Darul Ukhwah penyelamat pesakit HIV
Petikan dari akhbar Utusan Malaysia, 22/07/2010
Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
Gambar Azli Ahad
Gambar Azli Ahad
SETAHUN lalu, kira-kira 20 lelaki Islam yang berusia antara 25 hingga 56 tahun yang disahkan positif HIV dilihat menghabiskan sisa kehidupan mereka dengan menumpang ‘teduh’ dan tidur di sebuah gereja di sekitar Lembah Klang.
Namun semuanya berubah selepas seorang ustaz yang juga penceramah bebas terkenal tempatan, Muhamad Abdullah Al-Amin menjejakkan kaki ke situ untuk memberikan ceramah motivasi berbentuk keagamaan kepada pesakit-pesakit berkenaan.
Mengimbau cerita yang berlaku setahun lalu itu, Muhamad Abdullah berkata, beliau bersetuju untuk memberikan ceramah amal kepada pesakit-pesakit HIV itu selepas diminta seorang individu beragama Islam yang prihatin dengan nasib lelaki-lelaki berkenaan.
Lantas, alamat dan lokasi yang menempatkan mereka dijejaki Mohamad Abdullah.
“Saya terkejut apabila melihat mereka tinggal di sebuah gereja dan saya terpaksa menolak memberikan ceramah kerana merasakan tempatnya tidak sesuai.
“Bagaimanapun, dalam hati kecil, saya sangat tersentuh melihat gereja itu sanggup menempatkan pesakit berkenaan walaupun berlainan agama. Sedangkan umat Islam yang sepatutnya memainkan peranan membantu saudara seagama hanya `melihat’.
“Sejak peristiwa itu, saya berbincang dengan pihak gereja itu untuk membawa keluar pesakit HIV beragama Islam bagi membela nasib mereka mengikut perancangan saya dan Alhamdulillah mereka mengizinkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah perlindungan diasaskannya bagi menempatkan pesakit HIV berkenaan iaitu Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Pada mulanya, dia menempatkan mereka di sebuah rumah anak yatim yang diasaskannya di Subang Jaya. Namun keadaan pesakit HIV yang memerlukan pengawasan dan penjagaan sempurna, memerlukan mereka diletakkan di sebuah bangunan berbeza.
Muhamad berkata, bermula saat itu, beliau mula berdepan dengan kesukaran bagi mencari tempat perlindungan untuk menempatkan pesakit berkenaan.
Jelasnya, ini berikutan kebanyakan penyewa enggan menyewakan kediaman mereka apabila mengetahui ia akan digunakan sebagai tempat perlindungan pesakit HIV walaupun mereka ditawarkan bayaran sewa lebih tinggi.
Akhirnya selepas seorang hamba Allah sanggup menyewakan kediamannya, dia terus menempatkan mereka di situ bagi memberi sinar kehidupan baru yang lebih cerah kepada mereka.
Ujarnya, cabaran dalam mengendalikan Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah bukannya seperti ‘memetik jari’ kerana beliau berdepan lima masalah utama iaitu kewangan, sukarelawan, masyarakat, keluarga dan pesakit.
Pandangan negatif
Di situ, katanya, ia memerlukan lebih RM30,000 sebulan bagi keperluan pesakit termasuk makan minum, perubatan, aktiviti, pakaian dan membayar gaji sukarelawan yang membantu menjaga mereka.
“Pada masa yang sama, tidak ramai yang ingin menjadi sukarelawan kerana merasakan gajinya kecil dan bimbang apabila mendengar mereka perlu menjaga pesakit HIV.
“Masalah ini ditambah dengan pandangan negatif serta stigma kebanyakan masyarakat di negara ini yang menyisihkan mereka seolah-olah ‘sampah masyarakat’. Sikap segelintir keluarga pesakit yang tidak dapat menerima mereka membuatkan usaha kami menjadi sukar.
“Ada dua kategori pesakit di sini iaitu mereka yang memang sudah mempunyai kesedaran tinggi untuk insaf dan melawan sakit manakala satu lagi, pesakit yang perlu dibantu untuk menjadi individu lebih baik,” ujarnya.
Justeru, bagi memastikan pesakit HIV sentiasa dibantu, Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah akan menganjurkan program Jangan Tinggal Daku pada 31 Julai ini, bertempat di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).
Menurut Muhamad, program secara percuma itu juga bertujuan memberi motivasi kepada pesakit HIV serta mengajak ahli keluarga dan masyarakat supaya menerima mereka dan menyedari bahawa golongan ini tidak boleh dipinggirkan.
Tambahnya, selain berpeluang mendengar ceramah yang akan disampaikan beberapa ahli panel yang arif dalam topik dibincangkan termasuk dirinya, pengunjung juga dapat mengunakan kesempatan ini bagi bersama-sama ahli keluarga mendalami ilmu baru serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Pengunjung juga berpeluang menderma melalui pembelian kupon bernilai RM10 dan RM50 yang akan digunakan untuk pembinaan bangunan sendiri Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah di atas sebuah tanah wakaf yang masih memerlukan RM300,000 untuk disiapkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen