Cuepacs Kata 45 peratus tak mampu beli rumah
KUALA LUMPUR - Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta
penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
Datuk Omar Osman hari ini.
Katanya kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan
harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian
tersebut.
Menurutnya rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan
sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke
atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah
memiliki rumah.
"Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di
kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup," katanya kepada
Bernama.
Beliau turut meluahkan kebimbangan akan implikasi masalah itu jika ditangani segera.
"Antaranya ialah jika mereka membeli rumah pada usia lanjut, ini
bermakna mereka akan mengambil masa lebih panjang untuk membayar balik
pinjaman.
"Kesannya mereka akan menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang
sepatutnya digunakan untuk hari tua untuk membayar balik pinjaman itu.
Kehidupan mereka selepas bersara akan terus dibelenggu hutang," katanya.
Malah katanya, mereka juga tidak mampu memohon skim Perumahan Rakyat
1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA yang mencecah RM250,000
adalah di luar kemampuan penjawat awam.
Justeru katanya, Cuepacs menggesa kerajaan mengkaji isu itu dan
mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara menyediakan rumah kos
sederhana untuk penjawat awam.
"Seboleh-bolehnya biarlah ia berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap
kerajaan dapat kaji isu ini secara serius," katanya. - Bernama
Sumber; Sinar Harian 28 Jun 2013
Cuepacs mahu pinjaman perumahan diurus semula
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengambil alih kemudahan pinjaman
perumahan untuk penjawat awam daripada bank komersial.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini berikutan kebimbangan anggota
Cuepacs bahawa polisi baru itu akan membebankan kedudukan kewangan
peminjam.
"Kami memutuskan ia mesti diurus oleh Bahagian Pinjaman Perumahan. Kita
tidak mahu ia diagih kepada bank komersial kerana ramai bimbang akan
terdapat bermacam-macam caj yang mungkin dikenakan oleh bank komersial
nanti," katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Perwakilan
Pertama Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad di sini hari ini.
Perkara itu antara usul yang diputuskan pada mesyuarat berkenaan.
Kerajaan dalam Belanjawan 2013 memutuskan untuk memindah kemudahan
pinjaman perumahan kerajaan untuk diurus oleh bank komersial mulai
Januari tahun ini.
Omar berkata Cuepacs juga akan terus mengesa agar faedah pinjaman
perumahan empat peratus yang dikenakan oleh kerajaan diturun kepada satu
peratus.
"Selain itu, kami juga mahu kerajaan menyemak semula untuk menaikkan
elaun perumahan bulanan dari RM180 sekarang kepada RM450, manakala
bantuan sara hidup (Cola) diseratakan di seluruh negara pada kadar RM300
sebulan," katanya.
Cuepacs juga mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran bayaran
gratuiti bagi penjawat awam sebanyak 20 peratus pada usia 50 tahun.
"Kami mencadangkan supaya pengeluaran dibenarkan untuk membantu
pembiayaan yuran anak-anak di peringkat pengajian tinggi, membaiki atau
membayar hutang rumah dan membuat umrah," katanya.
Beliau berkata Cuepacs juga akan mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam
supaya menyelesaikan semakan gred dan tangga gaji bagi hampir 200
kategori pekerjaan dalam perkhidmatan awam yang kebanyakannya melibatkan
kumpulan sokongan, selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Keputusan mesyuarat itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Dr Ali Hamza
minggu ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih sudi komen