Tertekan Dosa Zina Lampau
Rembesan dosa zina lampau
Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga mendapat manfaatnya
SOALAN
SAYA isteri dan ibu kepada dua anak. Ketika berusia 16 tahun, saya melalui zaman sosial yang terlalu bebas, menyebabkan saya terjerumus ke lembah maksiat.
Saya sering berzina dengan beberapa lelaki, termasuk dua bukan Islam.
Malah apabila mengenali suami pun saya masih mengulangi perlakuan keji itu dan ia hanya berhenti apabila saya berkahwin. Selepas nikah, saya hanya memberitahu suami yang saya pernah terlanjur dengan kekasih lama.
Suami memaafkan saya dan dia langsung tidak tahu saya sebenarnya pernah terlanjur dengan ramai lelaki.
Suami pula kehilangan terunanya bersama saya, lalu dia terus memperisterikan saya. Saya menyesal kerana tidak bertemu suami terlebih awal.
Masalahnya, sekarang saya cepat letih, mudah marah, selalu sakit kepala dan sendi. Adakah saya berpenyakit? Pada masa sama, kemaluan saya sering gatal dan pedih apabila bersama suami.
Bila melihat wajah anak, saya sering menitiskan air mata kerana takut masa depan mereka gelap disebabkan saya.
Saya takut untuk membuat pemeriksaan doktor. Ketika terlanjur dulu, saya tidak pernah menggunakan alat perlindungan seks.
Saya risau jika disahkan positif HIV. Jika benar saya berpenyakit, sukar untuk saya menerima hakikat itu.
Saya sayangkan suami dan anak serta ingin bersama mereka hingga ke akhir hayat.
Saya menyesal dengan perbuatan lalu dan selalu menangis pada waktu malam.
Saya seolah-olah dibayangi pelbagai azab. Saya takut akan kematian. Bantulah saya Dang Setia.
SERBA SALAH
JAWAPAN
Dang Setia tidak bermaksud mengungkit kisah lampau atau menambah penderitaan puan, namun sejurus membaca surat puan, sukar disisihkan mesej tersirat di sebalik nasib yang menimpa puan.
Dang Setia insaf dan memberi peringatan kepada diri sendiri serta semua pembaca semoga menyedari apa yang berlaku ke atas puan jelas menunjukkan apabila kita melakukan dosa, balasan Allah bukan hanya ketika di akhirat, sebaliknya ia boleh kita terima ketika masih hidup di dunia.
Selain itu balasan itu pula hadir dalam pelbagai keadaan, tidak semestinya kesengsaraan fizikal, tapi boleh juga berupa penderitaan mental sebagaimana puan kerap dibayangi azab Allah serta terlalu takutkan kematian.
Puan, setiap orang akan menghadapi mati, sama ada suka atau tidak, takut atau tidak ajal pasti tiba menjemput kita pulang. Tidak salah untuk kita takutkan kematian serta azab Allah di alam barzakh dan akhirat, namun sekadar takut saja tidak memadai.
Sebaliknya, yang perlu kita lakukan ialah membuat persiapan sewajarnya. Seperti orang takut hendak menghadapi peperiksaan, persediaan sewajarnya ialah latihan dan ilmu mencukupi.
Berbekalkan persediaan itu, insya-Allah kita tidak akan menghadapi masalah untuk menghadapi peperiksaan.
Begitu juga dengan balasan Allah ke atas kita di alam barzakh dan akhirat kelak. Jika kita membuat persediaan sewajarnya iaitu dengan melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan larangan-Nya, insya-Allah balasan yang bakal kita terima di dua alam itu kelak adalah balasan yang baik.
Ini bukan teori atau cerita dongeng tapi satu kenyataan. Hidup di dunia adalah kesempatan yang Allah beri untuk kita menentukan nasib kita selepas kematian.
Puan masih hidup dan itu bermakna puan masih ada kesempatan. Biarpun pernah melakukan dosa sebelum ini, itu tidak bermakna pintu syurga tertutup buat puan. Bertaubatlah kerana Allah maha pengampun dan pengasih serta sayangkan makhluk-Nya yang bertaubat.
Mengenai kemungkinan dijangkiti virus HIV atau menghidap penyakit kelamin lain, kepastian hanya akan diperoleh apabila puan menjalani pemeriksaan perubatan.
Tiada apa perlu ditakutkan dan jangan sekali-kali kita takut untuk menghadapi kenyataan atau lari daripadanya. Tindakan sebegitu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya sekadar memburukkan lagi keadaan.
Mahukah puan hidup penuh prasangka dan persoalan, tanpa kepastian serta dibayangi ketakutan bayang-bayang sendiri sepanjang masa?
Atau puan berjumpa doktor untuk mendapat kepastian dan seterusnya mengambil langkah perlu untuk memperbaiki diri berdasarkan nasihat doktor. Mungkin puan tidak menghidap HIV tapi penyakit lain dan doktor akan memberi rawatan untuk memulihkannya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen