Kesungguhan Nurul Sofiya Irwan Simbol Kejayaan Sekolah Dalam Hospital
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Ketabahan Adik Nurul Sofiya Irwan dalam menghadapi penyakit kanser otak sejak berusia 3 tahun haruslah adik-adik para pelajar lain contohi.
Nurul Sofiya, mula menjalani rawatan kerana ketumbuhan otak, sejak berusia tiga tahun. Semangatnya kental, keinginannya untuk pulih memacunya untuk terus mendapatkan rawatan, meskipun tercicir daripada pendidikan arus perdana kerana kerap kali bermastautin di hospital.
Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (empat,
kanan) yang juga Penaung Projek Hati Nurani melihat pesakit kanak-kanak
Nurul Sofiya Irwan, 11, yang menghidapi ketumbuhan otak sedang diajar
oleh gurunya Nor Aishah Parijan (duduk, kanan) ketika melawat Sekolah
Dalam Hospital (SDH), di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
(PPUKM), Cheras di sini, pada 13 Mac 2013 lalu. Turut hadir Naib Chanselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan
Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin (tiga, kiri).
KUALA
LUMPUR, 13 MAC: Sekolah Dalam Hospital, inovasi pendidikan yang
diinspirasikan daripada keprihatinan isteri Timbalan Perdana Menteri,
Puan Sri Noorainee Abdul Rahman terhadap pelajar yang keciciran kerana
menerima rawatan kesihatan jangka panjang, baru beroperasi kurang dari
dua tahun di Negara ini.
Namun,
impaknya terhadap kanak-kanak dan remaja yang memerlukan rawatan serta
proses pemulihan jangka panjang kerana pelbagai jenis penyakit, sudah
dapat dilihat dengan jelas.
Bagi pelawat ke Sekolah Dalam Hospital di
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), iltizam yang
ditunjukkan pesakit berusia 11 tahun dari Selayang, Nurul Sofiya Irwan,
ketara menampakkan kejayaan projek kerjasama pintar di antara Badan
Bukan Kerajaan (NGO) Hati Nurani, Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Kesihatan ini.
Setiap
kali mendapatkan rawatan, Nurul Sofiya tinggal berbulan-bulan di
hospital, ditemani ibu atau ibu saudaranya. Kesunyian, kebosanan dan
sakit yang dialaminya menjadikan anak kecil ini agak murung. Namun,
segala-galanya berubah pada Oktober 2012 apabila Projek Hati Nurani
membuka pintu sekolahnya yang ke-enam di PPUKM.
"Sekolah
ini bagi Sofiya, adalah motivasi besar untuk dia terus datang melakukan
fisioterapi. Adakalanya pada waktu pagi, dia hendak terus ke sekolah,
tapi saya beritahu, kena fisioterapi dulu, baru ke sekolah," kata ibu
saudara yang menemaninya di hospital, Wan Norhashila Wan Zakaria.
Nurul
Sofiya sudah empat kali menjalani pembedahan. Kini penglihatan sebelah
matanya sudah tiada manakala sebelah lagi hanya 30 peratus. Bahagian
tubuhnya di sebelah kiri agak lemah dan memerlukan fisioterapi
berterusan namun dia tetap bersemangat untuk belajar.
Kesungguhan
anak gadis ini dan pesakit kanak-kanak sepertinya bagaikan pembakar
semangat kepada guru yang ditugaskan di tujuh SDH yang sudah beroperasi
setakat ini. Sekolah Dalam Hospital dimulakan di tiga hospital perintis
iaitu Institut Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital
Ampang, pada Julai 2011.
Dalam
tempoh setahun, ia diperluaskan ke Hospital Universiti Sains Malaysia
Kubang Kerian, Kelantan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,
Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Hospital Sultan Haji Ahmad
Shah, Temerloh. Tidak lama lagi, beberapa lagi hospital akan turut
mempunyai kemudahan ini. Bagi perlaksanaan SDH di hospital universiti,
kerjasama turut membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Tahun
lalu, Kementerian Pelajaran mengambil langkah menginstitusikan Sekolah
Dalam Hospital menjadikan ia secara rasmi sebahagian daripada pelan
pendidikan nasional.
Sekolah dalam hospital terbuka kepada murid pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Menurut
Penaung Projek Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, dalam
tempoh Julai 2011 hingga Februari 2013, SDH telah memberi manfaat kepada
beribu-ribu pelajar yang menjalani rawatan pemulihan di tujuh hospital,
dengan jumlah kehadiran sebanyak 16,839.
Bagi
tempoh semester persekolahan tahun ini sahaja, pada Januari 2013, tujuh
SDH ini mencatat kehadiran berjumlah 1,736 manakala 1,428 pelajar hadir
sepanjang bulan Februari.
Noorainee
berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Dalam
Hospital Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bandar Tun
Razak, di sini, hari ini.
Turut
hadir Pengarah PPUKM Dato’ Dr Raymond Azman Ali, Ketua Jabatan
Pediatrik PPUKM, Profesor Dr Zarina Abdul Latiff, Ahli Jawatankuasa Hati
Nurani serta ibu bapa pesakit.
Menurut
Noorainee, sambutan yang diterima terhadap SDH sangat memberangsangkan
bukan sahaja daripada golongan sasaran iaitu kanak-kanak dan remaja yang
bersekolah, malah dari hospital-hospital umum lain di Negara ini.
Rancangan
perluasan SDH turut mengambilkira keperluan pesakit kanak-kanak dan
remaja di Sabah dan Sarawak, jelasnya.
Pada masa ini, perancangan sedang
dibuat bagi mengenalpasti hospital lain yang akan turut mempunyai
kemudahan itu.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen