Pages - Menu

Pages - Menu

Hilang punca ditinggal cinta hati

Hilang punca ditinggal cinta hati

Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com untuk rujukan dan medium pendidikan pelayar blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga mendapat manfaatnya



SOALAN

SAYA ingin ceritakan kisah hidup saya. Walaupun masih muda, saya dapat rasakan hidup ini tidak bermakna. Ini kerana satu-satunya impian saya sudah hancur.

Walaupun selepas hampir dua tahun dia meninggalkan saya, saya tetap tidak dapat melupakannya. Bagi saya, dialah satu-satunya cinta hati saya.

Saya pernah cuba melupakan dia dengan mendekati Allah, tetapi tidak berjaya dan saya tetap memikirkannya.

Saya menyesal sangat kerana melepaskan dia dulu. Saya terlalu sayangkan dia dan kerana itu juga saya lepaskan dia. Kalau dengan cara itu dia bahagia, saya reda walaupun terseksa.

Saya harap dia akan jumpa seseorang yang akan membahagiakan dia lebih daripada saya. Bagi saya, saat dia meninggalkan saya, itulah detik saya rasakan kehilangan kehidupan saya.

Terus terang saya nyatakan, hidup saya kini seperti mayat hidup. Tiada lagi perasaan bahagia dan hati yang riang. Jikapun kawan-kawan nampak saya gelak ketawa itu semua lakonan semata-mata untuk menggembirakan mereka.

Saya bersyukur kerana mendapat kerjaya yang bagus, kawan yang memahami dan keluarga bahagia. Namun jauh di sudut hati, saya terlampau sedih, sunyi dan rindukan dia.

Saya tidak pernah lupa mendoakan keselamatan dan kebahagiaan dia. Dang Setia, jika membunuh diri itu tidak berdosa, sudah lama saya membunuh diri.

Kadangkala saya berfikir kenapa saya dipertemukan dengan dia dan kenapa kebahagiaan itu tidak berpanjangan seperti pasangan lain.

Benarlah kata orang bahawa “cinta itu indah dan menyakitkan.” Bagi pasangan di luar sana, jagalah hati pasangan anda baik-baik kerana itu peristiwa indah dalam hidup anda.

Kini saya hanya teruskan hidup yang sedih ini setiap hari, minggu hinggalah akhir hayat saya. Biarlah saya menderita asalkan saya dapat lihat dia bahagia, senyum dan ketawa riang walaupun dari jauh.

RIL


JAWAPAN

Saudara, nasihat Dang Setia berhati-hatilah dalam berbicara atau mengeluarkan kenyataan. Ini kerana Dang Setia melihat ada kenyataan saudara yang boleh menjejaskan akidah, contohnya:

1. “Saat dia meninggalkan saya, itulah detik saya rasakan kehilangan kehidupan saya.”

2. “Jikal membunuh diri itu tidak berdosa, sudah lama saya membunuh diri.”

3. “Kadangkala saya berfikir kenapa saya dipertemukan dengan dia.”

Sekali imbas, tiga kenyataan itu memang nampak biasa saja, namun bagi Dang Setia ia jelas memperlihatkan kelemahan iman saudara.

Sebagai umat Islam, kita harus faham bahawa tujuan kita dihidupkan Allah di dunia ini adalah untuk memperhambakan diri kepada-Nya. Jadi, tak baik kalau kita rasa sudah kehilangan hidup ini hanya selepas kita ditinggalkan kekasih.

Dengan berkata demikian, ia seolah-olah memberi maksud bahawa tujuan kita hidup di dunia adalah kerana adanya kekasih kita. Bila dia meninggalkan kita, hidup kita terus tak berguna, sampai tahap mahu membunuh diri.

Saudara tahu membunuh diri itu perbuatan berdosa, sebab itu saudara tidak membunuh diri. Syukur alhamdulillah, namun sedarkan saudara terfikir atau ada niat untuk membunuh diri itu sudah cukup satu kesalahan di sisi Islam.

Ini kerana ia menunjukkan saudara tidak bersyukur apabila Allah menghidupkan saudara di dunia dan tidak bersyukur dengan banyak lagi nikmat yang Allah beri kepada saudara.

Memang benar, saudara mengucapkan syukur kerana ada kerjaya bagus dan keluarga bahagia, namun sedarlah, sekadar mengucapkan syukur di bibir tidak memadai jika hati dan tindakan kita tidak seiring dengan apa yang kita ucapkan.

Orang yang benar-benar bersyukur dengan kurniaan Allah kepadanya akan reda dengan ketentuan takdir Allah dan tidak akan mempersoalkan “kenapa saya dipertemukan dengan dia?”

Sehubungan itu, Dang Setia nasihatkan saudara supaya tidak terlalu mengikut hati, sebaliknya berfikir dan bertindak mengikut ajaran Islam.

Apabila kita ditimpa musibah atau dalam kesedihan, Islam mengajar kita supaya sedar apa yang kita alami adalah ujian Allah untuk kita lebih dekat kepada-Nya dan kita juga perlu yakin bahawa di sebalik setiap kesusahan pasti ada kesenangan.

Islam juga mahu umatnya tabah dan kuat, bukan lemah, tak mahu hidup dan mahu bunuh diri apabila kita ditinggalkan kekasih. Bagi Dang Setia, malu rasanya jika seorang lelaki bersikap lemah begitu.

Jika begitu sifat lelaki Islam, bagaimana nak menjadi pemimpin dan bagaimana mahu memikul tanggungjawab menyebar dan menegakkan perjuangan Islam di muka bumi?

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/DangSetia/20090726094421/Article/indexp_html

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen