Kelantan. Selepas berguru di sana, Tok berguru pula di Kota Mekah Al Mukarramah, Kota Suci kita Umat Islam. Di sana, tok mendalami lagi ilmu Bahasa Arab".

Anak-anak murid Tok Kenali yang tadinya merokok, mendengar penuh minat bicara hati Tok Kenali. Dada mereka yang berdebar-debar tadi takut dimarahi oleh tuan guru mereka kerana mereka merokok, kini debaran itu bertukar menjadi ketenangan. Tenang di hati mendengar untaian mutira ilmu daripada seorang tuan guru mereka.

"Jadi, anak-anak, sangat penting bagi anak-anak semua  belajar bersungguh-sungguh di pondok ini. Janganlah melakukan sesuatu yang tidak berfaedah kepada akal dan budi kita, zahiriah dan batiniah kita,"

 Lalu Tok Kenali melafzakan Syair Bahaya Merokok:


Perokok itu terhina, dungu,
 membazir dan keji, 
kerendahan bagi penagihnya, pasti,
 Darinya menguap kentut yang busuk dan diluati. 
Kepulan asap dari bibirnya mengasapi muka dana peribadi.


"Adakah anak-anakku faham maksud kata-kata syair ini?"

"Kami faham, Tok,"

Tok Kenali mengangguk-angguk kepala tanda berpuas hati.

"Janganlah anak-anak semua menghisap rokok. Rokok itu bahan durjana. Ia melambanhkan peribadi kita. Berubahlah kerana Allah. InshaAllah Allah akan memudahkan urusan kamu apabila kamu berazam hendak berubah menajdi insan yang lebih baik dari semalam. Allah akan hantar orang-rang yang beriman untuk membantu kamu. Berjanjilah dnegan tok, anak-anak semua akan memberi perhatian yang jitu kepada pembelajaran di sini".

"InshaAllah, tuan guru. Kami faham," jawab anak-anak murid Tok Kenali.

Tok Kenali kemudian menasihati anak-anak muridnya agar selalu menulis surat kepada ibu bapa di kampung dan mengkhabarkan berita gembira kepada ibu bapa.

"Katakanlah kepada ibu bapa di kampung masing-masing, bahawa kamu sudah berubah. Kamu sudah tidak merokok lagi, dan kamu berazam mahu menjadi murid yang rajin menuntut ilmu kerana Allah, bukan disebabkan dipaksa atau disuruh oleh ibu ayah," Tok Kenali senyum sambil menepuk-nepuk bahu anak-anak muridnya.

"Berjanjilah anak-anak tidak membuatkan ibu ayah di kampung merasa risau memikirkan kamu. Orang yang mulia itu ialah orang yang memuliakan ibu,"

Semua anak-anak murid Tok Kenali mengangguk-angguk kepala. Kelihatan anak-anak murid Tok Kenali tersentuh dengan nasihat yang  diberikan oleh tuan guru mereka. Ada yang kelihatan sebak, ada yang mula menitiskan air mata dan ada yang mula rasa nak menangis tetapi ditahankan tangisan itu kerana malu.

"Doakan kami ya tuan guru,"ujar salah seorang anak muridnya.

"InshaAllah. Bila kita dah niat nak berubah, ia telah dinilai oleh ALlah sebagai pahala. Marilah kita sama-sama berdoa,"


Doa Tok Kenali yg lengkap...ALFATIHAH


بسم الله الرحمن الرحيم . الحمد لله رب العالمين . حمدا يوافي نعمه ويكافيء مزيده . يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم سلطانك .

اللهم صل على سيدنا محمد صلاة تنجينا بها من جميع الأهوال والآفات وتقضى لنا بها جميع الحاجات وتطهرنا بها من جميع السيئات وترفعنا بها عندك أعلى الدرجات وتبلغنا بها أقصى الغايات من جميع الخيرات فى الحيات وبعد الممات وعلى اله وصحبه أجمعين اللهم إني أسئلك من النعمة تمامها ومن الصحة دوامها ومن الرحمة شمولها ومن العافية حصولها ومن العيش ارغده ومن العمر اسعده ومن الاحسان اتمه ومن الانعام اعمه ومن الفضل اعذبه ومن اللطف انفعه . اللهم كن لنا ولاتكن علينا . اللهم اختم بوجهك الكريم إلينا اللهم اختم بسعادة آجالنا وحقق بالزيادة آمالنا واقرن بالعافية غدونا وآصالنا واجعل فى رحمتك مصيرنا ومالنا وصب سجال عفوك على ذنوبنا ومن علينا بإصلاح عيوبنا واجعل التقوى زادنا وفي دينك اجتهادنا وعليك توكلنا واعتمادنا وثبتنا على نهج الاستقامة واعذنا فى الدنيا من موجبات الندامة يوم القيامة وخفف عنا ثقل الاوزار وارزقنا عيش الأبرار واكفنا واصرف عنا شر الأشرار.
...
اللهم اعتق رقابنا ورقاب آبائنا وأمهاتنا واخواننا وبمشيرتنا من عذاب القبر ومن النار برحمتك يا غفار يا عزيز يا ستار يا حليم يا جبار يا الله يا الله يا ارحم الراحمين انك على كل شيء قدير

وبالاجابة جدير وصلى الله وسلم على سيدنا محمد ن النبي الامي وعلى اله وصحبه أجمعين. سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين . الفاتحة …….

اللهم بحق الفاتحة وبنور الفاتحة وبحق من أنزلت عليه الفاتحة اسئلك أن ترزقنا الصحة فى الدين والدنيا والآخرة يافارج الهم وياكاشف الغم يا من لعبده يغفر ويرحم يادافع البلاء والنقم ادفع عنا يا الله يا الله يا الله كل بلاء ووباء وهم وغم وضيق وشدة ونقمة وفتنة دعواهم فيها سبحانك الله وتحيتهم فيها سلام وآخر دعواهم ان الحمد لله رب العالمين

terjemahan doa Tok Kenali.


Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam, pujian yang melengkapi segala nikmatNya dan membalas limpah kurniaNya. Ya Allah wahai Tuhan kami, untukMu segala kepujian itu bagaimana yang sayugianya sesuai degan kebesaran zat dan kerajaanMu.
Ya Allah cucurilah rahmat dan sejahtera atas junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rahmat yang akan menyelamatkan kami daripada segala huru-hara dan kerosakan dan Engkau tunaikan dengannya segala maksud dan hajat, Engkau sucikan kami dgn sebabnya daripada segala kejahatan, Engkau angkatkan kami dengan sebabnya di sisiMu setinggi-tinggi darjat kemuliaan,Engkau sampaikan degan sebabnya sejauh-jauh tujuan kebaikan, baik pada masa hidup maupun sesudah mati.

Ya Allah Tuhan kami, kami mohon kepadaMu nikmat secukup-cukupnya, mohon kesihatan selama-lamanya, mohon rahmat selengkap-lengkapnya, mohon afiat sejaya-jayanya, mohon rezeki semewah-mewahnya, mohon umur setuah-tuahnya, mohon ehsan sepenuh-penuhnya, mohon nikmat sebanyak-banyaknya, mohon anugerah seenak-enaknya, mohon sifat lemah-lembut yang sebesar-besar faedahya.

Ya Allah kurniakanlah manafaat kepada kami dan jangan kiranya Engkau timpakan mudharat ke atas kami, Ya Allah wahai Tuhan kami , akhirkanlan umur kami dengan kebahagian, tentukan kelebihan jua akan segala cita-cita kami, serta sihat afiat ke atas diri kami dan jadikan akhir tempat kembali dalam cucuran rahmatMu menghapus dosa kesalahan kami, kurniakanlah lindungan menutup cacat-cela kami, jadikan taqwa bekalan kami mematuhi agamaMu sepenuh-penuh tenaga kami, kepadaMu kami berserah dan kepadaMu kami bergantung.

Ya Allah wahai Tuhan kami, tabahkan hati kami mengikut jalan teguh pendirian, lindungkan kami di dunia ini daripada segala punca pendorong kekesalan di hari kemudian, ringankan kami daripada bebanan dosa, hidupkan kami sebagai hidup orang-orang yang berjasa di samping mengelakan kami dari bencana kejahatan orang- orang yang durjana.

Ya Allah wahai Tuhan kami, bebaskan diri kami, ibu-bapa kami, saudara-mara kami dan seluruh keluarga kami daripada azab seksa kubur dan azab sensara neraka, di bawah limpahan rahmatMu jua Ya Allah Tuhan yang Maha Perkasa, Tuhan perlindung dosa kesalahan hamba, Tuhan yang bersifat lemah lembut, Maha Gagah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah- Tuhan sebaik-baik yang memberi rahmat, sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa mengatasi segala-galanya.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami , Nabi Muhammad s.a.w. ahli rumahnya serta sahabat Baginda sekelian, segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam.....amen


Allahu Akbar. Runtunan doa syahdu gemersik kalbu Tok Kenali itu tadi sangat menyentuh hati-hati yang pada mulanya keras. Begitulah indahnya bait kata pengharapan seorang Hamba Allah yang sangat menyintai TuhanNya, hingga membuatkan insan yang mendengar menangis takutkan TuhanNya. Anak-anak muridnya segera memeluk tuan guru mereka. Mereka mengucapkan terima kasih kepada tuan guru mereka yang sudi membimbing mereka medekatkan diri kepada Tuhan Pencipta ALam semesta ini. Mulai saat itu, anak-anak muridnya ini tidak lagi merokok... Alhamdulillahhirabbil a'lamin.

Sumber Syair daripada blog; http://andakstudio.nasyeed.my/2010/08/20/bahaya-merokok/comment-page-1/#comment-1619
dan Olahan semula daripada Buku Tok Kenali Ulama Nusantara Karya Hayati Ridhwani Terbitan PTS.







No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen