Pages - Menu

Pages - Menu

Awasi Anak Elak jadi Mangsa Buli Siber

Awasi Anak Elak jadi Mangsa Buli Siber 

Mangsa Buli Siber Terdedah Kepada Pelajar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang Guru Bimbingan dan kaunseling dan juga sebagai ibu, buli siber ini, memang tidak boleh dipandang ringan. 

Kadang kala bermula dengan 'bertikam lidah' di FB peribadi, boleh melarat pula sehingga ke luar alam cyber. Walaupun ia hanya kes terpencil, namun ia tidak boleh dipandang remeh oleh ibu bapa.

Kemudahan internet secara broaband dan wi fi sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Namun, godaan di alam cyber sangat mencabar. Oleh itu, pemantauan daripada ibu bapa adalah penting.

Mari kita ikuti laporan Akhbar Utusan Malaysia berkaitan kajian Buli Siber ini.

PELAJAR SASARAN MANGSA BULI SIBER



BERDASARKAN Kajian Tingkah Laku Siber Belia Global yang dikeluarkan Microsoft Corp. mendapati 33 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun di negara ini terdedah kepada pelbagai aktiviti siber termasuk jenayah buli dalam talian.
 
Malah, melalui kajian yang dijalankan bermula 11 Januari hingga 19 Februari lalu di 25 buah negara termasuk Malaysia itu mendapati satu pertiga remaja negara ini pernah menjadi mangsa buli siber.

Dianggarkan 24 peratus kanak-kanak dan remaja yang terlibat dalam tinjauan kajian terbabit mengakui pernah melakukan sesuatu yang dibimbangi oleh ibu bapa termasuk menjadi mangsa buli dalam talian.


Kajian tempatan mengemukakan hasil bahawa golongan ini berhasrat berkongsi cerita dan mahu berinteraksi dengan ibu bapa mereka mengenai isu buli dalam talian namun hanya 27 peratus daripada ibu bapa yang mahu berbincang dengan anak-anak mereka berhubung aspek keselamatan khususnya melindungi anak-anak ketika dalam talian.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, golongan terbabit yang terdiri daripada pelajar memerlukan ruang untuk membincangkan isu-isu termasuk kes buli dalam talian kerana perlu merasa selamat.

''Bagaimanapun, jika ruang seperti ini tidak ada, mereka perlu membuat keputusan sendiri dan disebabkan kurang pengalaman dalam menangani isu dengan cara yang tidak sesuai, secara tidak langsung memberi masalah psikologi dan mental yang serius pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyertai Rundingan Meja Bulat Masalah Buli Dalam Talian anjuran Microsoft Corp. yang turut dihadiri Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim;

Pengarah Hal Ehwal Korporat, Malaysia dan Pasaran Baru, Microsoft Malaysia, Jasmine Begum serta Pakar Psikiatri Hospital Selayang, Dr. Nurulwafa Hussain.

Sehubungan itu, menurut Dr. Abdul Kadir, ibu bapa seharusnya memainkan peranan lebih utama dan proaktif khususnya meningkatkan pemantauan terhadap tingkah laku anak-anak mereka berkaitan sebarang aktiviti siber.

"Penggunaan Internet tanpa kawalan orang dewasa khususnya ibu bapa meletakkan remaja pada risiko bahaya seperti dibuli dalam talian, pornografi dan berpotensi mendedahkan maklumat peribadi kepada pemangsa seksual.

"Pengawasan ibu bapa merupakan faktor utama melindungi anak-anak mereka terutama dalam mempengaruhi tingkah laku anak-anak berkaitan isu buli dalam talian ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Page, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pihaknya bimbang mengenai kekurangan polisi formal yang berperanan melindungi keselamatan golongan kanak-kanak dan belia memandangkan mereka terlibat dengan jenayah siber pada usia yang muda.

Menurutnya, tinjauan tempatan menunjukkan hanya 18 peratus ibu bapa mengajar anak-anak mereka mengenai adab sewaktu dalam talian dan 13 peratus daripada ibu bapa meminta anak-anak memaklumkan kepada mereka sekiranya mereka menjadi mangsa buli dalam talian.

Pada perkembangan yang sama, Jasmine berkata, Microsoft turut mengambil beberapa pendekatan bagi menangani isu berkaitan buli dalam talian antaranya memperkenalkan kuiz interaktif pada laman web setiap sekolah agar pendidikan awal mengenai jenayah buli dalam talian dapat diperluaskan di kalangan pelajar.

"Buli siber atau buli dalam talian ini boleh dikatakan satu cabaran serta isu serius yang dihadapi seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi perkara tersebut.

"Bagi Microsoft, pendekatan kami adalah dari aspek keselamatan dalam talian dan memupuk warganegara melalui usaha menyokong literasi digital dan beretika.

"Pada masa yang sama, kita memberi kuasa kepada ibu bapa, penjaga dan pendidik dengan alat serta sumber yang tepat untuk membantu mereka bercakap dengan anak-anak tentang keselamatan dalam talian," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen