Entry ini saya petik dari akhabar Kosmo Ahad, 5 September 2010 dalam sisipan Jurnal oleh Wartawan Jurnal Kosmo, Adham Shadan. Semoga anak-anak dapat mengambil iktibar dari sejarah ini.
TENTERA Jepun memang kejam. Mereka memancung kepala, menyuruh minum air sabun, menikam dengan bayonet, mengerah menjadi buruh paksa dan membakar hidup-hidup sesuka hati.
Itu sudah biasa kita dengar kala berbicara tentang keganasan tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu lebih enam dekad lalu. Sehinggakan frasa 'penampar Jepun' pun masih melekat hingga hari ini.
Namun, sekejam-kejam tentera Jepun, ada juga dalam kalangan mereka yang pengsan apabila giliran mereka pula 'didera'.
Cerita sejarahwan, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, apabila Jepun mengaku kalah dan tentera British kembali ke Tanah Melayu, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa membersihkan kawasan bandar dan ada juga yang dihukum berlari.
Di Teluk Intan, Perak misalnya, tentera Jepun yang ditawan telah dipaksa oleh tentera British untuk mengutip sampah di bandar itu dan diarah berlari sejauh 42 kilometer dari Teluk Intan ke Bidor.
"Masa itu umur saya lapan tahun. Tentera Jepun sudah mengaku kalah dan akan berundur.
"Sementara menunggu detik untuk dibawa pulang ke tanah air mereka, tentera British telah 'mengenakan' mereka.
"Saya nampak puluhan tentera Jepun dipaksa kutip sampah dan berlari begitu jauh. Sampai ada yang pengsan.
"Mereka yang pengsan kemudian dicampak ke dalam lori," kata Kay Kim, 73, kepada Jurnal saat diminta mengimbas peristiwa Jepun mengaku kalah pada 1945.
September ini, genap 65 tahun berakhirnya derita penduduk Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun dan tamatnya polemik militari global, Perang Dunia Kedua amnya.
Victoria Institution
Gugurnya bom atom yang meranapkan bandar Hiroshima dan Nagasaki beberapa minggu sebelum itu memberi tekanan kepada Negara Matahari Terbit itu dan mendorong kepada kekalahannya.
Di Tanah Melayu, Jepun mengaku kalah secara rasminya pada 12 September 1945 apabila dokumen serah diri Jepun ditandatangani di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Upacara yang sama turut berlangsung di Singapura.
Sambung Kay Kim, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu kebanyakannya kanak-kanak berkumpul di jalanan untuk melihat tentera Jepun membersihkan bandar.
Tentera-tentera British pula yang kebanyakannya dari India mengagih-ngagihkan coklat dan gula-gula kepada kanak-kanak.
"Seluruh Tanah Melayu menyambut berita kekalahan Jepun dan kembalinya British dengan jiwa yang gembira.
"Ini kerana, selain menderita hidup dijajah Jepun, hakikat bahawa Jepun tidak melakukan apa-apa untuk kemajuan Tanah Melayu cukup mengecewakan.
"Ekonomi negara ini sangat teruk semasa Jepun menjajah sehingga harga barang terlampau mahal.
"Duit Jepun iaitu 'duit pisang' juga seperti tidak ada nilai kerana ia dicetak sesuka hati," katanya. Kay Kim dilahirkan di Kampar dan dibesarkan di Teluk Intan.
Bercerita tentang tentera Jepun, Kay Kim mengakui kekejaman mereka. Beliau dan keluarga bahkan pernah melarikan ke dalam hutan untuk menghindari tentera Jepun.
Beliau juga menyifatkan tentera Jepun kuat, menggunakan peralatan senjata setanding Barat, berstrategi rapi dan setia kepada maharaja.
Pedang
"Mereka mungkin kejam dan kasar kerana mereka tentera. Orang Jepun yang datang ke negara kita bukan orang awam.
"Mereka kasar dan ganas kerana mereka memang dilatih sebagai tentera".
"Mereka juga kuat. Kalau mereka tak kuat macam mana mereka boleh tenggelamkan dua kapal perang British, HMS Prince of Wales dan HMS Repulse? Mereka menakluk negara kita hanya dalam masa dua bulan.
"Apabila Jepun kalah dan maharaja Jepun arahkan mereka serah kalah, mereka mengaku kalah atau bunuh diri dengan melakukan harakiri iaitu menikam perut sendiri dengan pedang samurai mereka," kata Kay Kim.
Beliau turut menjelaskan penjajahan Jepun ke Asia Tenggara juga adalah berikutan tindakan Barat menyekat bekalan minyak ke Jepun yang telah bergelar negara industri sejak akhir abad ke-19 lagi.
Ditanya apakah impak yang dapat dilihatnya selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu, Kay Kim berkata:
"Dulu, bila saya hendak main bola sepak, padang-padang tiada pacat. Lepas Jepun datang, padang-padang sudah berpacat.
"Mungkin sebab banyak tanaman ubi kayu ditanam di padang-padang pada masa Jepun memerintah.
"Masa Jepun berkuasa, penduduk Tanah Melayu susah nak jumpa nasi, banyak makan ubi kayu sebab beras terlalu mahal," tambahnya.
Pelawak veteran berasal dari Klang, Selangor, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman turut berkongsi kisah peristiwa Jepun menyerah kalah itu.
Seingatnya, pada masa itu, penduduk Tanah Melayu sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Tak silap saya, ia berlaku beberapa hari selepas Aidilfitri. Penduduk Tanah Melayu menyambut berita gembira pengunduran Jepun dalam suasana kesyukuran merayakan Aidilfitri.
"Pada masa itu, tiba-tiba saya lihat tentera Jepun sudah lesap. Selalunya nampak mereka berkawal di jalan-jalan.
"Apabila tentera British kembali, mereka disambut oleh orang ramai dengan berkumpul di tepi-tepi kedai dan jalan.
"Saya lihat tentera British yang mendarat dari Pelabuhan Klang berjalan kaki di pekan Klang sambil disambut gembira penduduk tempatan pelbagai kaum," kata Hamid, 78.
Berdasarkan akhbar lama, suasana yang sama juga dapat dilihat di Seremban, Negeri Sembilan. Bahkan, satu sambutan yang disifatkan terbesar dalam sejarah negeri itu telah berlangsung bagi meraikan kekalahan Jepun dan mengalu-alukan kedatangan British.
Pengumuman
"Penduduk Tanah Melayu gembira kerana mereka membayangkan kehidupan yang lebih baik bersama British.
"Zaman Jepun, hendak makan pun susah. Belacan zaman British dulu, harga 5 sen sekati, zaman Jepun RM250 sekati!" dakwanya.
Berkongsi cerita tentang keperitan hidup semasa penjajahan Jepun yang pernah dilaluinya, Hamid berkata, sekolahnya telah dibom dalam serangan udara Jepun.
Beliau juga pernah ditempeleng oleh tentera Jepun gara-gara tidak tunduk hormat kepadanya.
"Kanak-kanak pun kena bagi tunduk hormat kalau jumpa tentera Jepun.
"Masa itu saya manalah tahu kena tunduk hormat kat dia. Kalau orang dewasa tak tunduk hormat, mereka kena hukum junjung batu tengah panas," ujarnya.
Jurnal turut menemui sepucuk surat lama pengumuman kekalahan Jepun kepada penduduk Tanah Melayu yang bertulisan jawi di Arkib Negara Malaysia yang antara lain menyatakan: Tentera-tentera Jepun di serata tempat telah mengaku kalah. Tenteranya telah dihapuskan oleh tentera British yang ke-14 di Burma.
Tenteranya yang lain yang mempertahankan tanah airnya dari Ayujima dan Okinawa telah dikalahkan jua oleh tentera Amerika.
Sementara itu, Tan Sri Abdul Majid Ismail, 89, juga mempunyai kisah tersendiri berkenaan peristiwa pengunduran Jepun dan kedatangan British.
Beliaulah antara yang membuat pengumuman memberitahu British kembali di stesen radio Kuala Lumpur pada masa itu.
Sebagai individu berpendidikan yang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, beliau diserap menjadi pegawai penerangan oleh Pentadbiran Militari British.
|
|
Selain membuat pengumuman di radio, Abdul Majid juga pergi membuat pengumuman di kampung-kampung sekitar Kuala Lumpur sehingga Melaka.
Memandangkan cara hebahan maklumat pada zaman dahulu tidak secanggih sekarang, maklumat terpaksa disebarkan dengan cara begitu selain melalui surat.
"Saya buat pengumuman dari kampung ke kampung dengan menaiki jip. Selama tiga bulan diperlukan untuk melunaskan tugas itu.
"Dalam jip itu siap ada askar untuk keselamatan dan tukang masak! Saya membuat pengumuman termasuk tentang maklumat cari kerja kepada orang awam," katanya.
Saat diminta berkongsi apa yang dilaluinya semasa penjajahan Jepun, Abdul Majid yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur pantas berkata: "Saya tidak mahu mengingatinya."
Mungkin peristiwa Jepun yang mengebom dan menyerang kolejnya sehingga 14 rakan sekelasnya terkorban cukup berbekas dalam ingatannya.
Pada masa itu, beliau sedang menuntut di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Lebih menyedihkan apabila mayat-mayat yang sedang diuruskan jenazah mereka turut diserang dengan bom.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen