Buat pertama kalinya
sempena sambutan Hari Guru kali ini, Kementerian Pelajaran
memperkenalkan hadiah penghargaan baru, Anugerah Ikon Guru bagi
menghargai sumbangan guru yang masih berkhidmat dan menaikan imej
kementerian di peringkat antarabangsa.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran,
Datuk Mazlan Mohamad berkata, penganugerahan itu berbeza dengan Tokoh
Guru memandangkan anugerah itu hanya menghargai sumbangan guru yang
sudah bersara daripada perkhidmatan.
Menurutnya, antara kriteria diperlukan bagi melayakkan guru menerima
anugerah itu adalah menyumbang meningkatkan imej kementerian dalam
pelbagai bidang pendidikan dan tiada had umur ditetapkan selagi guru
masih dalam perkhidmatan.
"Ini merupakan salah satu usaha kementerian untuk menghargai jasa dan
pengorbanan serta pencapaian guru di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa.
''Selama ini, sumbangan mereka seperti tidak dinampakkan dan usaha
tersebut merupakan salah satu penghargaan kementerian untuk menghargai
jasa guru yang masih berkhidmat dalam pelbagai bidang pendidikan,''
katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Pra Pelancaran
Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-42 di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar
Enstek, Nilai, Negeri Sembilanbaru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Anugerah Ikon Guru khusus kepada
guru yang masih berkhidmat dan paling utama, guru terbabit berjaya
menaikkan imej perguruan.
"Kita mahu menghargai sumbangan guru kepada negara, misalnya, dia
mewakili pasukan negara ke pertandingan sukan antarabangsa dan menang,
tidak kira guru ini atlet atau pegawai.
"Paling penting, penyertaannya pada pertandingan itu berjaya menaikan
imej negara dan kementerian dalam apa jua bidang,'' katanya.
Selain itu, katanya, kementerian juga mengiktiraf sumbangan guru
dengan memberi beberapa anugerah khas lain seperti Anugerah Guru
Cemerlang OKU, Guru Pendidikan Khas, Guru Inovatif dan Anugerah Pemimpin
Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
"Dalam majlis penyampaian sambutan Hari Guru nanti akan disampaikan
tiga anugerah tahunan iaitu Tokoh Guru Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan
Pendidikan dan Tokoh Guru Sekolah Swasta,'' katanya.
Sementara itu, Mazlan memberitahu, pelbagai program sambutan Hari
Guru telah diatur bermula dengan majlis bacaan Yassin, tahlil dan solat
hajat Hari Guru
Pada 14 Mei, acara sambutan Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru
dengan kerjasama Kumpulan Utusan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan
Paroi, Negeri Sembilan.
Antara aktiviti lain termasuklah Dialog Saranan Pendidikan, acara
senamrobik Hari Guru, forum pendidikan, majlis Sepetang bersama KSU dan
KPPM dan Jamuan Makan Malam dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen