Pages - Menu

Pages - Menu

Menumpang kasih di hujung usia

Menumpang kasih di hujung usia


Pembantu Pembangunan Masyarakat, Tony Kasim (berdiri kanan) dan Zarani Zawawi (berdiri kiri) melayan beberapa penghuni Rumah Ehsan sambil mendengar dendangan lagu daripada Ramli Bakri (kanan).


SEMUA dosa akan ditangguhkan Allah, iaitu balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. (riwayat al-Hakim).

Dalam hadis lain pula, Nabi Muhammad ada bersabda: "Keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua-dua ibu bapa."

Ini bermakna apa sahaja perbuatan yang dikira menderhaka kepada ibu bapa akan dibalas di dunia lagi atau semasa kita hidup.


Bahkan, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, maka setiap detik dalam hidup kita adalah dalam kemurkaan Allah SWT.

Hakikatnya, banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan perihal kewajipan seorang anak kepada ibu bapa. Balasan baik bagi yang berbakti serta berlaku baik kepada orang tua.

Begitu juga balasan keras Allah kepada anak yang tidak mengenang budi.

Sedihnya, masyarakat hari ini seperti tidak sedar mahupun insaf. Jika tidak, mengapa masih ada anak-anak yang sanggup mengabaikan ibu, bapa atau kedua-duanya sekali?

Malah tidak terkecuali juga yang sanggup mencederakan secara fizikal jika kehendak mereka tidak dipenuhi. Sebagaimana yang banyak dipaparkan di media massa.

Adakah dunia kebendaan hari ini memisahkan anak-anak daripada rasa tanggungjawab untuk memelihara ibu bapa masing-masing?

Atau adakah telah hilangnya rasa kasihan belas anak-anak kepada insan tua yang telah berkorban nyawa dan tenaga demi menjadikan mereka manusia berjaya?

Tambah memedihkan dan mengejutkan apabila ada segelintir pula yang mengkategorikan tanggungjawab memelihara itu sebagai satu bebanan dan melibatkan kos.

Meskipun, tidak semua daripada kita berperilaku sedemikian, tetapi hakikatnya ia suatu budaya yang semakin menular dan berlaku di hadapan mata kita hari ini.

Jika difikirkan, memang pelik apabila ibu bapa boleh membesarkan waima 10 orang anak tetapi anak yang seramai itu tidak mampu memelihara dua insan mulia ini.

Malah telah menjadi trend masa kini, anak-anak menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat jagaan atau ke rumah kebajikan.

Alasannya, mahukan penjagaan yang terbaik buat ibu bapa, tidak mahu mereka kebosanan di rumah serta alasan paling popular, terlalu sibuk dengan pekerjaan.

Namun, pernahkah kita bertanya daripada hati ke hati dengan ibu atau bapa kita atau bertanyakan kepada diri kita sendiri, adakah mereka bahagia begitu? Atau adakah tindakan kita itu wajar? Ataupun tidak takutkah jika nasib kita juga serupa mereka kerana kehidupan ini umpama roda bukan!

Pada kunjungan ke Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu, Selangor, iaitu iaitu sebuah rumah kebajikan yang menjaga, melindungi dan merawat warga-warga emas yang berpenyakit kronik serta melarat, ia jelas memperlihatkan sikap segelintir anak yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.

Namun, setiap kuntum senyuman dan riak keseronokan pada wajah para penghuninya, tidak berjaya menyembunyikan kesunyian yang jelas kelihatan pada garis-garis kedut usia tua mereka.

Seperkara yang begitu terkesan dan menyentap jantung penulis, di mana dalam sisa-sisa usia berbaki itu, masih ada antara mereka yang tidak kering pengorbanannya. Mereka rela menjadi lilin, membakar diri demi menyinari orang tersayang.

Rumah Ehsan adalah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini didiami oleh seramai 101 orang penghuni lelaki dan perempuan yang berbilang bangsa, Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Menurut Pengetua Rumah Ehsan, Aziah Noordin, penghuni rumah itu terdiri daripada beberapa kategori antaranya orang tua yang ketiadaan waris, tidak mampu menjaga diri sendiri dan ketiga penghuni yang datang secara sukarela.

"Kami di sini cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para penghuninya, waima antara kami dengan penghuni tiada pertalian darah. Menyedari bahawa inilah rumah terakhir bagi para penghuni, jadi kita cuba penuhi keperluan mereka selagi hayat dikandung badan.

"Di Rumah Ehsan inilah diberikan jagaan dan perlindungan, rawatan perubatan dan jagaan kesihatan, bimbingan dan kaunseling, perkhidmatan fisioterapi, bimbingan agama dan kemudahan beribadat serta rekreasi dan cara pulih kerja.

"Malah baru-baru ini juga kami ada menerima seorang ustaz yang diharap dapat membantu terutamanya kepada penghuni Islam untuk mengisi sisa-sisa usia mereka dengan menambah dan memperbaiki ilmu agama di dada," katanya para penghuni di rumah ini dijaga 24 jam oleh kakitangan berdedikasi.

Menariknya di sini ialah apabila ketibaan Ramadan, pada tahun lalu, lebih kurang 18 penghuni Islamnya telah berjaya berpuasa penuh sebulan.

Malah bagi mereka yang larat, solat terawih akan dilaksanakan secara berjemaah.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen