Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot sebagai rujukan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan kaunseling remaja bersama Dr Sapora Sipon.Semoga mendapat manfaatnya.
SOALAN
SAYA gadis berusia 19 tahun mempunyai masalah berkaitan paras rupa. Walaupun dilahirkan sempurna dan memiliki kulit putih, hidung saya besar dan kembang. Saya berasa sangat tertekan, lebih-lebih lagi saya sering dipandang hina masyarakat dan keluarga.
Keluarga selalu mengejek dan mengatakan hidung saya ibarat buah jambu air yang masak apabila menangis.
Patutkah saya membuat pembedahan hidung supaya nampak lebih cantik?
Berapa pula kos untuk pembedahan itu? Saya berharap Dr dapat membantu saya.
Gadis Bingung,
Kedah
JAWAPAN
PUJANGGA Khalil Gibran ada berkata, kecantikan tidak boleh dilihat melainkan dengan hati dan minda yang tenang, manakala Roseanne pula mengatakan kecantikan bukan terletak pada paras rupa tetapi di hati. Kata-kata dua pujangga ini mungkin dapat membantu adik melihat kecantikan daripada pelbagai sudut dan membantu mengurangkan tekanan.
Kata-kata itu boleh menerangkan bahawa walaupun paras rupa penting, kecantikan sebenar adalah dari hati dan manusia melihat kecantikan dari pelbagai bentuk dan rupa.
Memang peranan paras rupa penting dalam mendapat pengiktirafan orang ramai terhadap diri kita. Apatah lagi, dalam dunia di mana kecantikan sering menjadi perhatian termasuk melariskan perniagaan.
Bagaimanapun, banyak perkara lain memberi makna dalam kehidupan seseorang. Antaranya sikap dan personaliti yang baik. Individu yang baik peribadinya sering disukai ramai.
Pengiktirafan dan nilai yang diberikan keluarga kepada individu memang sangat besar kesannya. Contohnya, pengiktirafan negatif keluarga terhadap bentuk hidung adik yang besar dan kembang.
Dengan tidak menghargai dan menerima apa yang adik miliki bukanlah satu perkara baik dilakukan keluarga. Ia akan mengukuhkan pemikiran negatif yang seterusnya mencorak pandangan hidup seseorang.
Dr tidak tahu sama ada keluarga mengetahui kesan ejekan mereka kepada harga diri adik dan seterusnya membuat adik sangat tertekan. Jika adik tidak suka sikap mengejek mereka, beritahu mereka perasaan sebenar.
Jika mereka benar-benar sayangkan adik, mereka akan berhenti mengejek dan menghormati paras rupa adik.
Memang ada klinik yang menjalani pembedahan untuk mengubah bentuk hidung adik itu. Mengenai kos pembedahannya, Dr tidak tahu. Persoalannya, adakah ia akan menyelesaikan masalah adik? Apa pula nilai dan anggapan keluarga terhadap hidung adik yang bukan lagi asli bentuk paras rupanya nanti? Adakah mereka akan berhenti mengejek?
Islam melarang keras pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk cantik. Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ia harus.
Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan adalah berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa’.
Dr berharap adik menghargai paras rupa yang dianugerahkan Ilahi. Ini kerana kecantikan datang dari pelbagai bentuk dan bagi setiap kecantikan, ada mata melihat, bagi setiap kebenaran ada telinga mendengar dan bagi setiap cinta ada hati yang sudi menerima.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen