Pages - Menu

Pages - Menu

Swasta boleh bantu pendidikan teknikal, vokasional

 Swasta boleh bantu pendidikan teknikal, vokasional

 Artikel disalin daripada Utusan Malaysia, Sabtu, 7/5/2011.

Swasta boleh bantu pendidikan teknikal, vokasional

MELAKA 6 Mei - Kerajaan menggesa pihak swasta berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran untuk membangunkan bidang pendidikan teknikal serta vokasional bagi mengisi keperluan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui kerjasama tersebut, kerajaan dapat menggunakan segala kemudahan yang terdapat di sekolah-sekolah swasta bagi melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam bidang tersebut.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tanpa kerjasama sektor swasta, hasrat kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar dalam aliran tersebut daripada 10 peratus kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun tidak akan tercapai.

''Saya bercadang untuk mengajak bukan sahaja agensi kementerian yang ada di peringkat Persekutuan tetapi sektor swasta untuk terlibat sama bagi mengisi keperluan sekolah-sekolah vokasional dan teknikal yang dibangunkan oleh mereka.

''Sebab itu, saya umumkan kita perlu tingkatkan pendidikan teknikal dan vokasional dalam tempoh lima tahun dan bukannya 10 tahun, ini merupakan cabaran besar yang perlu diharungi," katanya berucap merasmikan Karnival Pendidikan Melaka 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengarah Pendidikan negeri, Juliah Leman.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada masa ini pelajar aliran teknikal dan vokasional hanya berjumlah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.



Justeru katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding beberapa negara termasuk negara jiran Indonesia, Thailand dan Singapura yang mempunyai antara 40 hingga 60 peratus pelajar dalam aliran tersebut.

''Kesemua negara terbabit memberi tumpuan dalam bidang teknikal dan vokasional kerana pelajar yang mereka lahirkan dapat memenuhi tuntutan untuk memajukan ekonomi negara mereka," katanya.

Beliau berkata, usaha yang dicadangkan bersama sektor swasta itu selaras dengan tumpuan oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan bidang teknikal dan vokasional terus dikembangkan.
Ujarnya, peranan yang boleh dimainkan oleh sektor awam dan swasta dilihat amat penting untuk membangunkan sektor pendidikan agar menjadi lebih maju selain mengisi keperluan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen