Sumber gambar dari ; sila klik di sini.
Pendidikan Sejarah sebenarnya merupakan mata pelajaran yang sangat menarik. Melaluinya kita semakin mengenali akar budi kita bahkan susur galur sejarah sesebuah tamadun bangsa akan tersingkap satu persatu. Contohnya melalui bukti penemuan arkeologi, sejarah yang tersembunyi akhirnya terkuak kembali. Sejarah Malaysia khususnya dan Kepulauan Asia Tenggara amnya akan difahami melalui gabungan sejarah lisan, catatan-catatan bertulis dari pelbagai tamadun, melalui kaedah teknologi dan arkelologi ini.Subhanallah. Benarlah alam ini Allah jadikan untuk kita fikirkan dan renungkan. Alam ini diciptakan Allah untuk manusia fikirkan dan manfaatkan....
Jom ikuti berita yang tersiar di BERNAMA...
ALOR SETAR - Sejak usaha ekskavasi mula dijalankan di tapak arkeologi Sungai Batu pada 2009, pengkaji berjaya menggali pelbagai penemuan bersejarah yang meninggalkan kesan mendalam terhadap sejarah ketamadunan rantau ini.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, penemuan di Sungai Batu memaksa data-data tentang sejarah tamadun serantau dikemas kini.
"Berdasarkan data terkini di Sungai Batu, ya betul, data sejarah khasnya tentang tamadun (di Asia Tenggara) perlu dikemas kini dengan data terbaru,"katanya kepada Bernama menerusi e-mel baru-baru ini.
Antara penemuan paling besar dan terpenting di Sungai Batu setakat ini, melibatkan monumen ritual di Tapak Sungai Batu 1 (SB01) yang telah pun disahkan secara saintifik berusia kira-kira 2,000 tahun.
Menurut Mokhtar, binaan monumen ritual yang ditemui di Sungai Batu itu adalah amat unik dan setakat diketahui hingga hari ini, ia merupakan satu-satunya binaan ritual memiliki reka bentuk sedemikian di dunia.
Katanya, struktur monumen ritual yang ditemui di Sungai Batu itu bermula dengan binaan bulatan di dasarnya serta segiempat tepat di atasnya dan atas sekali terdapat bulatan kecil.
Mokhtar berkata monumen ritual itu dikaitkan dengan amalan animisme masyarakat Sungai Batu ketika itu, manakala terdapat juga pengkaji di Sungai Batu mengatakan monumen ritual itu juga menghadap Gunung Jerai.
"Monumen ritual...pada awal penggunaannya dengan tarikh awal kurun kedua Masihi, ia mungkin digunakan untuk ritual animisme, kemudian selepas kurun kelima Masihi mungkin digunakan untuk agama Hindu-Buddha," katanya.
Menggunakan kaedah saintifik dipanggil 'OSL' (Optically Stimulated uminescence), monumen ritual Sungai Batu ditemui tertanam 1.5 meter daripermukaan tanah disahkan adalah struktur tertua di Asia Tenggara.
Sebagai perbandingan, candi Borobudur di Indonesia hanya dibina pada kurun kesembilan, manakala Angkor Wat di Kemboja yang menerima kunjungan jutaan pelancong saban tahun pula dibina pada kurun ke-12.
Selepas beberapa tahun semenjak penemuannya, pasukan pengkaji diketuai Mokhtar sendiri masih bertungkus-lumus mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan tentang monumen ritual itu.
"Maaf, sedang dikaji," katanya dalam jawapan ringkas apabila ditanya tentang logik di sebalik reka bentuk unik monumen ritual itu atau kemungkinan lain tentangnya.
Satu lagi penemuan penting di Sungai Batu melibatkan bengkel peleburan besi, yang menurut Mokhtar, membuktikan penguasaan teknologi tinggi kalangan masyarakat purba di Sungai Batu ketika itu.
Sehingga kini katanya, pengkaji menemui lebih daripada 20 relau yang digunakan untuk melebur besi di Sungai Batu dan kawasan sekitarnya, membuktikan kehebatan tamadun Kedah Tua yang pernah wujud di Sungai Batu.
Katanya Kedah Tua atau namanya dalam bahasa Sanskrit 'Kataha' membawa maksud 'Mangkuk Besi' dan mencadangkan keistimewaannya dalam industri besi dunia serta kajian sedang dijalankan untuk memastikan jangkauan industri besi itu.
Menurut Mokhtar, kewujudan monumen ritual dan penguasaan teknologi berat oleh masyarakat di Sungai Batu menunjukkan ketinggian tamadun dengan sistem sosial yang teratur.
"Industri berat bersama bukti ritual dan lain-lain mencadangkan sistem sosial hieraki yang tinggi. Ia merupakan bukti Sungai Batu adalah sebahagian daripada tamadun Kedah Tua yang meliputi seluruh Lembah Bujang dan bahagian lain melebihi (keluasan) 1,000 km persegi," katanya. - Bernama
sUMBER; KLIK DI SINI
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen