Pages - Menu

Pages - Menu

Calon istimewa tetap cemerlang STPM

Calon istimewa tetap cemerlang STPM

Muhammad Firdaus Adam, pelajar calon istimewa menunjukkan sijil Pelajar Cemerlang Negeri Johor bagi STPM 2011 di Johor Bahru. Kredit: Utusan Malaysia.

JOHOR BAHRU 7 Mac - Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Adam dipilih sebagai salah seorang penerima sijil Pelajar Cemerlang Negeri Johor, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 bagi kategori calon istimewa.

Muhammad Firdaus, 20, dari Sekolah Menengah Parit Bunga, Muar berjaya membuktikan bahawa kekurangan fizikal yang dimilikinya bukan penghalang untuk meraih keputusan empat B dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Ekonomi dan Sejarah dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.75.


Meskipun keputusan yang diterima tidak seperti yang diharapkan, namun anak kedua daripada lima beradik itu tetap gembira dan bersyukur kerana mampu membuat ibu bapanya bangga.

"Saya menyasarkan keputusan yang lebih baik namun tetap gembira dipilih sebagai salah seorang pelajar cemerlang negeri Johor," katanya ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM negeri Johor di Jabatan Pelajaran negeri di sini hari ini.

Meskipun cacat pada kedua-dua tangannya, namun Muhammad Firdaus tidak menghadapi masalah untuk menulis atau mengulang kaji pelajaran.

Malah, dia turut aktif dalam bidang sukan terutamanya bola sepak kerana ingin menjadi contoh terbaik kepada golongan OKU bahawa kecacatan bukan penghalang untuk mereka menikmati kehidupan normal.

Sementara itu, seorang anak peneroka Felda, Nurulnadia Rohani, 20, turut dipilih sebagai penerima anugerah cemerlang STPM selepas berjaya memperoleh empat A dalam matapelajaran Syariah, Sejarah, Bahasa Melayu dan Pengajian Am.

Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan hadiah istimewa untuk ibunya, Satirah Mohd. Dasin yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-56 kelmarin.

"Ibu banyak berkorban sehingga sanggup bersengkang mata semata-mata untuk menemani saya mengulangkaji pelajaran.

"Ini adalah kejayaan saya, ibu dan seluruh keluarga," katanya.

SUMBER; UTUSAN MALAYSIA, MAC 2012

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen