Pages - Menu

Pages - Menu

Zainun pendidik sejati, Kaki lumpuh bukan halangan,

Zainun pendidik sejati

Kaki lumpuh bukan halangan


 
Buatlah suatu kebaikan yang terus

hidup, walaupun setelah kita mati



Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sedikit petikan dari artikel sepenuhnya di bawah:

“Kesakitan yang diberikan Allah ini menguji saya untuk bersabar dan reda dengan ketentuan-Nya. Selagi saya mampu bernafas di dunia ini, selagi itulah saya ingin berbakti dengan ilmu yang ada kerana ia adalah amanah kepada saya.

Bagi Zainun, hanya kakinya yang lumpuh tetapi anggotanya yang lain masih lagi mampu bergerak untuk menyumbangkan khidmat seperti guru normal.



“Anak murid adalah penawar hati saya. Kadang-kadang mereka ada bertanya kenapa saya menggunakan kerusi roda. Tapi lama-kelamaan mereka sudah mula faham dengan situasi saya," katanya yang tidak dikurniakan cahaya mata.

InshaALLAH, Puan Zainun, lama kelamaan anak murid kita takkan bertanya lagi kepada kita, kenapa kita berkerusi roda. (Semoga beliau membaca entry ini)

Ikuti lanjut kegigihan wanita tabah ini, petikan dari Berita Harian.

Zainun pendidik sejati, Kaki lumpuh bukan halangan


WALAUPUN berstatus guru kurang upaya (OKU) dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda akibat lumpuh kedua-dua belah kaki sejak 2006, seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, Zainun Abdul Jalil, 46, dari Melaka, masih terus bertekad menggagahkan diri hadir ke sekolah untuk mengajar anak murid tercinta.



Raut wajahnya sentiasa ceria, melayan kerenah anak murid yang disayangi walaupun hakikatnya beliau menanggung kesakitan. Bagi wanita berhati waja ini, selagi hayat dikandung badan, selagi itu beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru sebaik mungkin demi mencorak masa depan yang sempurna buat pelajarnya.

“Kesakitan yang diberikan Allah ini menguji saya untuk bersabar dan reda dengan ketentuan-Nya. Selagi saya mampu bernafas di dunia ini, selagi itulah saya ingin berbakti dengan ilmu yang ada kerana ia adalah amanah kepada saya.

Mengajar seakan sudah sebati dalam diri saya dan ini adalah pekerjaan saya sebelum menghidap penyakit ini,” katanya ketika ditemui RATU, baru-baru ini.



Katanya, bukan setakat anak murid memberi beliau semangat untuk terus hidup, kehadiran suami di sisi, Nor Haime Abdul Rahim, 47, memberi suntikan yang lebih hebat kerana pengorbanan beliau yang sanggup mendukungnya setiap kali masuk ke dalam kereta. Malah, mereka berdua mengajar di sekolah yang sama.



Kadang-kala, akibat terlalu lama duduk di atas kerusi roda, pinggangnya akan sakit, namun digagahkan juga kerana tidak mahu mengganggu proses pembelajaran di dalam kelas.



Zainun lumpuh selepas berlaku komplikasi pada tulang belakangnya ketika rawatan susulan bagi masalah ketumbuhan dalam perut. Beliau disahkan doktor menghidap penyakit Spinal Hematoma, yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh berjalan dan sejak itu, sebanyak lapan pembedahan sudah dilaluinya.
Wanita yang terbabit dalam dunia pendidikan sejak 1989 ini sudah banyak kali berpindah sekolah, antaranya SK Rancangan Suan Lamba dan SK Sungai Anib di Sabah, manakala di Melaka pula ialah SK Limbongan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tijah.




Katanya, sebelum ini, beliau mampu untuk berjalan dan bergiat aktif dalam sukan bola baling, selain terbabit dalam aktiviti kebudayaan di sekolah.



“Saya akur dengan ujian yang diberikan oleh Allah walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan dibantu oleh suami. Anak murid saya juga seakan memahami dengan kepayahan saya ketika mengajar di sekolah,” katanya.



Menurut wanita cekal ini, beliau memulakan tugas sebagai guru selepas bercuti lama sejak Ogos, tahun lalu dan bertekad untuk meneruskan kerjaya itu dengan mengajar murid Tahun Tiga dan Enam untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris.



Tiada perkara yang paling menggembirakan dirinya selain menerima keputusan daripada doktor yang membenarkannya untuk kembali mengajar selepas lima tahun terlantar sakit.

Jauh di sudut hati, Zainun menaruh harapan untuk kembali sembuh dan berjalan seperti biasa walaupun doktor sudah mengesahkan peluang untuk beliau sembuh dari lumpuh amat tipis.



Namun, itu juga bukan halangannya untuk terus menyumbang bakti. Bagi Zainun, hanya kakinya yang lumpuh tetapi anggotanya yang lain masih lagi mampu bergerak untuk menyumbangkan khidmat seperti guru normal.



“Anak murid adalah penawar hati saya. Kadang-kadang mereka ada bertanya kenapa saya menggunakan kerusi roda. Tapi lama-kelamaan mereka sudah mula faham dengan situasi saya," katanya yang tidak dikurniakan cahaya mata.



Guru Besar SK Seri Duyong, Aminah Aman, berkata beliau kagum dengan semangat yang dipamerkan oleh Zainun dalam mencurah bakti sebagai pendidik.



“Memang kecekalan dan kegigihannya tidak mampu ditandingi orang biasa, malah beliau juga tidak pernah mengambil cuti rehat khas yang diperuntukkan untuk setiap guru selama tujuh hari dalam setahun,” katanya.



Katanya, Zainun turut aktif dalam kokurikulum dengan mengendalikan aktiviti public speaking dan coral speaking untuk muridnya menyertai pertandingan mewakili sekolah.

2 comments:

  1. inilah agaknya beza antara yang berjiwa besar dan berjiwa kecil.
    moga inayah, rahmat & redha Allah utk beliau, ummu & rakan2 pesakit yang lain

    ReplyDelete
  2. amin.moga inayah, rahmat & redha Allah bersama saudara sekeluarga. amin.

    ReplyDelete

Terima Kasih sudi komen