Pages - Menu

Pages - Menu

Ibu kecewa anak degil

Ibu kecewa anak degil


SAYA isteri berumur 40 tahun dan ada empat anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki. Taraf kehidupan kami sederhana saja. Suami pemandu lori dan saya bekerja sebagai kerani.

Masalah yang membelenggu diri saya ialah bagaimana nak menangani anak lelaki saya berumur 13 tahun yang degil. Antara masalahnya ialah selalu mencuri, berbohong dan kerap disabitkan kesalahan disiplin sekolah.

Selain itu dia suka menghabiskan masa dengan kawan di kafe siber atau menunggang motosikal.

Dia pernah beberapa kali mencuri telefon bimbit dan wang adik-beradik saya dan juga adik-beradik suami. Banyak kali dia dinasihati oleh emak dan bapa saudaranya, tetapi semuanya seperti mencurah air di daun keladi.

Dia juga tidak pernah mengaku yang dia mencuri. Apa-apa yang dicuri tidak pernah disimpan di rumah. Di sekolah pula, mata kesalahan terkumpul yang banyak menyebabkan dia digantung sekolah dan sekarang masih dalam tempoh itu.

Hari tidak bersekolah, dia menghabiskan masa bersama kawan. Pagi keluar, senja baru balik. Dulu, saya terpaksa cari dia di kafe siber dan jemput dia untuk makan tengah hari, baru dia balik.

Bagaimanapun, sekarang bila saya jemput balik, dia kata akan balik tapi senja baru balik. Dia juga sering menyembunyikan diri setiap kali saya mencarinya di kafe siber.

Banyak ikhtiar saya lakukan untuk memberi kesedaran supaya dia berubah. Dia juga beberapa kali berjanji untuk berubah, tapi semuanya bohong belaka. Antara ikhtiar yang saya lakukan ialah:

1. Mendapatkan air penawar daripada ustaz.

2. Bercakap daripada hati ke hati dengannya. Saya cerita panjang apa hukumnya seorang anak menyakiti hati ibunya dan kesusahan yang bakal dia hadapi bila besar nanti kalau malas belajar. Saya menangis di depannya. Bila saya menangis, dia pun menangis dan berjanji untuk berubah, tapi semuanya bohong.

3. Merotan. Kali terakhir ayahnya merotan ketika dia di darjah enam. Sekarang dia remaja. Kata orang, tak bagus dirotan untuk psikologi dia.

4. Mencuba pelbagai petua dan cara berdoa yang disarankan. Antaranya berdoa pada waktu malam ketika dia hampir tertidur. Saya usap ubun-ubunnya sambil membaca beberapa surah dan zikir.

5. Pernah berubat secara perubatan moden dipanggil ‘terapi reiki’.

6. Pernah beberapa kali mendendanya dengan tidak memberi makan kerana dia mungkir janji untuk tidak berjumpa rakannya. Dia lebih rela tidak mendapat makan daripada tidak dapat berjumpa kawan. Tiada riak kekesalan di wajahnya.

7. Pernah juga saya mangga pintu rumah depan dan belakang bagi menghalang dia berjumpa kawan. Dia sangat licik dan pandai ambil kesempatan. Bila saya leka di dapur, dia buka mangga pintu menggunakan pemutar skur.

8. Dia pernah berjanji tidak akan keluar rumah jika ada Internet di rumah. Saya ikut kemahuannya, tapi dia tetap keluar rumah.

Saya pernah bercadang menghantar dia ke sekolah pondok, tapi bila fikir itu mungkin menimbulkan masalah lain (mungkin dia lari dan tak balik lagi), saya batalkan hasrat itu.

Dang Setia, apakah cara yang sepatutnya saya lakukan untuk beri kesedaran kepadanya? Walaupun kita awasi dia 24 jam, masih tiada kesedaran dalam dirinya.

Saya hanya tumpukan perhatian pada dia seorang dan mengabaikan lagi tiga anak saya. Saya sentiasa berdoa sambil menyebut namanya tak kira di mana. Selepas sembahyang, sebelum tidur atau ketika bekerja apabila teringatkannya.

Perhatian bagaimana lagi harus saya berikan? Saya sungguh buntu dan kecewa. Saya tak mahu dia rosak lebih teruk lagi. Bantulah saya.



IBU BUNTU



Dang Setia yakin bukan puan seorang mengalami masalah ini, sebaliknya ramai lagi ibu lain berkongsi masalah serupa. Buktinya, hampir setiap hari dalam laporan media pasti ada berita mengenai jenayah atau salah laku pelajar sekolah, termasuk seawal usia sembilan tahun.

Bagi Dang Setia juga, permasalahan puan antara paling sukar dijawab. Ini kerana, secara keseluruhannya Dang Setia dapati puan banyak berusaha dan melakukan apa yang patut, malangnya ia belum berhasil.

Oleh itu, Dang Setia tidak mahu sekadar mengeluarkan kata-kata retorik dan tidak praktikal, sebaliknya perlu menyediakan satu jalan keluar yang konkrit untuk puan.

Bagaimanapun, sebelum itu ada baiknya Dang Setia mengulas mengapa masalah ini menimpa puan. Maksudnya, mengapa anak puan begitu degil dan sukar berubah.

Bagi Dang Setia, ini berlaku kerana dia terperangkap atau kuat dicengkam pengaruh tidak sihat di sekelilingnya. Secara lebih mudah, dia kini dikelilingi kawan yang berpotensi merosakkannya.

Malangnya, dia seronok dengan kawannya. Dia menganggap kawannya lebih hebat dan baik berbanding ibu bapa atau mana-mana anggota keluarganya.

Ringkas kata, pengaruh kawannya kini lebih kuat berbanding puan, suami puan atau ayah serta ibu saudaranya. Sebab itu dia tergamak berbohong dan memungkiri segala janjinya.

Ada remaja yang bijak dan boleh dianggap matang biarpun pada usia 13 tahun, namun ramai juga yang tidak dan anak puan dalam golongan belum matang. Sebab itu dia mudah terpengaruh dan menganggap apa yang salah (kawannya) adalah betul dan yang betul (ibu bapa) itu salah.

Disebabkan belum matang juga dia mudah menangis bila puan menangis, tapi sekelip mata juga dia kembali kepada sikap asalnya apabila ada semula bersama rakan sealiran dengannya.

Mengenai tindakannya mencuri, Dang Setia percaya ia dilakukan kerana anak puan perlukan wang untuk ‘membalas budi’ rakannya. Ini kerana, ikatan persahabatan di kalangan remaja bersama rakan sealiran mereka teramat kuat.

Bila dia tiada wang, contohnya untuk bermain ‘game’ di kafe siber, kawan akan mendahulukan wang mereka. Ini berlaku berulang-ulang sampai ke tahap anak puan berasa terhutang kepada mereka.

Jadi, apabila ada kawannya memerlukan wang, anak puan sanggup bersusah payah, termasuk mencuri, untuk memberinya kepada kawan berkenaan kerana dia ingin ‘membalas budi’ mereka.

Rumusannya di sini, dapat kita lihat bahawa punca kepada sikap liar anak puan ialah rakan serta suasana atau persekitarannya.

Justeru, Dang Setia berpendapat cara terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah puan perlu menjauhkan anak puan daripada rakan dan juga persekitarannya sekarang.

Ini bermaksud, anak puan perlu berhijrah atau dihijrahkan ke tempat lain. Cadangan puan untuk memasukkan anak ke sekolah pondok adalah satu usaha hijrah yang Dang Setia maksudkan.

Namun, jika puan berasakan tindakan memasukkannya ke sekolah pondok kurang sesuai, fikirkan destinasi hijrahnya yang lain.

Untuk membantu puan, Dang Setia pernah membaca mengenai Yayasan Sahabat Insan dan Iman Malaysia atau singkatannya Sidim dan Didik Diri Resources yang banyak mengendalikan kes pemulihan anak liar dan bermasalah, termasuk menyediakan rumah pemulihan untuk golongan terbabit.

Jika berminat, puan boleh menghubungi mereka dengan membuka laman web www.sidim.nas.my dan www.didikdiri.com untuk mendapat maklumat lanjut.

Mungkin juga puan boleh berusaha menempatkan anak puan di sekolah agama atau pusat tahfiz swasta yang kini banyak di merata tempat serta diusahakan dalam bentuk lebih moden serta kontemporari.

Pastinya ada wang perlu laburkan, namun jumlahnya tidak terlalu besar. Jadi jangan jadikan ia halangan. Fikirkan masa depan anak puan dan korbankan sedikit kesenangan hari ini untuk kesejahteraannya pada masa depan.

Yang ingin Dang Setia tekankan, anak puan tidak kuat pertahan diri dan dia tewas dengan persekitarannya yang merosakkan. Ini perkara biasa kepada remaja seusianya yang mudah terpengaruh dan terlalu kuat naluri ingin mencuba sesuatu yang baru.

Namun sebagai ibu bapa, kita kena cepat menariknya semua ke landasan hidup yang betul apabila dia mendapati dia sudah tergelincir. Bagi Dang Setia, satu-satunya landasan hidup yang betul ialah landasan Islam.

Sebab itu dicadangkan dia ditempatkan di sekolah agama atau pusat tahfiz. Sebelum ini dia terpengaruh dengan unsur negatif kerana di kelilingnya terlalu kuat unsur itu.

Jadi, kali ini kita letakkan pula di persekitaran yang kuat dengan unsur positif dan Islamik, mudah-mudahan dia terpengaruh dengan unsur baik ini dan ia berkekalan, insya-Allah.

Akhir sekali, sebagai ibu, puan jangan sekali-kali kecewa dan putus asa. Anak amanah Allah kepada kita dan kita bertanggungjawab menyempurnakan amanah itu.

Tugas ini bukan mudah. Apabila ada cabaran, anggap ia ujian Allah untuk mengukur keimanan kita dan yakinlah, pasti ada kebaikan di sebalik kesukaran yang puan alami sekarang.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/DangSetia/20090705115334/Article/indexp_html

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen